Ayub 20

20
Zofar: Orang fasiq akan binasa
1Maka Zofar, orang Naama, menjawab,
2“Itulah sebabnya kegelisahanku mendorong aku menjawab,
kerana kurasakan desakan dari dalam.
3Kudengar teguran yang menghina aku,
tetapi dari dalam pengertianku suatu roh menjawab aku.
4Tidakkah engkau mengetahui hal ini sejak zaman dahulu,
sejak manusia ditempatkan di atas bumi,
5bahawa sorak-sorai orang fasiq sebentar sahaja
dan sukacita orang munafik hanya sesaat?
6Sekalipun keangkuhannya menjulang ke langit
dan kepalanya sampai menyentuh awan,
7dia akan binasa selama-lamanya seperti kotorannya sendiri.
Orang yang pernah melihatnya akan bertanya, ‘Di manakah dia?’
8 # Keb 5:14. Dia akan melayang lenyap seperti mimpi dan tidak ditemukan lagi,
dia akan dihalau seperti penglihatan pada malam hari.
9Mata yang melihatnya tidak akan melihatnya lagi,
tempat tinggalnya pun tidak akan memandangnya lagi.
10Anak-anaknya harus mencari belas kasihan daripada fakir miskin,
tangannya sendiri harus mengembalikan kekayaannya.
11Tulang-tulangnya penuh dengan tenaga orang muda,
tetapi itu pun akan berbaring bersama-samanya dalam debu.
12Sekalipun kejahatan terasa manis di mulutnya,
sekalipun dia menyembunyikannya di bawah lidahnya,
13sekalipun dia menyayangkannya dan tidak mahu melepaskannya
malah menahannya pada langit-langit mulutnya,
14makanannya itu akan berubah di dalam perutnya,
menjadi bisa ular senduk di dalam dirinya.
15Dia menelan kekayaan, tetapi memuntahkannya lagi;
Allah akan mengeluarkannya dari dalam perutnya.
16Dia akan menghisap bisa ular senduk,
dan lidah ular berbisa akan membunuhnya.
17Dia tidak akan memandang batang-batang air,
sungai-sungai yang mengalirkan madu dan dadih.
18Dia akan mengembalikan hasil jerih lelahnya dan tidak akan menelannya,
Dia tidak akan menikmati kekayaan hasil dagangnya.
19Kerana dia telah menindas dan menterlantarkan fakir miskin,
serta merampas rumah yang tidak dibangunkannya;
20sesungguhnya, dia tidak mengenal ketenangan dalam batinnya,
dan dia tidak akan menyelamatkan barang yang disukainya.
21Tidak ada yang selamat daripada sifat lahapnya.
Oleh itu, kemakmurannya tidak akan bertahan.
22Dalam kemewahannya yang berlimpah dia akan mengalami kesesakan,
dan kesukaran akan menimpanya dengan sepenuh kuasa.
23Ketika dia mengisi perutnya,
Allah melepaskan murka-Nya yang menyala-nyala
dan menghujankan murka itu kepadanya sebagai makanannya.
24 # Keb 5:17-23. Dia akan melarikan diri daripada senjata besi,
tetapi panah gangsa akan menembusnya.
25Anak panah dicabut keluar daripada punggungnya,
dan mata panah yang berkilat itu keluar daripada hempedunya.
Kengerian mendatanginya.
26Kegelapan yang pekat tersedia bagi hartanya.
Api yang tidak dihembus akan melahapnya
dan menghabiskan apa yang terselamat di khemahnya.
27Langit akan menyingkapkan kesalahannya,
dan bumi akan bangkit melawannya.
28Kekayaan rumahnya akan lenyap,
dihanyutkan pada hari murka-Nya.
29Itulah bahagian daripada Allah untuk orang fasiq,
harta pusaka yang ditentukan Allah baginya.”

Terpilih Sekarang Ini:

Ayub 20: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk