Galatia 4:8-20

Galatia 4:8-20 AVB

Dulu, ketika kamu belum mengenal Allah, kamu telah memperhambakan diri kepada tuhan-tuhan yang sebenarnya bukan tuhan. Tetapi sekarang, setelah kamu mengenal Allah — atau lebih tepat, dikenali Allah — mengapakah kamu berpaling semula kepada ajaran asas yang lemah dan serba kurang itu, dan ingin terbelenggu semula sebagai hamba kepadanya? Kamu mematuhi hukum tentang hari, bulan, musim dan tahun! Aku bimbang tentangmu, takut kalau-kalau aku berusaha untukmu dengan sia-sia. Saudara-saudara, aku meminta supaya kamu menjadi sepertiku, kerana dahulu aku pun seperti kamu. Kamu tidak pernah menganiayaku. Kamu tahu bahawa kerana kedaifan jasmani, aku mula-mula menyampaikan Injil kepadamu. Dan kamu tidak menghina atau menyingkirkan aku kerana cubaan jasmani yang kutanggung. Sebaliknya, kamu telah menyambutku seperti malaikat Allah, malah seperti Kristus Yesus. Betapakah berkat yang kamu nikmati ketika itu? Kerana aku bersaksi bahawa, kalau boleh, kamu rela mencungkil matamu sendiri dan memberikannya kepadaku. Adakah aku telah menjadi seterumu kerana aku menyatakan yang benar kepadamu? Mereka bersungguh-sungguh menawan hatimu, tetapi bukan dengan niat yang baik. Mereka hendak mengasingkan kamu, supaya kamu bersungguh-sungguh hendak menawan hati mereka. Memang elok bersungguh-sungguh dalam perkara yang baik, dan bukan hanya ketika aku ada bersamamu. Hai anak-anak kecilku, aku mengalami sengsara seperti hendak melahirkan kamu sekali lagi sehingga Kristus terbentuk dalam dirimu. Aku rindu hendak bersama kamu sekarang dan mengubah nada suaraku, kerana aku amat bimbang tentangmu!

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Galatia 4:8-20