Yeremia 36
36
Raja Yoyakim membakar kitab nubuat Yeremia
1 # 2Raj 24:1; 2Taw 36:5-7; Dan 1:1,2. Pada tahun keempat zaman pemerintahan Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda, datanglah firman ini daripada TUHAN kepada Yeremia, 2“Ambillah sebuah gulungan kitab. Tulislah di dalamnya segala firman yang telah Kusampaikan kepadamu mengenai Israel, Yehuda, serta segala bangsa sejak Aku berfirman kepadamu, iaitu sejak zaman Yosia, sampai hari ini. 3Mudah-mudahan ketika keturunan kaum Yehuda mendengar tentang segala malapetaka yang Kurancang bagi mereka, setiap orang mahu berbalik daripada jalan hidupnya yang jahat. Dengan demikian Aku akan mengampunkan kesalahan dan dosa mereka.”
4Maka Yeremia memanggil Barukh anak Neria, dan sementara Yeremia menuturkan segala firman yang telah disampaikan TUHAN kepadanya, Barukh menulisnya secara langsung dalam gulungan kitab itu. 5Kemudian Yeremia berpesan kepada Barukh, “Aku dikenakan larangan. Aku tidak boleh masuk ke dalam Bait TUHAN. 6Jadi, pergilah engkau dan bacalah firman TUHAN daripada gulungan yang telah kautulis langsung daripada penuturanku itu kepada rakyat di Bait TUHAN pada hari puasa. Engkau juga harus membacanya kepada semua orang Yehuda yang datang dari kota-kota mereka. 7Mudah-mudahan mereka kemudian menyampaikan permohonan kepada TUHAN, dan setiap orang mahu berbalik daripada jalan hidupnya yang jahat, kerana besarlah murka serta amarah yang diancamkan TUHAN terhadap bangsa ini.” 8Barukh anak Neria bertindak selaras dengan semua yang dipesankan Nabi Yeremia kepadanya untuk membaca firman TUHAN dari kitab itu di Bait TUHAN.
9Pada tahun kelima zaman pemerintahan Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda, tepatnya pada bulan kesembilan, diisytiharkanlah puasa di hadapan TUHAN bagi seluruh rakyat di Yerusalem serta seluruh rakyat yang datang ke Yerusalem dari kota-kota Yehuda. 10Di dalam bilik Gemarya anak Safan, jurutulis itu, yang terletak di pelataran atas, di depan Pintu Gerbang Baru di Bait TUHAN, Barukh membaca perkataan-perkataan Yeremia daripada kitab itu kepada seluruh rakyat di Bait TUHAN.
11Ketika Mikhaya anak Gemarya anak Safan mendengar segala firman TUHAN daripada kitab itu, 12pergilah dia ke istana raja lalu masuk ke dalam bilik jurutulis. Ternyata semua pembesar sedang duduk di situ, iaitu jurutulis Elisama, Delaya anak Semaya, Elnatan anak Akhbor, Gemarya anak Safan, Zedekia anak Hananya, dan semua pembesar lainnya. 13Mikhaya memberitahukan kepada mereka segala firman yang didengarnya ketika Barukh membacakan kitab itu kepada rakyat. 14Kemudian semua pembesar itu menyuruh Yehudi anak Netanya anak Selemya anak Kusyi menemui Barukh dengan pesan, “Bawalah gulungan yang telah kaubacakan kepada rakyat itu dan datanglah ke mari.” Maka Barukh anak Neria membawa gulungan itu dan datang menemui mereka. 15Kata mereka kepadanya, “Silakan duduk dan bacakanlah kitab itu bagi kami.”
Lalu Barukh membacanya kepada mereka. 16Setelah mereka mendengar segala firman itu, dengan ketakutan mereka pun saling berpandangan. Kata mereka kepada Barukh, “Kita harus memberitahukan segala firman ini kepada raja.” 17Kemudian mereka bertanya kepada Barukh, “Tolong beritahukan kepada kami bagaimana caranya engkau menulis segala firman ini. Adakah daripada penuturannya?”
18Jawab Barukh kepada mereka, “Ya, Yeremia menuturkan langsung segala firman ini kepadaku dan aku menulisnya dengan tinta dalam kitab.”
19Kata para pembesar itu kepada Barukh, “Pergilah dan bersembunyilah bersama Yeremia. Jangan seorang pun tahu di mana kamu berada.”
20Setelah itu, mereka pergi menghadap raja di pelataran, sedang gulungan itu mereka simpan di dalam bilik jurutulis Elisama. Lalu mereka memberitahukan segala firman itu kepada raja. 21Raja menyuruh Yehudi untuk mengambil gulungan itu, lalu dia pun mengambil gulungan itu dari bilik jurutulis Elisama. Kemudian Yehudi membacakannya di hadapan raja dan di hadapan semua pembesar yang berdiri berdekatan dengan raja. 22Waktu itu ialah bulan kesembilan, dan raja sedang duduk di balai musim dingin dengan api menyala di dalam perdiangan di hadapannya. 23Setiap kali Yehudi membaca tiga empat lajur, raja mencabik-cabiknya dengan pisau raut dan mencampakkannya ke dalam api di perdiangan itu, sampai seluruh gulungan itu habis dimakan api di perdiangan itu. 24Raja dan para pegawainya yang mendengar segala firman itu tidak berasa takut dan tidak mengoyakkan pakaian mereka. 25Sebenarnya Elnatan, Delaya, dan Gemarya mendesak raja supaya tidak membakar gulungan itu, tetapi raja tidak mendengar mereka. 26Raja malah memberikan perintah kepada anaknya, Yerahmeel, Seraya anak Azriel, dan Selemya anak Abdeel untuk menangkap jurutulis Barukh dan Nabi Yeremia, tetapi TUHAN menyembunyikan mereka.
27Sesudah raja membakar gulungan berisi perkataan yang dituliskan Barukh langsung daripada penuturan Yeremia, datanglah firman TUHAN kepada Yeremia demikian, 28“Ambillah lagi sebuah gulungan lain. Tuliskanlah di dalamnya segala firman yang ada pada gulungan pertama, yang dibakar oleh Yoyakim, raja Yehuda. 29Mengenai Yoyakim, raja Yehuda, katakanlah, ‘Beginilah firman TUHAN: Engkau telah membakar gulungan itu sambil berkata, “Mengapa engkau menulis di dalamnya demikian: Raja Babel pasti datang memusnahkan negeri ini serta melenyapkan manusia dan haiwannya?” 30Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN mengenai Yoyakim, raja Yehuda: Tiada seorang pun daripada keturunannya akan duduk di atas takhta Daud. Mayatnya akan tercampak sehingga terkena panas pada siang hari dan dingin pada malam hari. 31Aku akan menghukum dia, keturunannya, dan para pegawainya kerana kesalahan mereka. Aku akan mendatangi mereka, penduduk Yerusalem, dan orang Yehuda semua malapetaka yang Kuancamkan kepada mereka kerana mereka tidak mahu mendengar.’ ”
32Maka Yeremia mengambil sebuah gulungan lain dan memberikannya kepada jurutulis Barukh anak Neria. Di dalamnya Barukh menulis secara langsung segala perkataan yang dituturkan Yeremia daripada kitab yang dibakar habis oleh Yoyakim, raja Yehuda. Banyak perkataan serupa ditambahkan pula di dalamnya.
Terpilih Sekarang Ini:
Yeremia 36: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited