Yeremia 31:27-34

Yeremia 31:27-34 AVB

“Sesungguhnya, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN, “bahawa Aku akan menaburi keturunan kaum Israel dan keturunan kaum Yehuda dengan benih manusia serta dengan benih haiwan. Jadi, sebagaimana Aku telah mengawasi mereka untuk mencabut, merobohkan, meruntuhkan, memusnahkan, dan menghancurkan, demikianlah Aku akan mengawasi mereka untuk membangunkan serta menanam,” demikianlah firman TUHAN. “Pada waktu itu orang tidak akan berkata lagi, ‘Ayah makan buah anggur masam dan gigi anak-anaknya menjadi ngilu.’ Tetapi setiap orang akan mati kerana kesalahannya sendiri. Setiap manusia yang makan buah anggur masam, giginya sendiri menjadi ngilu. Lihatlah, akan tiba harinya,” firman TUHAN, “apabila Aku membuat perjanjian baru dengan keturunan kaum Israel dan keturunan kaum Yehuda. Tidak seperti perjanjian yang telah Kubuat dengan nenek moyang mereka ketika Aku membimbing tangan mereka untuk membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Perjanjian-Ku itu telah diingkari mereka, sungguhpun Aku ini seperti suami bagi mereka,” demikianlah firman TUHAN. “Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan keturunan kaum Israel selepas zaman itu,” TUHAN berfirman, “Aku akan meletakkan hukum-Ku dalam fikiran mereka dan menuliskannya dalam hati mereka. Aku akan menjadi Allah mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku. Tiada seorang pun daripada mereka akan mengajar jirannya atau saudaranya dengan berkata, ‘Kenalilah TUHAN,’ kerana semuanya, daripada yang terkecil kepada yang terbesar, akan mengenal Aku,” demikianlah firman TUHAN. “Aku akan mengampunkan kesalahan mereka dan tidak akan mengingati dosa mereka lagi.”