Kejadian 46

46
Keluarga Yakub berpindah ke Mesir
1Maka berangkatlah Israel dengan membawa segala harta bendanya. Setibanya di Bersyeba, dia mempersembahkan korban sembelihan kepada Allah Ishak ayahnya. 2Lalu Allah berfirman kepada Israel dalam penglihatan pada malam hari, “Yakub, Yakub.”
Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.”
3Firman-Nya, “Akulah Allah, Allah ayahmu. Jangan takut untuk pergi ke Mesir, kerana Aku akan menjadikan kamu sebuah bangsa yang besar di sana. 4Aku akan menyertai kamu ke Mesir, dan Aku juga akan pasti membawa kamu kembali. Tangan Yusuflah yang akan menutupkan kelopak matamu.”
5Kemudian berangkatlah Yakub dari Bersyeba, dan anak-anak Israel membawa Yakub, ayah mereka, juga anak dan isteri masing-masing dengan gerabak yang dikirimkan oleh Firaun untuk menjemput mereka. 6#Kis 7:15.Selain itu, mereka juga membawa ternakan dan harta benda yang diperoleh mereka di Tanah Kanaan. Lalu tibalah Yakub di Mesir bersama-sama seluruh keturunannya, 7iaitu kesemua anak cucunya, baik lelaki mahupun perempuan. Seluruh keturunannya dibawanya serta ke Mesir.
8Inilah nama bani Israel yang datang ke Mesir, iaitu Yakub dan keturunannya. Anak Yakub yang sulung, Ruben. 9Para anak Ruben ialah Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. 10Para anak Simeon ialah Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan Saul, anak seorang perempuan Kanaan. 11Para anak Lewi ialah Gerson, Kehat, dan Merari. 12Para anak Yehuda ialah Er, Onan, Syela, Peres, dan Zerah. Tetapi Er dan Onan sudah mati di Tanah Kanaan. Para anak Peres ialah Hezron dan Hamul. 13Para anak Isakhar ialah Tola, Pua, Ayub, dan Simron. 14Para anak Zebulon ialah Sered, Elon, dan Yahleel. 15Mereka ini ialah keturunan Lea, yang melahirkan anak untuk Yakub di Padan-Aram, di samping Dina, anak perempuannya. Jadi, seluruh keturunan Yakub daripada Lea, sama ada lelaki atau perempuan, berjumlah tiga puluh tiga orang.
16Para anak Gad ialah Zifyon, Hagi, Syuni, Ezbon, Eri, Arodi, dan Areli. 17Para anak Asyer ialah Yimna, Yiswa, Yiswi, Beria, serta Serah, saudara perempuan mereka. Para anak Beria ialah Heber dan Malkiel. 18Mereka ini ialah keturunan Zilpa, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Lea, anaknya. Jadi, seluruh keturunan Yakub yang berasal daripada Zilpa itu berjumlah enam belas orang.
19Para anak Rahel, isteri Yakub ialah Yusuf dan Benyamin. 20#Kej 41:50-52.Manakala para anak Yusuf ialah Manasye dan Efraim, yang dilahirkan di Mesir oleh Asnat anak Potifera, imam di On. 21Para anak Benyamin ialah Bela, Bekher, Asybel, Gera, Naaman, Ehi, Ros, Mupim, Hupim, dan Ared. 22Mereka ini ialah keturunan Yakub daripada Rahel yang berjumlah empat belas orang.
23Anak Dan ialah Husim 24Para anak Naftali ialah Yahzeel, Guni, Yezer, dan Syilem. 25Mereka itu ialah keturunan Bilha, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Rahel, anaknya. Jadi, seluruh keturunan Yakub yang berasal daripada Bilha berjumlah tujuh orang.
26Jumlah orang yang datang ke Mesir bersama-sama Yakub, iaitu keturunannya, belum termasuk isteri masing-masing, ialah enam puluh enam orang. 27#Kis 7:14.Jika diambil kira dua orang anak Yusuf yang dilahirkan untuknya di Mesir maka seluruh keluarga Yakub yang ada di Mesir pada masa itu berjumlah tujuh puluh orang.
Pertemuan semula Yakub dengan Yusuf
28Yakub menyuruh Yehuda untuk mendahuluinya bagi menemui Yusuf dan menunjukkan arah menuju Gosyen. Setelah mereka sampai di Tanah Gosyen, 29Yusuf menyediakan ratanya lalu pergi untuk menemui Israel, ayahnya, di Gosyen. Sebaik sahaja bertemu, Yusuf memeluk leher ayahnya dan menangis lama di bahunya. 30Kata Israel kepada Yusuf, “Sekarang biarlah aku mati, kerana aku telah melihat wajahmu dan tahu bahawa kamu masih hidup.”
31Lalu Yusuf berkata kepada para saudaranya dan kepada keluarga ayahnya, “Aku akan pergi memberitahu Firaun, ‘Saudara-saudara hamba dan keluarga ayah hamba, yang tinggal di Tanah Kanaan, sudah datang kepada hamba. 32Mereka itu gembala dan memang biasa memelihara kawanan ternakan dan mereka membawa bersama-sama mereka kesemua kawanan domba, lembu, dan kesemua harta benda mereka.’ 33Jadi, apabila Firaun memanggil kamu dan bertanya, ‘Apakah pekerjaanmu?’ 34Jawablah, ‘Sejak kecil bahkan sampai sekarang hamba-hambamu ini memelihara ternakan, sebagaimana juga para nenek moyang kami.’ Dengan demikian, kamu dapat tinggal di Tanah Gosyen kerana warga Mesir memandang keji terhadap semua gembala ternakan.”

Terpilih Sekarang Ini:

Kejadian 46: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk