Yesaya 63

63
Hukuman ke atas bangsa-bangsa
1 # Yes 34:5-17; Yer 49:7-22; Yeh 25:12-14; 35:1-15; Am 1:11,12; Ob 1:1-14; Mal 1:2-5. Siapakah ini yang datang dari Edom,
yang datang dari Bozra dengan baju merah?
Siapakah ini yang semarak pakaiannya,
yang melangkah dengan kekuatannya yang hebat?
“Akulah itu, yang berfirman dalam perbenaran,#63:1 Perbenaran: Perkataan ini dalam bahasa Ibrani juga merangkumi makna kemenangan. yang perkasa untuk menyelamatkan!”
2Mengapakah merah pakaian-Mu
dan baju-Mu seperti baju orang yang mengirik di tempat pemerasan anggur?
3 # Why 14:20; 19:15. Why 19:13. “Aku mengirik tempat pemerasan anggur seorang diri,
daripada kalangan bangsa tiada seorang pun menyertai-Ku.
Aku mengirik mereka dalam kemarahan-Ku dan menginjak-injak mereka dalam murka-Ku.
Darah mereka terpercik pada baju-Ku
dan seluruh pakaian-Ku tercemar.
4Hari pembalasan telah Kurancang
dan tahun penebusan-Ku telah tiba.
5 # Yes 59:16. Aku melayangkan pandang tetapi tidak ada yang menolong,
Aku hairan kerana tidak ada yang membantu.
Oleh sebab itu kuasa-Ku sendiri membawa kemenangan bagi-Ku dan murka-Ku membantu Aku.
6Dalam kemarahan-Ku Aku menginjak-injak bangsa-bangsa,
memabukkan mereka dengan murka-Ku, dan menumpahkan darah mereka ke bumi.”
Doa pengakuan dan permohonan Israel
7Aku hendak memasyhurkan kasih abadi TUHAN,
puji-pujian kepada TUHAN
atas semua yang dilakukan TUHAN terhadap kita,
dan kebajikan besar bagi keturunan kaum Israel
yang dilakukan-Nya terhadap mereka menurut kasih sayang-Nya
serta menurut kasih abadi-Nya yang berlimpah.
8Demikianlah firman-Nya,
“Sungguh, mereka ialah umat-Ku,
anak-anak yang tidak akan berbohong,”
maka Dia menjadi Penyelamat mereka.
9Dalam segala kesesakan mereka,
Dia pun turut berasa sesak,
dan malaikat dari hadirat-Nya menyelamatkan mereka.
Dengan kasih-Nya dan belas kasihan-Nya Dia menebus mereka, mengangkat mereka, dan menggendong mereka sepanjang zaman dahulu.
10Tetapi mereka menderhaka dan mendukakan Roh Suci-Nya.
Oleh sebab itu Dia berpaling menjadi musuh mereka,
Dia sendiri memerangi mereka.
11Lalu mereka teringat pada zaman dahulu, zaman Musa dan umat-Nya.
Di manakah Dia yang membawa mereka naik dari laut
bersertakan para gembala kawanan kambing domba-Nya?
Di manakah Dia yang menaruh Roh Suci-Nya di tengah-tengah mereka,
12 # Kel 14:21. yang menuntun mereka di sebelah kanan Musa dengan tangan-Nya yang mulia,
yang membelah air laut di hadapan mereka supaya nama-Nya termasyhur untuk selama-lamanya,
13dan yang menuntun mereka menyeberangi samudera?
Seperti kuda di gurun mereka tidak terantuk.
14Seperti ternak yang turun ke lembah,
mereka diberi ketenteraman oleh roh TUHAN.
Demikianlah Engkau menuntun umat-Mu supaya nama-Mu dimuliakan.
15Pandanglah dari syurga
dan lihatlah dari kediaman-Mu yang suci dan mulia.
Di manakah semangat-Mu dan keperkasaan-Mu?
Gelora hiba-Mu dan kasih sayang-Mu tertahan bagiku!
16Tetapi Engkaulah Bapa bagi kami,
sekalipun Abraham tidak tahu tentang kami dan Israel tidak mengenal kami.
Ya TUHAN, Engkaulah Bapa bagi kami,
nama-Mu ialah “Penebus kami sejak dahulukala.”
17Ya TUHAN, mengapakah Engkau membiarkan kami tersesat dari jalan-jalan-Mu
dan mengeraskan hati kami sehingga kami tidak takut kepada-Mu?
Kembalilah demi hamba-hamba-Mu,
suku-suku harta pusaka-Mu.
18Buat tempoh sekejap sahaja umat-Mu memiliki tanah suci-Mu,
sekarang lawan-lawan kami telah menginjak-injak tempat suci-Mu.
19Kami seperti orang yang tidak pernah berada di bawah pemerintahan-Mu sejak dahulu,
seperti orang yang tidak disebut dengan nama-Mu.

Terpilih Sekarang Ini:

Yesaya 63: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk