Galatia 5:1-15

Galatia 5:1-15 AVB

Demi kemerdekaan Kristus telah memerdekakan kita. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh Kristus kepada kita, dan jangan biarkan diri dibelenggu oleh kuk perhambaan semula. Dengarlah kata-kataku! Aku, Paulus, bersaksi kepadamu bahawa jika kamu bersunat kelak, tiada berfaedahlah Kristus kepadamu. Dan aku bersaksi lagi kepada setiap orang yang bersunat, bahawa dia berhutang dan mesti mengerjakan seluruh hukum Taurat. Kamu yang berusaha untuk diperbenar melalui hukum Taurat telah terpisah daripada Kristus. Kamu telah terkeluar daripada kasih kurnia Allah. Kita, melalui Roh dan dengan iman, bersungguh-sungguh menantikan harapan mendapat perbenaran. Kerana dalam Kristus Yesus, sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya, melainkan iman bekerja melalui kasih. Dahulu perjalananmu baik. Siapakah yang telah menghalangmu sehingga kamu tidak lagi menurut yang benar? Pujukan ini bukannya daripada Tuhan yang memanggilmu. “Sedikit ragi pun akan meragikan tepung segumpal.” Aku yakin padamu, dalam Tuhan, bahawa fikiranmu tidak akan bercabang; tetapi orang yang mengacau fikiranmu itu akan menerima hukumannya, walau siapa pun dia. Saudara-saudara, jika aku masih menyebarkan ajaran supaya orang bersunat, mengapakah aku masih dianiaya? Kalau begitu, salib itu tidak lagi menjadi penghalang. Ingin kuminta agar orang yang mengacau fikiranmu itu mengasingkan diri mereka sendiri! Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih. Kerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tetapi jika kamu gigit-menggigit dan makan-memakan sesama sendiri, berhati-hatilah, jangan sampai kamu saling membinasakan.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Galatia 5:1-15