Ayub 34

34
Allah tidak berlaku curang
1Elihu berkata,
2“Dengarlah kata-kataku, wahai kalangan bijak.
Perhatikanlah aku, wahai kalangan berpengetahuan,
3kerana telinga menguji kata-kata
sebagaimana langit-langit mengecap makanan.
4Mari kita putuskan bagi kita apa yang adil,
mari kita tentukan antara kita apa yang baik.
5Ayub berkata, ‘Aku benar,
tetapi Allah telah mengambil hakku.
6Sungguhpun aku mempunyai hak,
aku dianggap pembohong.
Sungguhpun aku tidak melakukan pelanggaran,
lukaku tidak dapat disembuhkan.’
7Siapakah manusia seperti Ayub,
yang meminum cemuhan seperti air?
8Dia bersekutu dengan para pelaku kejahatan,
dan bergaul dengan kalangan fasiq.
9Katanya, ‘Tidak ada gunanya bagi manusia
kalau Allah berkenan dengannya.’
10Oleh sebab itu dengarlah aku, wahai kalangan berakal,
‘Jauhlah daripada Allah untuk berbuat fasiq,
jauhlah daripada Yang Maha Kuasa untuk berbuat kezaliman.’
11 # Mzm 62:12. Dia membalas manusia menurut perbuatan mereka,
Dia membuat orang mendapat ganjaran menurut kelakuan mereka.
12Sungguh, Allah tidak akan berbuat fasiq,
Yang Maha Kuasa tidak akan membengkokkan keadilan.
13Siapa mempercayakan bumi kepada-Nya?
Siapa menanggungkan seluruh dunia kepada-Nya?
14Jika Dia menetapkan kehendak-Nya
dan menarik kembali roh-Nya serta nafas-Nya,
15maka putuslah nyawa semua makhluk bersama-sama,
dan manusia kembali menjadi debu.
16Jika engkau memiliki pengertian, dengarlah ini,
perhatikanlah bunyi perkataanku.
17Wajarkah pembenci keadilan memerintah?
Wajarkah engkau menyalahkan Dia yang adil dan perkasa,
18yang berfirman kepada raja, ‘Wahai, orang dursila,’
dan kepada para bangsawan, ‘Wahai, orang fasiq,’
19yang tidak memihak kepada para pembesar
dan tidak memandang orang kaya lebih daripada orang miskin,
kerana mereka semua buatan tangan-Nya?
20Dalam sesaat mereka mati.
Pada tengah malam orang digoyangkan lalu lenyap,
kalangan perkasa disingkirkan bukan oleh tangan manusia.
21Mata-Nya memandang jalan-jalan manusia,
dan melihat segala langkahnya.
22Tidak ada kegelapan atau bayang-bayang maut,
tempat para pelaku kejahatan dapat bersembunyi.
23Tidak perlu Allah memeriksa manusia lagi
sehingga orang itu harus datang menghadap-Nya di pengadilan.
24Dia menghancurkan kalangan perkasa tanpa pemeriksaan,
dan mengangkat kalangan lain menggantikan mereka.
25Jadi, Dia mengetahui pekerjaan mereka
dan menggulingkan mereka pada malam hari sehingga mereka hancur.
26Dia menampar mereka kerana kefasiqan mereka
di tempat yang terlihat oleh orang lain,
27kerana mereka menjauh daripada-Nya
dan tidak mahu mengendahkan segala jalan-Nya.
28Mereka menyebabkan seruan orang miskin
sampai kepada-Nya,
dan Dia mendengar seruan orang yang sengsara.
29Kalau Dia berdiam-diam sahaja, siapa dapat menyalahkan-Nya?
Kalau Dia menyembunyikan wajah-Nya, siapa yang dapat memandang-Nya?
Dia berkuasa atas suatu bangsa, dan juga atas diri seseorang,
30supaya jangan orang munafik menaiki takhta,
supaya jangan rakyat terjerat.
31Adakah orang yang berkata kepada Allah,
‘Aku telah meninggikan diri, tetapi aku tidak akan lagi berbuat kesalahan.
32Kiranya Kauajar aku hal yang tidak kulihat.
Jika aku telah berbuat zalim, maka aku tidak akan melakukannya lagi’?
33Haruskah Dia melakukan pembalasan menurut kehendakmu,
padahal engkau sendiri menolaknya?
Engkaulah yang harus memutuskan, bukan aku.
Oleh sebab itu katakanlah apa yang kauketahui.
34Orang yang berakal akan berkata kepadaku,
begitu pula orang bijak yang mendengar aku:
35‘Ayub berbicara tanpa pengetahuan.
Kata-katanya tidak bijaksana.’
36Andai Ayub diuji sampai penghabisan,
kerana dia menjawab seperti kalangan jahat!
37Dia menambah dosanya dengan pelanggaran,
bertepuk tangan dalam kalangan kita sambil bermegah,
dan memperbanyak kata-katanya menentang Allah.”

Terpilih Sekarang Ini:

Ayub 34: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk