YESAYA 30:8-18
YESAYA 30:8-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Allah menyuruh aku mencatat kejahatan umat ini di dalam sebuah kitab, sebagai peringatan untuk selama-lamanya. Mereka sentiasa memberontak terhadap Allah, sentiasa berdusta, dan enggan menurut ajaran-ajaran TUHAN. Mereka menyuruh para nabi menutup mulut. Mereka berkata, “Jangan katakan hal yang benar kepada kami, tetapi katakan hal yang ingin kami dengar. Biarlah kami berkhayal. Ke tepi! Jangan halangi kami. Kami tidak mahu mendengar tentang Allah Israel, Allah kamu yang suci.” Tetapi inilah firman Allah Israel, Allah yang suci, “Kamu tidak menghirau firman-Ku dan kamu bergantung kepada kekerasan serta penipuan. Kamu bersalah. Kamu seperti tembok tinggi yang retak dari atas sampai ke bawah. Dengan tiba-tiba kamu akan roboh. Kamu akan hancur seperti belanga, dan begitu luluh sehingga tiada bahagian yang dapat digunakan untuk mengambil bara, atau untuk mencedok air dari tempayan.” TUHAN Raja, Allah Israel, Allah yang suci, berfirman kepada umat-Nya, “Kembalilah kepada-Ku dan percayalah kepada-Ku dengan hati yang tenteram. Maka kamu akan Kukuatkan dan Kuselamatkan.” Tetapi kamu tidak mahu. Sebaliknya kamu merancang untuk lari daripada musuh dengan menunggang kuda yang laju. Memang kamu perlu lari! Pada sangka kamu kuda kamu cukup laju, tetapi pengejar-pengejar kamu lebih cepat! Seribu orang akan lari apabila melihat seorang musuh, dan lima orang musuh cukup untuk menyebabkan kamu semua lari. Tentera kamu akan lenyap, dan yang tinggal hanya sebatang tiang bendera di atas bukit. Namun TUHAN menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. Dia mengasihani kamu kerana Dia Allah yang sentiasa berbuat adil. Berbahagialah mereka yang berharap kepada TUHAN.
YESAYA 30:8-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekarang pergilah, tuliskanlah hal itu bagi mereka pada sebuah loh, dan suratkanlah dalam sebuah kitab, supaya itu menjadi kesaksian untuk masa yang akan datang, untuk selama-lamanya. Mereka ini bangsa yang derhaka, anak-anak yang suka berdusta, anak-anak yang tidak mahu mendengar hukum TUHAN. Mereka berkata kepada para pelihat, “Jangan menelah lagi,” dan kepada para nabi, “Jangan menilik apa yang benar bagi kami. Katakanlah hal-hal yang manis kepada kami; Katakanlah hal-hal khayalan. Menyisihlah dari laluan, menjauhlah dari jalan ini! Biarlah Yang Maha Suci, Allah Israel itu, menyingkir meninggalkan kami!” Oleh sebab itu beginilah firman Yang Maha Suci, Allah Israel, “Kerana kamu menolak firman ini, menaruh harapan kepada pemerasan dan muslihat, serta bergantung kepadanya, maka kesalahanmu ini seperti tembok tinggi yang retak dan hampir jatuh, yang tersembul pada tembok tinggi, yang kehancurannya datang dengan tiba-tiba, dalam sekelip mata. Kehancurannya seperti kehancuran tempayan tukang periuk yang diremukkan tanpa rasa sayang, sehingga antara pecahannya tidak didapati sekeping pun yang dapat digunakan untuk mengambil api dari pendiangan atau untuk mencedok air dari dalam takungan.” Beginilah firman Tuhan ALLAH, Yang Maha Suci, Allah Israel, “Dengan bertaubat dan bertenang, kamu akan diselamatkan. Dengan berdiam diri dan percaya, terdapatnya kekuatanmu.” Tetapi kamu tidak mahu! Sebaliknya, kamu berkata, “Tidak, kami akan lari menaiki kuda.” Oleh sebab itu kamu akan melarikan diri! “Kami akan menunggang kuda yang tangkas.” Oleh sebab itu para pengejarmu pun memang tangkas! Seribu orang akan lari kerana gertakan seorang. Dengan gertakan lima orang kamu semua akan melarikan diri, sampai kamu ditinggalkan seperti tiang di puncak gunung dan seperti panji-panji di atas bukit. Itulah sebabnya TUHAN menanti-nantikan saat untuk mengasihani kamu, itulah sebabnya Dia bangkit untuk menyayangi kamu, kerana TUHAN sememangnya Allah yang adil. Berbahagialah semua orang yang menanti-nantikan Dia!