Sebilangan penduduk Yerusalem berkata, “Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh? Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia Kristus? Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya. Tetapi, apabila Kristus datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya.”
Ketika Yesus mengajar di Bait Suci, Dia berseru dengan suara lantang, “Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya. Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya.”
Selepas itu, mereka cuba menangkap Yesus. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai. Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Yesus. Mereka berkata, “Apabila Kristus datang, adakah Dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?” Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal Bait Suci menangkap Yesus. Namun demikian, Yesus berkata, “Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu, Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku. Kamu akan mencari-Ku, tetapi tidak dapat menemui-Ku. Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut.”
Orang Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah Dia hendak pergi sehingga kita tidak dapat menemui-Nya? Adakah Dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di perantauan dalam kalangan orang Yunani untuk mengajar orang Yunani? Apakah maksud kata-kata-Nya, ‘Kamu akan mencari-Ku tetapi tidak dapat menemui-Ku’ dan ‘Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut’?”
Pada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum. Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.’ ”