Galatia 4:8-31

Galatia 4:8-31 AVB

Dulu, ketika kamu belum mengenal Allah, kamu telah memperhambakan diri kepada tuhan-tuhan yang sebenarnya bukan tuhan. Tetapi sekarang, setelah kamu mengenal Allah — atau lebih tepat, dikenali Allah — mengapakah kamu berpaling semula kepada ajaran asas yang lemah dan serba kurang itu, dan ingin terbelenggu semula sebagai hamba kepadanya? Kamu mematuhi hukum tentang hari, bulan, musim dan tahun! Aku bimbang tentangmu, takut kalau-kalau aku berusaha untukmu dengan sia-sia. Saudara-saudara, aku meminta supaya kamu menjadi sepertiku, kerana dahulu aku pun seperti kamu. Kamu tidak pernah menganiayaku. Kamu tahu bahawa kerana kedaifan jasmani, aku mula-mula menyampaikan Injil kepadamu. Dan kamu tidak menghina atau menyingkirkan aku kerana cubaan jasmani yang kutanggung. Sebaliknya, kamu telah menyambutku seperti malaikat Allah, malah seperti Kristus Yesus. Betapakah berkat yang kamu nikmati ketika itu? Kerana aku bersaksi bahawa, kalau boleh, kamu rela mencungkil matamu sendiri dan memberikannya kepadaku. Adakah aku telah menjadi seterumu kerana aku menyatakan yang benar kepadamu? Mereka bersungguh-sungguh menawan hatimu, tetapi bukan dengan niat yang baik. Mereka hendak mengasingkan kamu, supaya kamu bersungguh-sungguh hendak menawan hati mereka. Memang elok bersungguh-sungguh dalam perkara yang baik, dan bukan hanya ketika aku ada bersamamu. Hai anak-anak kecilku, aku mengalami sengsara seperti hendak melahirkan kamu sekali lagi sehingga Kristus terbentuk dalam dirimu. Aku rindu hendak bersama kamu sekarang dan mengubah nada suaraku, kerana aku amat bimbang tentangmu! Katakan kepadaku, kamu yang ingin hidup di bawah hukum Taurat, tidakkah kamu dengar kata-kata hukum itu? Tersurat bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dengan hamba perempuan dan seorang lagi dengan perempuan merdeka. Anak dengan hamba perempuan itu dilahirkan sebagaimana kebiasaan manusia; tetapi anak dengan perempuan merdeka itu dilahirkan kerana janji. Ini adalah ibarat kerana dua perempuan itu mewakili dua perjanjian — satu daripada Gunung Sinai yang melahirkan anak-anak perhambaan, iaitu Hagar, kerana Hagar adalah Gunung Sinai di Tanah Arab, melambangkan Yerusalem yang ada sekarang, dan berada dalam perhambaan bersama anak-anaknya. Tetapi Yerusalem yang di atas adalah merdeka, dan ia ibu kepada kita semua. Kerana telah tersurat: “Bergembiralah, hai perempuan mandul, kamu yang tidak melahirkan anak; bersorak-sorailah, wahai kamu yang tidak pernah merasa sakit melahirkan anak; kerana perempuan yang sepi lara mempunyai lebih ramai anak daripada yang bersuami.” Saudara-saudaraku, kita seperti Ishak, iaitu anak perjanjian. Tetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang. Walau bagaimanapun, apakah yang dikatakan dalam Kitab Suci? “Singkirkan hamba perempuan itu dengan anaknya, kerana anak kepada hamba perempuan itu tidak akan menjadi waris bersama anak kepada perempuan merdeka.” Dengan demikian, saudara-saudara, kita bukanlah anak kepada hamba perempuan, tetapi kepada perempuan yang merdeka.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Galatia 4:8-31