Ibrani 6

6
1Dengan demikian, marilah kita tinggalkan perbincangan asas ajaran tentang Kristus dan terus beralih kepada kesempurnaan. Usahlah kita letakkan asas lagi, iaitu taubat daripada perbuatan yang sia-sia, dan beriman kepada Allah, 2ajaran tentang pembaptisan, penumpangan tangan, kebangkitan daripada kematian, dan hukuman yang kekal. 3Kita akan melakukannya jika Allah mengizinkan.
4Bagi orang yang pernah mengenal kebenaran, telah mengecap pemberian dari syurga, telah mendapat bahagian dalam Roh Kudus, 5telah merasakan kebaikan firman Allah dan kuasa zaman akan datang, 6jika mereka berpaling, mustahil untuk membawa mereka bertaubat semula, kerana mereka telah menyalib Anak Allah sekali lagi bagi diri mereka serta memalukan-Nya di mata orang ramai.
7Tanah yang menghirup air hujan yang sering menimpanya, lalu mengeluarkan tanam-tanaman yang berguna bagi orang, adalah diberkati Allah. 8#Kej 3:17,18.Sebaliknya, jika tanah itu mengeluarkan duri dan lalang, maka ia disingkirkan serta hampir dilaknat, dan akhirnya dibakar.
Berdiri teguh dalam iman
9Namun demikian, saudara-saudara yang dikasihi, sungguhpun kami berkata demikian, kami yakin bahawa perkara yang lebih baik akan berlaku kepadamu, ya, perkara yang mengiringi penyelamatan. 10Allah sentiasa adil dan tidak akan melupakan kerja serta usaha kasih yang telah kamu tunjukkan untuk nama-Nya, iaitu kamu telah dan sedang melayan orang yang salih. 11Kami mahu setiap orang daripada kamu menunjukkan kesungguhan usaha yang sama untuk memberi sepenuh keyakinan terhadap harapanmu hingga ke akhir. 12Janganlah kamu menjadi lembap; teladani mereka yang mewarisi janji itu melalui iman dan kesabaran.
13Apabila Allah berjanji kepada Abraham, Dia tidak mungkin bersumpah dengan nama lain kerana tiada siapa lebih besar daripada-Nya, lalu Dia bersumpah dengan nama-Nya sendiri. 14#Kej 22:16,17.Allah berfirman: “Sesungguhnya, Aku akan memberkatimu dan memperbanyak keturunanmu.” 15Dengan demikian, setelah Abraham menanggung kesusahan dengan sabar, dia mendapat janji itu. 16Orang memang bersumpah dengan nama yang lebih besar daripada dirinya, dan suatu sumpah sebagai pengesahan mengakhiri segala pertikaian. 17Dengan demikian Allah, untuk menunjukkan kepada waris-waris janji itu bahawa kehendak-Nya tidak mungkin berubah, telah mengesahkannya dengan sumpah. 18Dengan adanya dua perkara yang tidak mungkin berubah, sedangkan Allah tidak mungkin berdusta, maka hati kita tetap. Kita telah lari mencari tempat berlindung untuk berpegang kepada harapan yang dihulurkan kepada kita. 19#Im 16:2.Kita mempunyai harapan ini sebagai sauh kepada jiwa kita, tetap dan teguh, dan masuk sampai ke balik tirai. 20#Mzm 110:4.Di situ perintis jalan telah masuk untuk kita, iaitu Yesus, yang telah menjadi Imam Besar untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.

Terpilih Sekarang Ini:

Ibrani 6: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk