Yesaya 30:8-18

Yesaya 30:8-18 AVB

Sekarang pergilah, tuliskanlah hal itu bagi mereka pada sebuah loh, dan suratkanlah dalam sebuah kitab, supaya itu menjadi kesaksian untuk masa yang akan datang, untuk selama-lamanya. Mereka ini bangsa yang derhaka, anak-anak yang suka berdusta, anak-anak yang tidak mahu mendengar hukum TUHAN. Mereka berkata kepada para pelihat, “Jangan menelah lagi,” dan kepada para nabi, “Jangan menilik apa yang benar bagi kami. Katakanlah hal-hal yang manis kepada kami; Katakanlah hal-hal khayalan. Menyisihlah dari laluan, menjauhlah dari jalan ini! Biarlah Yang Maha Suci, Allah Israel itu, menyingkir meninggalkan kami!” Oleh sebab itu beginilah firman Yang Maha Suci, Allah Israel, “Kerana kamu menolak firman ini, menaruh harapan kepada pemerasan dan muslihat, serta bergantung kepadanya, maka kesalahanmu ini seperti tembok tinggi yang retak dan hampir jatuh, yang tersembul pada tembok tinggi, yang kehancurannya datang dengan tiba-tiba, dalam sekelip mata. Kehancurannya seperti kehancuran tempayan tukang periuk yang diremukkan tanpa rasa sayang, sehingga antara pecahannya tidak didapati sekeping pun yang dapat digunakan untuk mengambil api dari pendiangan atau untuk mencedok air dari dalam takungan.” Beginilah firman Tuhan ALLAH, Yang Maha Suci, Allah Israel, “Dengan bertaubat dan bertenang, kamu akan diselamatkan. Dengan berdiam diri dan percaya, terdapatnya kekuatanmu.” Tetapi kamu tidak mahu! Sebaliknya, kamu berkata, “Tidak, kami akan lari menaiki kuda.” Oleh sebab itu kamu akan melarikan diri! “Kami akan menunggang kuda yang tangkas.” Oleh sebab itu para pengejarmu pun memang tangkas! Seribu orang akan lari kerana gertakan seorang. Dengan gertakan lima orang kamu semua akan melarikan diri, sampai kamu ditinggalkan seperti tiang di puncak gunung dan seperti panji-panji di atas bukit. Itulah sebabnya TUHAN menanti-nantikan saat untuk mengasihani kamu, itulah sebabnya Dia bangkit untuk menyayangi kamu, kerana TUHAN sememangnya Allah yang adil. Berbahagialah semua orang yang menanti-nantikan Dia!