Yeremia 37

37
Raja Zedekia meminta petunjuk daripada Yeremia
1 # 2Raj 24:17; 2Taw 36:10. Raja Zedekia anak Yosia menaiki takhta menggantikan Konya anak Yoyakim. Dia dijadikan raja di Tanah Yehuda oleh Nebukadnezar, raja Babel. 2Dia berserta para pegawainya dan rakyat negeri itu tidak mahu mendengar firman yang disampaikan TUHAN dengan perantaraan Nabi Yeremia.
3Pada suatu kali, Raja Zedekia menyuruh Yukhal anak Selemya dan Imam Zefanya anak Maaseya menemui Nabi Yeremia dengan pesan, “Berdoalah untuk kami kepada TUHAN, Allah kita.” 4Pada waktu itu Yeremia masih bebas bergerak di tengah-tengah rakyat kerana dia belum dimasukkan ke dalam penjara. 5Sementara itu pasukan Firaun telah maju dari Mesir, dan ketika khabar itu didengar oleh orang Kasdim yang sedang mengepung Yerusalem, mundurlah mereka dari Yerusalem.
6Datanglah firman TUHAN kepada Nabi Yeremia demikian, 7“Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Katakanlah kepada raja Yehuda yang mengutus kamu kepada-Ku untuk mencari petunjuk, ‘Sesungguhnya, pasukan Firaun yang telah maju untuk membantu kamu itu akan kembali ke negeri mereka, ke Mesir. 8Sementara itu orang Kasdim akan kembali memerangi kota ini, merebutnya, dan membakarnya habis.’ 9Beginilah firman TUHAN: Jangan menipu diri dengan berkata, ‘Orang Kasdim pasti mundur daripada kita,’ kerana mereka tidak akan mundur. 10Sekalipun kamu mengalahkan seluruh pasukan orang Kasdim yang berperang melawan kamu sehingga antara mereka hanya orang terluka yang tersisa, mereka akan bangkit di khemah masing-masing dan membakar habis kota ini.”
Yeremia dipenjarakan
11Setelah pasukan orang Kasdim mundur dari Yerusalem untuk menghindari pasukan Firaun, 12keluarlah Yeremia dari Yerusalem untuk pergi ke Tanah Benyamin. Dia bermaksud menerima bahagian pusakanya di situ, di tengah-tengah kaumnya. 13Ketika dia sampai di Pintu Gerbang Benyamin, seorang kepala penjaga bernama Yeria anak Selemya anak Hananya menangkap Nabi Yeremia sambil berkata, “Engkau hendak membelot kepada orang Kasdim.”
14Jawab Yeremia, “Tidak benar! Aku bukan hendak membelot kepada orang Kasdim!” Tetapi Yeria tidak mahu mendengarkannya. Ditangkapnya Yeremia dan dibawanya menghadap para pembesar. 15Maka marahlah para pembesar ini kepada Yeremia. Mereka memukul dia dan memasukkannya ke dalam rumah tahanan, iaitu rumah jurutulis Yonatan. Rumah itu memang telah dijadikan penjara oleh mereka.
Raja Zedekia memindahkan tempat Nabi Yeremia dikurung
16Setelah Yeremia dimasukkan ke dalam sebuah kurungan di penjara bawah tanah, dan setelah Yeremia tinggal di sana selama beberapa waktu, 17Raja Zedekia mengirim utusan untuk menjemputnya. Di istananya, raja bertanya kepadanya secara diam-diam, “Adakah firman daripada TUHAN?”
Jawab Yeremia, “Ada!” Katanya pula, “Engkau akan diserahkan ke dalam tangan raja Babel.”
18Lalu Yeremia berkata kepada Raja Zedekia, “Apakah dosaku terhadapmu, terhadap pegawaimu, atau terhadap rakyat ini, sehingga kamu memasukkan aku ke dalam tahanan? 19Di manakah para nabimu yang menyampaikan nubuat kepadamu demikian, ‘Raja Babel tidak akan mendatangi kamu ataupun negeri ini’? 20Sekarang, mohon dengarkan aku, ya Tuanku Raja! Semoga engkau berkenan kepada permohonanku: Janganlah kembalikan hamba ke rumah jurutulis Yonatan, supaya hamba tidak mati di sana.”
21Maka Raja Zedekia memberikan perintah agar Yeremia ditahan di pelataran penjagaan. Setiap hari dia diberi seketul roti dari jalan Pembuat Roti, sampailah waktu semua roti di kota itu habis. Demikianlah Yeremia tinggal di pelataran penjagaan itu.

Terpilih Sekarang Ini:

Yeremia 37: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk