Yeremia 6

6
Malapetaka bagi Yerusalem dan Yehuda
1Selamatkanlah diri, wahai bani Benyamin,
dari tengah-tengah Yerusalem!
Tiuplah sangkakala di Tekoa
dan pasanglah api isyarat di atas Bet-Kerem!
Kerana dari utara malapetaka mengintai,
dan suatu kehancuran yang besar.
2Aku akan membinasakan puteri Sion yang elok dan manja itu.
3Para gembala berserta kawanan ternak mereka akan mendatanginya.
Mereka akan memancang khemah-khemahnya di sekelilingnya,
dan memberikan makan ternakan mereka di tempat masing-masing.
4“Siapkanlah untuk berperang melawan dia!
Ayuh, mari kita maju pada tengah hari!”
“Malangnya kita,
kerana hari sudah menjelang petang,
bayang-bayang petang sudah memanjang.”
5“Ayuh, mari kita maju pada malam hari dan memusnahkan puri-puri mereka!”
6Beginilah firman TUHAN alam semesta,
“Tebanglah pokok-pokoknya
dan timbunlah tanggul pengepung untuk menyerang Yerusalem!
Itulah kota yang patut dihukum,
di dalamnya hanya ada penindasan belaka.
7Seperti perigi memancarkan airnya,
demikianlah kota itu memancarkan kejahatannya.
Keganasan dan pemusnahan terdengar di dalamnya,
kesakitan dan luka sentiasa ada di hadapan-Ku.
8Terimalah pengajaran, wahai Yerusalem,
supaya Aku tidak menjauhi engkau dengan rasa muak,
supaya Aku tidak menjadikan engkau sunyi sepi,
sebuah negeri yang tidak berpenduduk.”
9Beginilah firman TUHAN alam semesta,
“Saki-baki orang Israel akan dipetik habis seperti buah anggur.
Biarlah tanganmu kembali memeriksa carang-carang seperti pemetik buah anggur.”
10Kepada siapakah aku harus berbicara dan memberikan peringatan,
supaya mereka mahu mendengar?
Sesungguhnya, telinga mereka tertutup,
mereka tidak dapat mendengar.
Firman TUHAN menjadi bahan celaan bagi mereka,
mereka tidak menyukainya.
11Oleh sebab itu aku penuh dengan murka TUHAN,
aku kepayahan menahannya.
“Curahkannya kepada kanak-kanak di jalan dan kepada kumpulan pemuda sekali gus.
Baik suami mahupun isteri akan ditangkap,
juga orang tua dan orang yang lanjut usia.
12Rumah mereka akan beralih kepada orang lain dengan ladang-ladang bersertakan para isteri mereka sekali gus,
kerana Aku akan menghulurkan tangan-Ku melawan penduduk negeri ini,”
demikianlah firman TUHAN.
13“Yang terkecil sampai yang terbesar,
semuanya mengejar laba.
Baik nabi mahupun imam,
semuanya melakukan penipuan.
14 # Yeh 13:10. Mereka mengubati luka umat-Ku dengan menganggapnya ringan, kata mereka, ‘Sejahtera, sejahtera!’
Padahal tidak ada kesejahteraan.
15 # Yer 8:10-12. Adakah mereka berasa malu ketika melakukan kekejian?
Tidak, mereka sama sekali tidak berasa malu.
Bahkan mereka tidak menyedari aib mereka.
Oleh sebab itu mereka akan jatuh di antara orang yang jatuh,
mereka akan tersandung pada waktu Aku menghukum mereka,”
demikianlah firman TUHAN.
16Beginilah firman TUHAN,
“Berdirilah di jalan-jalan dan amatilah!
Tanyakanlah jalan-jalan yang dahulukala,
di mana ada jalan yang baik, tempuhlah itu,
maka jiwamu akan mendapat ketenangan.
Tetapi mereka berkata,
‘Kami tidak mahu melalui jalan itu.’
17Aku juga mengangkat beberapa orang penjaga atasmu, firman-Ku,
‘Perhatikanlah bunyi sangkakala!’
Tetapi mereka berkata,
‘Kami tidak mahu memerhatikannya’
18Oleh sebab itu dengarlah,
wahai bangsa-bangsa,
dan ketahuilah, wahai umat,
apa yang akan menimpa mereka.
19Dengarlah, wahai bumi!
Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka kepada bangsa ini sebagai akibat daripada rancangan-rancangan mereka,
sebab mereka tidak mahu memerhatikan firman-Ku dan menolak hukum-Ku.
20Untuk apa mereka membawa kemenyan dari Syeba bagi-Ku dan tebu wangi yang baik dari negeri yang jauh?
Korban bakaranmu tidak Kuperkenan,
korban sembelihanmu tidak menyenangkan bagi-Ku.”
21Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN,
“Sesungguhnya, Aku akan menaruh batu sandungan di hadapan bangsa ini,
sehingga ayah dan anak akan sama-sama tersandung padanya.
Tetangga dan kawan akan binasa.”
22Beginilah firman TUHAN,
“Sesungguhnya, sebuah pasukan datang dari sebelah utara,
sebuah bangsa yang besar akan digerakkan dari hujung bumi.
23Mereka memegang busur dan lembing, mereka bengis dan tidak berbelas kasihan.
Suara mereka menderu seperti laut,
mereka menunggang kuda,
mengatur barisan seperti orang hendak berperang,
untuk menyerang engkau, wahai puteri Sion!”
24Kami telah mendengar khabarnya,
dan kami patah semangat.
Kesesakan mencengkam kami,
sakit seperti perempuan yang mengalami sakit bersalin.
25Jangan keluar ke padang,
jangan berlalu di jalan,
kerana ada pedang musuh —
kegentaran datang dari segala jurusan!
26wahai puteri umat-Ku,
pakailah kain perkabungan dan berguling-gulinglah dalam abu.
Berkabunglah dengan ratapan yang getir seperti orang yang kehilangan anak tunggal,
kerana tiba-tiba si pembinasa datang menyerang kita.
Yeremia menjadi penguji umat
27“Aku telah mengangkat engkau menjadi penguji dan pemeriksa antara umat-Ku,
supaya engkau dapat mengetahui dan menguji jalan hidup mereka.
28Mereka semua penderhaka belaka,
pergi ke sana ke mari sebagai pemfitnah.
Mereka sekeras gangsa dan besi, mereka semua tidak berakhlak.
29Alat peniup sudah menghembus,
timah dibakar habis oleh api.
Tetapi sia-sia orang melebur terus,
kerana orang jahat tidak dapat diasingkan.
30Mereka akan disebut perak buangan,
kerana TUHAN telah menolak mereka.”

Terpilih Sekarang Ini:

Yeremia 6: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk