Hakim-Hakim 18
18
Bani Dan merampas patung sembahan Mikha
1Pada zaman itu orang Israel tidak diperintah oleh raja, dan pada zaman itu suku Dan sedang mencari harta pusaka agar dengannya mereka dapat menetap dan menjalani kehidupan. Sebabnya sehingga masa itu mereka belum menerima bahagian warisan mereka sebagai satu daripada suku-suku Israel. 2Lalu bani Dan memilih lima orang lelaki daripada kaum mereka, kesemuanya warga yang gagah perkasa yang berasal dari Zora dan Esytaol. Tugas mereka adalah untuk mengintai negeri itu dan menjelajahinya. Mereka diperintahkan, “Pergilah menjelajahi negeri itu.” Ketika mereka itu tiba di pergunungan Efraim mereka pun bermalam di rumah Mikha. 3Apabila hampir tiba di rumah Mikha, mereka kenal akan loghat pemuda bani Lewi itu. Mereka pun singgah di situ lalu berkata kepadanya, “Siapakah yang membawa kamu ke mari? Apakah pekerjaanmu dan urusanmu di sini?”
4Dia menjawab mereka, “Mikha melakukan begini dan begitu kepadaku; dan dia mengupah aku untuk menjadi imamnya.” 5Oleh itu, mereka berkata kepadanya, “Tanyalah kepada Allah, agar kami ketahui sama ada berhasil kelak perjalanan yang kami tempuh ini ataupun tidak.”
6Kata imam itu kepada mereka, “Pergilah dengan selamat! Perjalanan yang kamu tempuh ini dipandang baik oleh TUHAN.”
7Pergilah kelima-lima orang itu lalu mereka tiba di Lais. Di situ mereka melihat warganya hidup aman tenteram, menurut adat orang Sidon, dan selamat. Warga di situ tidak kekurangan apa-apa pun, dan tiada sesiapa yang memperkotak-katikkan kehidupan mereka. Mereka tinggal jauh daripada orang Sidon dan tidak bergaul dengan sesiapa pun. 8Setelah itu, kembalilah mereka kepada saudara-mara suku mereka di Zora dan Esytaol. Lalu bertanyalah kaum mereka kepada mereka, “Apakah yang kamu dapati di sana?” 9Jawab mereka, “Bangkitlah, kita mara dan menyerang mereka, kerana kami telah melihat betapa amat baik negeri mereka itu. Adakah kita akan tinggal diam sahaja? Jangan buang masa lagi. Marilah kita maju untuk memasuki dan menduduki negeri itu. 10Apabila kamu memasuki negeri itu, kamu akan mendapati rakyatnya hidup aman damai. Sesungguhnya, Allah telah menyerahkan negeri yang luas itu ke dalam tanganmu, tempat yang tidak kekurangan apa-apa pun yang ada di muka bumi.”
11Lalu berangkatlah bani Dan seramai enam ratus orang dari Zora dan Esytaol, dan mereka dilengkapi dengan senjata. 12Mereka mara lalu berkhemah di Kiryat-Yearim di Yehuda. Oleh itu, sampai sekarang tempat itu disebut sebagai Mahane-Dan serta terletak di sebelah barat Kiryat-Yearim. 13Dari sana mereka bergerak terus ke pergunungan Efraim dan sampai di rumah Mikha.
14Lalu kelima-lima orang yang pergi mengintai keadaan di daerah Lais itu berkata kepada saudara-mara mereka, “Tahukah kamu bahawa di rumah-rumah ini ada efod, berhala yang disembah, patung pahatan dan patung tuangan? Maka, kini kamu tahu apa yang perlu kamu lakukan!” 15Mereka menuju ke tempat itu dan sampailah di tempat orang muda suku Lewi tersebut iaitu di rumah Mikha, lalu mereka bertanyakan khabarnya. 16Sementara itu angkatan seramai enam ratus orang daripada bani Dan yang dilengkapi dengan senjata masing-masing itu berdiri di pintu gerbang. 17Lima orang peninjau itu berjalan terus lalu masuk ke dalam lalu mengambil patung pahatan, efod, berhala yang disembah serta patung tuangan itu sementara imam itu berdiri di pintu gerbang bersama-sama enam ratus orang yang dilengkapi dengan senjata masing-masing.
18Setelah lima orang peninjau itu memasuki rumah Mikha dan mengambil patung pahatan, efod, berhala yang disembah dan patung tuangan itu, berkatalah imam itu kepada mereka, “Apakah yang kamu buat ini?”
19Jawab mereka kepadanya, “Diam, tutup mulut, ikutlah kami dan jadilah bapa dan imam kami. Yang mana lebih baik bagimu, menjadi imam untuk seisi rumah seseorang atau menjadi imam kepada satu suku kaum orang Israel?” 20Gembiralah hati imam itu. Dia mengambil efod, berhala yang disembah dan patung pahatan itu lalu pergi ke tengah-tengah khalayak orang ramai itu.
21Maka mereka berpatah balik lalu pergi dengan menempatkan anak-anak, binatang ternakan dan barang-barang yang berharga di hadapan mereka. 22Setelah mereka sudah agak jauh dari rumah Mikha, para lelaki dari rumah-rumah yang berdekatan dengan rumah Mikha berkumpul lalu mengejar dan memintas para warga bani Dan itu. 23Berteriaklah mereka kepada bani Dan yang berpaling kepada mereka lalu berkata kepada Mikha, “Apakah yang kamu mahu dengan mengerah orang berhimpun sebegini?”
24Mikha menjawab, “Kamu mengambil tuhan-tuhanku yang kubuat dan mengambil juga imamku. Jadi apa lagi yang masih ada padaku? Bagaimanakah boleh kamu tanya kepadaku: Apa yang kamu mahu?”
25Berkatalah bani Dan kepadanya, “Janganlah suaramu kedengaran lagi kepada kami sampai ada orang menyerang kamu sehingga kamu serta seisi rumahmu kehilangan nyawa.” 26Bani Dan meneruskan perjalanan mereka, dan Mikha yang melihat mereka itu terlalu kuat untuk ditentangnya berpaling pulang ke rumahnya.
27Demikianlah bani Dan membawa barang-barang yang dibuat oleh Mikha dan imamnya. Seterusnya mereka mendatangi Lais yang rakyatnya hidup dengan aman tenteram serta menyerang umat di situ dengan mata pedang dan membakar kota mereka. 28Tiada sesiapa yang datang menolong kerana kota itu jauh dari Sidon dan seluruh warga kota itu tidak bergaul dengan sesiapa pun. Selepas itu, kota yang terletak di lembah Bet-Rehob itu dibangunkan semula oleh bani Dan yang kemudiannya menetap di situ. 29Kota yang sebelum itu bernama Lais itu dinamakan mereka “Dan” sempena nama bapa leluhur mereka iaitu Dan, yang lahir bagi Israel. 30Bani Dan menegakkan serta menyembah patung pahatan yang diambil mereka itu, lalu Yonatan anak Gersom anak Musa bersama-sama anak-anaknya menjadi imam bagi suku Dan sampai waktu apabila bumi mereka itu ditawan oleh musuh. 31Demikianlah mereka menempatkan patung pahatan yang dibuat oleh Mikha selagi Rumah Allah berada di Silo.
Terpilih Sekarang Ini:
Hakim-Hakim 18: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited