Yehezkiel 7
7
Kesudahan Yerusalem tiba
1Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, 2“Engkau, wahai anak manusia, katakanlah, ‘Beginilah firman Tuhan ALLAH kepada Tanah Israel,
“Kesudahan! Kesudahan tiba
kepada keempat-empat penjuru negeri itu.
3Sekarang kesudahan tiba bagimu
dan Aku akan melepaskan murka-Ku terhadapmu.
Aku akan menghakimi engkau menurut perilakumu
dan akan membalas segala kekejianmu kepadamu.
4Aku tidak akan berasa hiba tentangmu, dan tidak akan berbelas kasihan.
Aku akan membalas kepadamu perilakumu
dan kekejian-kekejian yang ada di tengah-tengahmu.
Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” ’
5Beginilah firman Tuhan ALLAH,
‘Malapetaka! Lihat, malapetaka datang!
6Kesudahan datang! Kesudahan itu datang!
Itu bangkit melawan engkau.
Lihat, itu datang!
7Ajal mendatangimu,
wahai penduduk negeri!
Waktunya datang, harinya sudah dekat!
Ada kegemparan, bukan sorak kegembiraan di gunung-gunung.
8Sekarang, Aku akan segera mencurahkan murka-Ku kepadamu,
melampiaskan amarah-Ku kepadamu.
Aku akan menghakimi engkau menurut perilakumu,
dan akan membalas segala kekejianmu kepadamu.
9Aku tidak akan berasa hiba dan tidak akan berbelas kasihan.
Aku akan membalas engkau setimpal dengan perilakumu
serta kekejian-kekejian yang ada di tengah-tengahmu.
Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN yang mengazab.
10Lihat, hari itu! Lihat, ia datang!
Ajal telah datang,
tongkat hukuman telah berbunga, keangkuhan telah bertunas.
11Kekerasan tumbuh menjadi tongkat untuk menghukum kefasiqan.
Tidak ada yang tersisa daripada mereka,
bukan daripada kelimpahan mereka dan bukan daripada kekayaan mereka.
Tak ada kemuliaan di antara mereka.
12Waktunya datang, harinya sudah dekat!
Janganlah si pembeli bersukacita dan janganlah si penjual berdukacita,
kerana murka melanda seluruh khalayak.
13Sesungguhnya, si penjual tidak akan kembali kepada jualannya, sekalipun mereka masih hidup dalam kalangan hidup, kerana penglihatan yang berlaku terhadap seluruh khalayak itu tidak akan ditarik kembali. Seorang pun tidak dapat mempertahankan hidupnya kerana kesalahannya.
14Tiuplah sangkakala dan siapkanlah segala sesuatu!
Namun demikian, tidak ada yang pergi berperang
kerana nyala murka-Ku melanda seluruh khalayak itu.
15Pedang di luar, wabak penyakit dan bencana kebuluran di dalam.
Sesiapa yang di padang akan mati oleh pedang.
Sesiapa yang di kota akan dihancurkan oleh bencana kebuluran dan wabak penyakit.
16Kalau ada pelarian yang terselamat daripada kalangan mereka,
mereka ini akan tinggal di gunung-gunung seperti burung merpati di lembah-lembah.
Semua mengerang kerana kesalahan masing-masing.
17Semua tangan menjadi lemah,
semua lutut longlai seperti air.
18Mereka akan memakai kain perkabungan di pinggang
dan berselubungkan kengerian.
Semua muka akan diliputi malu,
semua kepala mereka akan digondolkan.
19Mereka akan mencampakkan perak mereka di jalan,
dan emas mereka akan dianggap cemar.
Perak dan emas mereka tidak akan dapat menyelamatkan mereka pada hari kemurkaan TUHAN. Semua itu tidak akan memuaskan hati mereka dan tidak akan mengenyangkan perut mereka, kerana hal itu ialah batu sandungan yang menjatuhkan mereka ke dalam kesalahan. 20Perhiasan yang indah dijadikan kebanggaan oleh mereka, dan dengan itu mereka membuat patung-patung kekejian, iaitu tuhan mereka yang menjijikkan. Itulah sebabnya Aku menjadikan semua itu cemar bagi mereka.
21Aku akan menyerahkannya ke dalam tangan orang asing sebagai rampasan,
kepada orang fasiq di bumi sebagai jarahan;
mereka akan mencemarkannya.
22Aku akan memalingkan wajah-Ku daripada mereka sehingga mereka akan mencemari tempat-Ku yang berharga.
Penyamun akan masuk ke dalamnya dan mencemarinya.
23Buatlah rantai, kerana negeri itu penuh dengan perkara penumpahan darah,
dan kota itu penuh dengan kekerasan.
24Aku akan mendatangkan bangsa-bangsa yang paling jahat,
dan bangsa-bangsa itu akan merebut rumah mereka.
Aku akan mengakhiri kebongkakan orang kuat,
dan tempat-tempat suci mereka akan dicemari.
25Kengerian datang.
Orang akan mencari kedamaian, tetapi tidak ada.
26Bencana demi bencana datang.
Khabar demi khabar tersiar.
Orang akan mencari penglihatan daripada nabi,
tetapi pengajaran Taurat hilang daripada imam,
dan nasihat daripada tua-tua.
27Raja akan berdukacita,
pemimpin akan diliputi kengerian,
dan tangan rakyat negeri itu akan gementar.
Aku akan memperlakukan mereka selaras dengan perilaku mereka,
Aku akan menghakimi mereka selaras dengan ukuran biasa mereka.
Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”
Terpilih Sekarang Ini:
Yehezkiel 7: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited