Ayub 11
11
Zofar: Ayub harus rendah hati
1Kemudian Zofar, orang Naama, menjawab,
2“Patutkah kata-kata yang banyak tidak dijawab?
Patutkah seorang yang banyak bercakap dilepaskan?
3Patutkah orang berdiam diri terhadap cakap besarmu?
Ketika engkau mencemuh,
masakan tidak ada yang mencela engkau?
4Katamu, ‘Apa yang kuajarkan adalah murni.
Aku bersih pada pandangan-Mu.’
5Tetapi semoga Allah sendiri berfirman
dan berbicara langsung dengan engkau.
6Semoga Dia menyingkapkan kepadamu rahsia hikmah,
kerana hikmah itu mempunyai dua segi.
Ketahuilah bahawa Allah melupakan sebahagian daripada kesalahanmu.
7Dapatkah engkau memahami rahsia Allah?
Dapatkah engkau memahami kesempurnaan Yang Maha Kuasa?
8Tingginya melebihi langit — apa yang dapat kaulakukan?
Dalamnya melebihi alam kubur — apa yang dapat kauketahui?
9Ukurannya lebih panjang daripada bumi
dan lebih lebar daripada laut.
10Jika Dia melintas, melakukan penangkapan,
dan mengadakan sidang, siapakah yang dapat menahan-Nya?
11Sesungguhnya, Dia mengenal manusia penipu
dan melihat kejahatan tanpa mengamat-amatinya.
12Tetapi orang bebal pun akan menjadi cerdas,
jika anak keldai liar dapat lahir sebagai manusia.
13Jika engkau mengarahkan hatimu
dan menadahkan tanganmu kepada-Nya,
14jauhkanlah kejahatan di tanganmu jika memang ada,
dan jangan biarkan kezaliman ada di khemahmu.
15Dengan demikian engkau akan mengangkat muka tanpa malu,
engkau akan menjadi teguh dan tidak takut.
16Engkau akan melupakan kesukaranmu,
mengingatnya hanya seperti air yang telah mengalir lenyap.
17Hidupmu akan lebih cerah daripada tengah hari,
kegelapan akan seperti pagi hari.
18Engkau akan berasa aman kerana ada harapan.
Engkau akan melihat sekitarmu
lalu tidur dengan aman.
19Engkau akan berbaring tanpa ada yang mengusik,
bahkan ramai orang akan memohonkan belas kasihanmu.
20Tetapi mata orang fasiq akan menjadi sayu,
mereka tidak akan mempunyai tempat melarikan diri
dan harapan mereka sekadar untuk menarik nafas terakhir mereka.”
Terpilih Sekarang Ini:
Ayub 11: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited