Yeremia 16

16
Hukuman Allah terhadap bangsa itu
1Firman TUHAN datang kepadaku demikian, 2“Jangan nikahi seorang perempuan dan jangan punyai anak lelaki atau anak perempuan di tempat ini.” 3Sebabnya beginilah firman TUHAN mengenai anak lelaki dan anak perempuan yang dilahirkan di tempat ini, mengenai ibu-ibu yang melahirkan mereka, dan mengenai ayah-ayah yang mendapatkan mereka di negeri ini: 4“Mereka akan mati oleh penyakit yang membawa maut. Mereka tidak akan diratapi dan tidak akan dikuburkan, melainkan akan menjadi baja kandang di permukaan tanah. Mereka akan dibinasakan oleh pedang dan oleh bencana kebuluran. Mayat mereka akan menjadi makanan burung-burung di udara dan binatang-binatang di bumi.”
5Beginilah firman TUHAN, “Jangan masuk ke rumah yang ada perkabungan, jangan pergi meratap, dan jangan berdukacita kerana mereka, oleh sebab Aku telah menarik damai-Ku daripada bangsa ini,” demikianlah firman TUHAN, “begitu pula kasih abadi dan rahmat-Ku. 6Besar ataupun kecil akan mati di negeri ini tanpa dikuburkan. Tidak ada yang akan meratapi mereka, tidak ada yang akan menoreh-noreh diri, dan tidak ada yang akan menggondolkan kepala kerana mereka. 7Tidak ada yang akan membahagi-bahagikan roti kepada orang yang berkabung untuk menghibur dia kerana kematian itu. Tidak ada yang akan memberi dia minum dari cawan penghiburan sehubungan dengan kematian ayah atau ibunya.
8Jangan masuk ke tempat perjamuan untuk duduk makan dan minum dengan mereka.” 9#Yer 7:34; 25:10; Why 18:23.Kerana beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, “Sesungguhnya, di tempat ini, di hadapan matamu dan pada zamanmu, Aku akan menghentikan suara kegirangan dan suara kegembiraan, suara pengantin lelaki dan suara pengantin perempuan.
10Nanti, apabila engkau memberitahukan segala firman ini kepada bangsa itu lalu mereka bertanya kepadamu, ‘Mengapakah TUHAN menyatakan segala malapetaka besar ini kepada kami? Apakah kesalahan kami? Apa dosa yang telah kami lakukan terhadap TUHAN, Allah kami?’ 11Maka jawablah mereka, ‘Kerana nenek moyangmu meninggalkan Aku,’ demikianlah firman TUHAN, ‘dan mengikuti tuhan-tuhan lain, beribadat serta sujud menyembah tuhan-tuhan itu. Mereka meninggalkan Aku dan tidak berpegang teguh pada hukum-Ku. 12Kamu sendiri berbuat lebih banyak jahat daripada nenek moyangmu. Lihatlah, setiap orang menuruti kedegilan hatinya yang jahat, dan tidak mendengar Aku. 13Oleh sebab itu Aku akan melemparkan kamu dari negeri ini ke negeri yang tidak kaukenali atau dikenali oleh nenek moyangmu. Di sana kamu akan beribadat kepada tuhan-tuhan lain, siang dan malam, kerana Aku tidak akan menunjukkan belas kasihan kepadamu.’ ”
14“Oleh sebab itu ketahuilah, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN, “bahawa tidak lagi akan dikatakan, ‘Demi TUHAN yang hidup, yang menuntun bani Israel keluar dari Tanah Mesir,’ 15tetapi, ‘Demi TUHAN yang hidup, yang menuntun bani Israel keluar dari tanah utara dan dari segala negeri tempat Dia menghalau mereka.’ Aku akan membawa mereka kembali ke tanah yang telah Kukurniakan kepada nenek moyang mereka.”
16“Sesungguhnya, Aku akan menyuruh ramai penangkap ikan,” demikianlah firman TUHAN, “untuk menangkap mereka. Setelah itu, Aku akan menyuruh ramai pemburu untuk memburu mereka dari semua gunung, dari semua bukit, dan dari celah-celah bukit batu. 17Pandangan-Ku tertuju pada segala perilaku mereka. Semuanya tidak tersembunyi dari hadirat-Ku, dan kesalahan mereka pun tidak terlindung daripada pandangan-Ku. 18Mula-mula Aku akan membalas kesalahan dan dosa mereka dua kali ganda, kerana mereka telah menajiskan tanah-Ku dengan tuhan mereka yang menjijikkan dan mati, dan telah memenuhi harta pusaka-Ku dengan kekejian mereka.”
19Ya TUHAN, kekuatanku dan bentengku,
tempat pelarianku pada hari kesesakan,
kepada-Mu bangsa-bangsa akan datang dari hujung-hujung bumi dan berkata,
“Sungguh, yang diwarisi nenek moyang kami hanyalah kebohongan,
berhala yang sia-sia dan tidak berfaedah.
20Dapatkah manusia membuat tuhan bagi diri mereka?
Yang demikian bukan Tuhan!”
21“Oleh sebab itu ketahuilah,
Aku akan memberitahu mereka,
ya, kali ini Aku akan memberitahu mereka tentang kuasa dan keperkasaan-Ku,
supaya mereka tahu bahawa nama-Ku TUHAN.”

Terpilih Sekarang Ini:

Yeremia 16: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk