Yeremia 31
31
Israel kembali ke negeri sendiri
1“Pada waktu itu juga,” demikianlah firman TUHAN, “Aku akan menjadi Allah bagi seluruh kaum orang Israel dan mereka akan menjadi umat-Ku.”
2Beginilah firman TUHAN,
“Bangsa yang terselamat daripada pedang itu mendapat rahmat di gurun.
Aku akan datang untuk menenangkan Israel.”
3TUHAN menampakkan diri kepadaku dari jauh, firman-Nya:
“Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal,
sebab itu Aku menuntun engkau dengan kasih abadi.
4Aku akan membangunkan engkau kembali,
sehingga engkau dibangunkan, wahai perawan Israel.
Engkau akan menghias diri kembali dengan rebana
dan akan tampil dalam tari-tarian orang yang bersuka ria.
5Engkau akan menanam kebun anggur kembali di gunung-gunung Samaria.
Para penanam akan menanam dan akan menikmati hasilnya.
6Sungguh, akan datang harinya ketika para penjaga berseru di Pergunungan Efraim,
‘Mari kita pergi ke Sion, menghadap TUHAN, Allah kita.’ ”
7Beginilah firman TUHAN,
“Bersorak-sorailah dengan gembira bagi Yakub,
bersoraklah kerana pemimpin bangsa-bangsa.
Khabarkanlah, sanjunglah, dan katakanlah,
‘Ya TUHAN, selamatkanlah umat-Mu,
iaitu saki-baki orang Israel.’
8Sesungguhnya, Aku akan membawa mereka dari tanah utara
dan akan mengumpulkan mereka dari hujung-hujung bumi.
Antara mereka ada orang buta dan orang tempang,
ada perempuan yang mengandung dan juga yang baru bersalin.
Suatu kumpulan yang besar akan kembali ke mari!
9Mereka akan datang sambil menangis,
mereka akan berdoa selagi Aku membawa mereka.
Aku akan memimpin mereka ke tepi perairan
serta di jalan yang rata, tempat mereka tidak akan tersandung,
kerana Akulah bapa bagi Israel,
dan Efraim ialah anak-Ku yang sulung.
10Dengarlah firman TUHAN, wahai bangsa-bangsa,
uar-uarkanlah di daerah-daerah pesisir yang jauh,
katakanlah, ‘Dia yang menyerakkan Israel akan mengumpulkannya kembali
dan menjaganya seperti gembala menjaga kawanan dombanya.’
11TUHAN telah menebus Yakub
dan melepaskan dia daripada tangan-tangan yang lebih kuat daripadanya.
12Mereka akan datang bersorak-sorai di tempat tinggi Sion.
Mereka akan berseri-seri kerana kebaikan TUHAN,
kerana gandum, air anggur, dan minyak,
kerana anak-anak domba dan lembu.
Jiwa mereka akan seperti taman yang diairi,
mereka tidak akan merana lagi.
13Pada waktu itu perawan akan gembira menari,
begitu pula para pemuda bersama-sama orang tua.
Aku akan mengubah perkabungan mereka menjadi kegirangan,
Aku akan menghiburkan mereka dan membuat mereka bersukacita setelah kedukaan mereka.
14Aku akan memuaskan jiwa para imam dengan kelimpahan
dan umat-Ku akan dikenyangkan oleh kebaikan-Ku,”
demikianlah firman TUHAN.
15 # Kej 35:16-19. Mat 2:18. Beginilah firman TUHAN,
“Satu suara terdengar di Rama, perkabungan dan rintih ratap yang getir.
Rahel meratapi anak-anaknya;
dia tidak mahu dilipur hatinya kerana anak-anaknya,
kerana mereka tiada lagi.”
16Beginilah firman TUHAN,
“Tahanlah suaramu daripada menangis
dan matamu daripada mencucurkan air mata,
kerana ada pahala untuk pekerjaanmu,” demikianlah firman TUHAN.
“Mereka akan kembali dari negeri musuh.
17Ada harapan bagi masa depanmu,” demikianlah firman TUHAN.
“Anak-anakmu akan kembali ke daerah mereka.
18Aku sungguh-sungguh telah mendengar Efraim meratap:
‘Engkau telah menghukum aku, dan aku telah menerima hukuman,
seperti anak lembu yang tidak terlatih.
Buatlah aku bertaubat, maka aku akan bertaubat,
kerana Engkaulah TUHAN, Allahku.
19Sungguh, setelah aku bertaubat, aku menyesal.
Setelah aku belajar, aku menepuk paha tanda berkabung.
Aku malu, bahkan mendapat aib,
kerana aku menanggung cela masa mudaku.’
20Adakah Efraim itu anak kesayangan bagi-Ku,
adakah dia anak emas?
Kerana setiap kali Aku mengancam dia,
Aku pasti terkenang lagi kepadanya.
Itulah sebabnya hati-Ku rindu kepadanya,
Aku pasti mengasihaninya,”
demikianlah firman TUHAN.
21“Dirikanlah rambu-rambu jalan,
pasanglah tiang-tiang penanda.
Perhatikanlah jalan raya,
iaitu jalan yang telah kautempuh.
Kembalilah, wahai perawan Israel,
kembalilah ke kota-kotamu ini.
22Berapa lama lagi engkau akan mundar-mandir,
wahai anak perempuan yang tidak setia?
Sungguh, TUHAN menciptakan sesuatu yang baru di negeri:
perempuan melindungi lelaki.”
23Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, “Orang akan mengucapkan perkataan ini lagi di Tanah Yehuda dan di kota-kotanya ketika Aku memulihkan keadaan mereka, ‘Semoga TUHAN memberkati engkau, wahai tempat kediaman kebenaran, wahai gunung yang suci!’ 24Orang Yehuda dan penduduk segala kotanya akan tinggal di situ bersama-sama, baik para petani mahupun orang yang mengembara dengan kawanan ternakan mereka. 25Aku akan memuaskan jiwa yang lelah, dan setiap jiwa yang merana akan Kukenyangkan.”
26Kerana hal itu aku terjaga lalu memandang ke sekeliling. Tidurku menyenangkan bagiku.
27“Sesungguhnya, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN, “bahawa Aku akan menaburi keturunan kaum Israel dan keturunan kaum Yehuda dengan benih manusia serta dengan benih haiwan. 28Jadi, sebagaimana Aku telah mengawasi mereka untuk mencabut, merobohkan, meruntuhkan, memusnahkan, dan menghancurkan, demikianlah Aku akan mengawasi mereka untuk membangunkan serta menanam,” demikianlah firman TUHAN. 29#Yeh 18:2.“Pada waktu itu orang tidak akan berkata lagi,
‘Ayah makan buah anggur masam
dan gigi anak-anaknya menjadi ngilu.’
30Tetapi setiap orang akan mati kerana kesalahannya sendiri. Setiap manusia yang makan buah anggur masam, giginya sendiri menjadi ngilu.
31 # Mat 26:28; Mrk 14:24; Luk 22:20; 1Kor 11:25; 2Kor 3:6. # Ibr 8:8-12. Lihatlah, akan tiba harinya,” firman TUHAN,
“apabila Aku membuat perjanjian baru dengan keturunan kaum Israel dan keturunan kaum Yehuda.
32Tidak seperti perjanjian
yang telah Kubuat dengan nenek moyang mereka ketika Aku membimbing tangan mereka untuk membawa mereka keluar dari Tanah Mesir.
Perjanjian-Ku itu telah diingkari mereka,
sungguhpun Aku ini seperti suami bagi mereka,”
demikianlah firman TUHAN.
33 # Ibr 10:16. “Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan keturunan kaum Israel selepas zaman itu,”
TUHAN berfirman,
“Aku akan meletakkan hukum-Ku dalam fikiran mereka
dan menuliskannya dalam hati mereka.
Aku akan menjadi Allah mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku.
34 # Ibr 10:17. Tiada seorang pun daripada mereka akan mengajar jirannya atau saudaranya dengan berkata,
‘Kenalilah TUHAN,’
kerana semuanya, daripada yang terkecil kepada yang terbesar, akan mengenal Aku,”
demikianlah firman TUHAN. “Aku akan mengampunkan kesalahan mereka dan tidak akan mengingati dosa mereka lagi.”
35Beginilah firman TUHAN —
yang mengurniakan matahari
untuk menerangi siang,
yang menetapkan bulan serta bintang-bintang
untuk menerangi malam,
yang menggelorakan laut
sehingga gelombang-gelombangnya menderu –
TUHAN alam semesta, nama-Nya,
36“Jika ketetapan-ketetapan ini dapat hilang dari hadapan-Ku,”
demikianlah firman TUHAN,
“barulah keturunan Israel akan terputus
menjadi sebuah bangsa di hadapan-Ku untuk sepanjang masa.”
37Beginilah firman TUHAN,
“Jika langit di atas dapat diukur
dan dasar bumi di bawah dapat diselidiki,
barulah Aku akan menolak seluruh keturunan Israel
kerana segala hal yang telah dilakukan mereka,” demikianlah firman TUHAN.
38“Sesungguhnya, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN, “bahawa kota itu akan dibangunkan kembali bagi kemuliaan TUHAN, dari Menara Hananeel sampai ke Pintu Gerbang Sudut. 39Tali pengukur masih akan terus merentang ke Bukit Gareb, lalu membelok ke Goa. 40Seluruh lembah tempat mayat dan abu, serta seluruh ladang sampai ke Sungai Kidron dan sudut Pintu Gerbang Kuda ke arah timur, akan menjadi suci bagi TUHAN. Kota itu tidak akan dibongkar dan tidak akan diruntuhkan lagi untuk selama-lamanya.”
Terpilih Sekarang Ini:
Yeremia 31: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited