YOHANES 7:25-38

YOHANES 7:25-38 Alkitab Berita Baik (BM)

Beberapa orang penduduk Yerusalem berkata, “Bukankah dia ini yang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh? Lihatlah, dia berkata-kata di hadapan umum, tetapi penguasa kita tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah mereka sudah tahu bahawa dia Penyelamat yang diutus oleh Allah? Tetapi apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah itu datang, tidak seorang pun akan mengetahui tempat asal-Nya. Tetapi kita mengetahui tempat asal orang ini.” Sementara Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya dengan suara lantang, “Benar-benarkah kamu mengetahui siapa Aku ini dan tempat asal-Ku? Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus Aku dapat dipercaya, tetapi kamu tidak mengenal Dia. Aku mengenal Dia, kerana Dialah yang mengutus Aku dan Aku datang daripada-Nya.” Kemudian para penguasa Yahudi cuba menangkap Dia, tetapi tiada seorang pun berani memegang Yesus kerana saat-Nya belum tiba. Tetapi banyak antara orang ramai percaya kepada-Nya. Mereka berkata, “Apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah datang, dapatkah Dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?” Orang Farisi mendengar orang ramai berbisik-bisik tentang Yesus. Oleh itu, mereka dan ketua-ketua imam menyuruh beberapa orang pengawal Rumah Tuhan menangkap Yesus. Tetapi Yesus berkata, “Aku akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Kemudian Aku akan kembali kepada Dia yang mengutus Aku. Kamu akan mencari Aku, tetapi tidak dapat menjumpai Aku, kerana kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku berada.” Para penguasa Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah dia mahu pergi sehingga kita tidak dapat menjumpai dia? Adakah dia mahu pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di luar negeri antara orang bukan Yahudi, lalu mengajar mereka? Apakah yang dimaksudkan-Nya apabila Dia berkata bahawa kita akan mencari dia, tetapi tidak dapat menjumpainya, dan bahawa kita tidak boleh pergi ke tempat dia berada?” Pada hari terakhir perayaan itu, dan juga hari yang paling penting, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.’ ” (

YOHANES 7:25-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭtlah itu maka bŭrkatalah bŭbrapa orang deri nŭgri Jerusalem, Bahwa bukankah iya ini dia yang handak dibunoh orang? Skarang lihatlah iya bŭrkata kata itu dŭngan braninya, maka tiada marika itu bŭrkata barang apa padanya; adakah pŭnghulu pŭnghulu tahu dŭngan katŭntuannya, bŭtulkah ini Almasih itu? Tŭtapi orang ini kami kŭtahui akan asalnya; maka apabila Almasih itu datang kŭlak sa’orang pun tiada tahu akan asalnya. Maka pada masa itu bŭrsrulah Isa dalam ka’abah, tŭtkala iya mŭngajar katanya, Bahwa kamu mŭngtahui akan daku, dan akan asalku, bahwa sanya bukannya aku datang ini dŭngan kahandakku sŭndiri, mŭlainkan yang mŭnyurohkan aku itu bŭnar adanya, yang tiada kamu kŭnal akan dia. Aku mŭngŭnal akan dia, kŭrna aku datang deripadanya, dan iya tŭlah mŭnyurohkan aku. Sŭtlah itu maka dicharilah ulih marika itu handak mŭnangkap akan dia; tŭtapi sa’orang pun tiada yang mŭnaikkan tangan padanya, kŭrna waktunya itu bŭlom lagi sampie. Maka adalah banyak deri pada orang itu yang pŭrchaya akan dia bŭrkata, Apabila Almasih datang kŭlak, adakah dibuatnya lebih banyak mujizat deripada dipŭrbuat ulih orang ini? ¶ Maka didŭngar orang Farisia, bahwa orang bŭrsungut sungut akan pŭrkara pŭrkara dŭmkian derihal Isa; maka marika itu, dan kŭpala kŭpala imam pun mŭnyurohkan bŭbrapa orang hulubalang mŭnangkap akan Isa. Sŭtlah itu maka kata Isa, Skutika sahja lagi aku tinggal bŭrsama sama dŭngan kamu, maka kumdian aku akan pŭrgi kapada yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Maka kamu akan mŭnchari aku, tŭtapi tiada mŭndapat; adapun ditŭmpat yang aku ada itu tiada bulih kamu sampie kŭsana. Arkian maka bŭrkatalah orang orang Yahudi sama sŭndirinya, Bahwa kŭmanakah iya handak pŭrgi yang ditŭmpat kita tiada bulih mŭndapat akan dia? Maka iya handak pŭrgi kapada orang Yahudikah yang bŭrtaboran diantara orang sŭsat itu, dan mŭngajar orang orang sŭsat itu? Apakah jŭnis pŭrkataan ini yang dikatakannya itu? Maka bahwasanya kamu akan mŭnchari aku, tŭtapi tiada mŭndapat; adapun ditŭmpat yang aku ada itu tiada bulih kamu sampie kŭsana? ¶ Kŭlakian maka pada hari yang akhir, iya itu hari raya yang tŭrbŭsar itu, maka bŭrdirilah Isa, sambil bŭrsru katanya, Jikalau barang siapa yang dahaga, maka handaklah iya datang kapadaku supaya bulih minum. Maka barang siapa yang pŭrchaya akan daku spŭrti yang tŭrsŭbut dalam kitab, bahwa deri dalam hatinya akan mŭngalir sungie sungie ayer yang hidop itu.

YOHANES 7:25-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sebilangan penduduk Yerusalem berkata, “Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh? Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia Kristus? Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya. Tetapi, apabila Kristus datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya.” Ketika Yesus mengajar di Bait Suci, Dia berseru dengan suara lantang, “Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya. Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya.” Selepas itu, mereka cuba menangkap Yesus. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai. Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Yesus. Mereka berkata, “Apabila Kristus datang, adakah Dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?” Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal Bait Suci menangkap Yesus. Namun demikian, Yesus berkata, “Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu, Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku. Kamu akan mencari-Ku, tetapi tidak dapat menemui-Ku. Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut.” Orang Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah Dia hendak pergi sehingga kita tidak dapat menemui-Nya? Adakah Dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di perantauan dalam kalangan orang Yunani untuk mengajar orang Yunani? Apakah maksud kata-kata-Nya, ‘Kamu akan mencari-Ku tetapi tidak dapat menemui-Ku’ dan ‘Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut’?” Pada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum. Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.’ ”