Ayub 41

41
1 # Mzm 74:14; 104:26; Yes 27:1. “Dapatkah engkau menarik Lewiatan dengan mata kail,
atau menahan lidahnya dengan tali?
2Dapatkah engkau memasang tali di hidungnya,
atau mencucuk rahangnya dengan cangkuk?
3Adakah ia akan mengajukan banyak permohonan kepadamu,
atau bercakap dengan kata-kata yang lembut kepadamu?
4Adakah ia akan mengikat perjanjian denganmu,
supaya engkau mengambilnya sebagai hambamu untuk selama-lamanya?
5Adakah engkau bermain-main dengannya seperti dengan burung,
atau mengikatnya untuk anak-anak perempuanmu?
6Dapatkah kelompok nelayan menjualbelikan dia?
Dapatkah dia dibahagi-bahagi antara pedagang?
7Dapatkah engkau menusuk kulitnya dengan tombak bermata tiga,
atau kepalanya dengan lembing penangkap ikan?
8Taruhlah tanganmu padanya,
dan ingatlah perlawanannya.
Engkau tidak akan melakukannya lagi!
9Sesungguhnya, harapan untuk menangkapnya hampa belaka.
Bukankah melihat rupanya sahaja orang sudah jatuh pengsan?
10Tiada orang yang cukup bengis yang berani membangunkan dia.
Kalau begitu, siapakah yang dapat bertahan di hadapan-Ku?
11Siapakah lebih dahulu memberi-Ku sehingga Aku harus membalasnya?
Segala sesuatu di seluruh kolong langit ialah milik-Ku.
12Aku tidak mahu berdiam diri mengenai anggota-anggota tubuhnya,
mengenai tenaganya dan bentuknya yang elok.
13Siapakah yang dapat melucuti pakaian luarnya?
Siapakah yang dapat masuk ke dalam kekangnya?
14Siapakah yang dapat membuka pintu moncongnya?
Di sekeliling giginya ada kengerian.
15Dia menyombongkan sisiknya yang kuat,
yang tertutup rapat seperti dimateraikan.
16Sisiknya berdekatan satu sama lain,
sehingga udara tidak dapat masuk di antaranya;
17berlekatan satu sama lain,
bertautan dan tidak terpisah.
18Bersinnya menyemburkan cahaya,
matanya seperti fajar merekah.
19Daripada mulutnya keluar obor,
bunga api berpercikan.
20Dari lubang hidungnya keluar asap
seperti periuk mendidih oleh kumbuh yang terbakar.
21Nafasnya menyalakan bara,
nyala api keluar daripada mulutnya.
22Di tengkuknya tersimpan kekuatan,
ketakutan berlompatan di hadapannya.
23Daging gelambirnya berlekatan,
mengeras pada tubuhnya dan tidak dapat digerakkan.
24Hatinya keras seperti batu,
keras seperti batu kilangan bawah.
25Ketika ia bangkit, kalangan kuat pun takut,
oleh libasannya mereka menghilang.
26Dia tidak mempan disergap dengan pedang,
begitu pula dengan tombak, anak panah, atau lembing.
27Besi dianggapnya jerami,
tembaga dianggapnya kayu busuk.
28Anak panah tidak dapat membuatnya lari,
batu tarbil berubah jadi tunggul jerami baginya.
29Gada dianggapnya tunggul jerami,
ia tertawa mendengar desingan lembing.
30Bahagian bawahnya seperti tembikar yang tajam,
di atas lumpur ia membujur
seperti deretan pengirik.
31Dibuatnya air yang dalam menggelegak seperti periuk.
Dibuatnya laut seperti kuali rempah-rempah.
32Ditinggalkannya jalur yang bersinar di belakangnya,
sehingga orang menyangka samudera beruban.
33Tidak ada tandingannya di atas bumi!
Dialah makhluk yang dibuat tanpa rasa takut.
34Dipandangnya semua yang tinggi;
ia raja atas semua makhluk yang bongkak.”

Terpilih Sekarang Ini:

Ayub 41: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk