Hakim-Hakim 13

13
Kelahiran Simson
1Orang Israel berbuat jahat lagi di mata TUHAN lantas TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Filistin selama empat puluh tahun.
2Pada waktu itu ada seorang lelaki bernama Manoah daripada keturunan bani Dan dari Zora. Isteri Manoah ini mandul dan tidak memberikan zuriat kepadanya. 3Muncullah Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada perempuan itu lalu berkata kepadanya, “Memang engkau mandul dan tidak melahirkan anak tetapi engkau akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. 4Maka peliharalah dirimu, jangan minum air anggur atau minuman keras dan jangan makan sesuatu yang haram. 5#Bil 6:1-5.Sebabnya engkau akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki dan tiada pisau cukur yang akan menyentuh kepalanya. Anak itu akan menjadi seorang penazar Allah dan dialah akan mula menyelamatkan orang Israel daripada tangan orang Filistin.”
6Lalu perempuan itu datang kepada suaminya dan berkata, “Seorang hamba Allah datang kepadaku dan rupanya seperti malaikat Allah, amat mengagumi. Aku tidak bertanya dari mana datangnya, dan dia tidak memberitahu namanya kepadaku. 7Tetapi dia berkata kepadaku: Engkau akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Maka janganlah minum air anggur atau minuman yang memabukkan dan jangan makan sesuatu yang haram, kerana sejak dalam kandungan ibunya sampai ke hari matinya, anak itu akan menjadi seorang penazar Allah.”
8Lalu Manoah memohon kepada TUHAN dengan berkata, “Ya Tuhan, semoga hambamu yang Engkau utus itu dapat datang lagi kepada kami dan mengajar kami, apa yang harus kami lakukan demi anak yang akan lahir itu.”
9Allah mendengarkan permohonan Manoah. Maka datanglah Malaikat-Nya sekali lagi kepada perempuan itu ketika dia sedang duduk di padang tetapi suaminya, Manoah, tidak ada bersama-samanya ketika itu. 10Dengan segera dia berlari lalu memberitahu suaminya, “Orang yang datang kepadaku hari itu menampakkan diri kepadaku lagi.”
11Berangkatlah Manoah lalu mengikuti isterinya. Setelah sampai kepada orang itu, Manoah berkata, “Engkaukah orang yang telah berbicara kepada perempuan ini?”
Jawabnya, “Benar!”
12Berkatalah Manoah, “Sesudah berlakunya apa yang Tuan katakan itu, bagaimanakah hidup anak itu kelak dan apakah pekerjaannya?”
13Malaikat TUHAN menjawab Manoah, “Perempuan itu harus memelihara diri terhadap semua yang Kupesan kepadanya. 14Janganlah dia makan sesuatu yang berasal daripada pokok anggur; atau minum air anggur atau minuman keras dan dia tidak boleh makan sesuatu yang haram. Dia mesti patuh kepada segala yang Kuperintahkan kepadanya.”
15Kata Manoah kepada Malaikat TUHAN itu, “Izinkanlah kami menahan Tuan di sini, supaya kami dapat menyediakan seekor anak kambing untuk menjamu Tuan.” 16Tetapi jawab Malaikat TUHAN itu kepada Manoah, “Biarpun engkau menahan Aku di sini, Aku tidak akan makan hidanganmu.
Tetapi jika kamu menyediakan korban bakaran, maka persembahkanlah kepada TUHAN.” Manoah tidak mengetahui, bahawa Dia itu Malaikat TUHAN.
17Lalu Manoah bertanya kepada Malaikat TUHAN itu, “Siapakah nama Tuan, agar dapat kami muliakan Tuan apabila berlakunya apa yang Tuan katakan itu.”
18Tetapi jawab Malaikat TUHAN itu kepadanya, “Mengapa engkau bertanyakan nama-Ku memandangkan nama-Ku terlalu ajaib?”
19Maka Manoah mengambil seekor anak kambing serta persembahan makanan lalu dipersembahkan kepada TUHAN di atas batu itu. Lalu Dia melakukan keajaiban. Manoah bersama dengan isterinya sedang melihatnya. 20Apabila api yang bernyala itu naik ke langit dari mazbah itu, Malaikat TUHAN turut naik dalam nyala api mazbah itu. Manoah dan isterinya yang melihat hal ini sujud menyembamkan muka ke tanah. 21Sejak itu Malaikat itu tidak menampakkan diri-Nya lagi kepada Manoah dan isterinya. Maka tahulah Manoah, bahawa Dia itu Malaikat TUHAN.
22Berkatalah Manoah kepada isterinya, “Kita pasti mati, kerana kita telah nampak Allah.”
23Tetapi isterinya berkata kepadanya, “Jika TUHAN hendak membunuh kita, tentu Dia tidak menerima korban bakaran dan korban sajian daripada tangan kita; Dia juga tidak akan memperlihatkan semuanya itu kepada kita dan Dia juga tidak akan memperdengarkan hal-hal yang sedemikian kepada kita pada waktu ini.”
24Maka perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya Simson. Anak itu bertambah besar dan TUHAN memberkatinya. 25Mulailah Roh TUHAN menggerakkan hatinya di Mahane-Dan yang terletak di antara Zora dengan Esytaol.

Terpilih Sekarang Ini:

Hakim-Hakim 13: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk