Lukas 1:57-80

Lukas 1:57-80 AVB

Tibalah masanya untuk Elisabet bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki. Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan belas kasih yang begitu besar kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya. Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunatkan bayi itu. Mereka mahu menamainya Zakharia seperti nama bapanya. Tetapi ibunya berkata, “Tidak! Namanya ialah Yohanes.” Mereka berkata kepada Elisabet, “Tiada seorang pun daripada kaum keluargamu yang bernama sedemikian.” Lalu mereka bertanya kepada bapanya dengan menggunakan isyarat nama yang hendak diberikan kepada anaknya itu. Dia meminta papan tulis lalu menulis demikian, “Namanya Yohanes.” Semuanya kehairanan. Pada seketika itu, mulut Zakharia terbuka dan lidahnya tidak terikat lalu dia bercakap dan memuji Allah. Semua jirannya sangat takut dan segala perkara ini tersebar ke seluruh pergunungan Yudea. Semua orang yang mendengarnya berkata dalam hati masing-masing, “Bagaimanakah gerangan halnya anak ini kelak?” Jelaslah bahawa tangan Tuhan memimpinnya. Bapanya, Zakharia, dipenuhi dengan Roh Kudus lalu bernubuat, “Segala puji bagi Tuhan, Allah Israel! Kerana Dia telah datang dan menebus umat-Nya; Dia telah mengurniai kita seorang Penyelamat yang berkuasa, seorang daripada keturunan hamba-Nya, Daud. Demikianlah firman-Nya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya yang suci dari zaman dahulukala, Dia berjanji menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita, dan daripada tangan semua orang yang membenci kita; Dia mengasihani nenek moyang kita, dan mengingati perjanjian-Nya yang suci, Dia berjanji kepada nenek moyang kita, Abraham, untuk menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita supaya tanpa rasa takut kita beribadat kepada-Nya dalam kesucian dan perbenaran sepanjang hidup kita. Engkau, anakku, akan digelar nabi Allah Yang Maha Tinggi kerana engkau mendahului Tuhan demi menyediakan jalan-Nya, dan memberitahu umat-Nya bahawa mereka diselamatkan apabila dosa mereka diampunkan. Oleh sebab Allah kita mengasihani kita, cahaya matahari akan terbit dari tempat tinggi untuk menerangi orang yang tinggal dalam kegelapan dan bayang maut serta memimpin kita ke jalan damai.” Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat rohnya. Dia tinggal di gurun sehinggalah dia muncul di khalayak bangsa Israel.