Yohanes 3:26-36

Yohanes 3:26-36 AVB

Mereka pergi kepada Yohanes dan berkata, “Rabbi, seorang yang bersama dengan engkau di seberang Sungai Yordan dahulu, orang yang engkau tunjukkan kepada kami, Dia membaptis orang dan semua orang pergi kepada-Nya.” Yohanes menjawab, “Seseorang tidak mungkin menerima sesuatu kecuali diberi kepadanya dari syurga. Kamu semua menjadi saksiku bahawa aku telah berkata, ‘Aku bukanlah Kristus, tetapi aku diutus sebelum-Nya.’ Yang mendapatkan pengantin perempuan ialah pengantin lelaki. Sahabat pengantin lelaki yang cuma menanti dan mendengarkan ketibaan pengantin lelaki, berasa bahagia ketika mendengar suara pengantin lelaki. Demikian juga aku. Sekarang sempurnalah kebahagiaanku. Memang sewajarnya Dia semakin utama dan aku semakin kecil.” Dia yang datang dari atas adalah di atas segala-galanya. Orang yang berasal dari dunia datang dari dunia dan bercakap tentang hal-hal dunia. Tetapi Dia yang datang dari syurga adalah di atas segala-galanya, Dia menyampaikan apa yang dilihat dan didengar-Nya, tetapi tidak ada seorang pun yang menerima kesaksian-Nya. Namun begitu, mereka yang menerima kesaksian-Nya mengaku bahawa Allah itu benar. Dia yang diutus oleh Allah menyampaikan firman Allah, kerana Allah mengurniai-Nya Roh Kudus sepenuhnya. Bapa kasih akan Anak-Nya dan telah meletakkan segala-galanya di bawah kuasa Anak-Nya. Sesiapa yang percaya kepada Anak itu mendapat hidup yang kekal. Sesiapa yang tidak taat kepada-Nya tidak akan mendapat hidup yang kekal itu dan kemurkaan Allah kekal ke atasnya.