Yehezkiel 42

42
Bilik untuk imam
1Kemudian dia membawa aku ke pelataran luar menuju arah utara, lalu dibawanya aku masuk ke dalam sebuah bangunan berbilik-bilik yang berhadapan dengan pelataran dalam sebelah utara dan dengan dinding bangunan sebelah utara. 2Bangunan yang pintunya menghadap ke arah utara itu seratus hasta panjangnya dan lima puluh hasta lebarnya, 3bersebelahan dengan bahagian pelataran dalam selebar dua puluh hasta dan berseberangan dengan bahagian pelataran luar berlantai batu. Serambinya berhadap-hadapan dan tersusun dalam tiga tingkat. 4Di bahagian dalam, di depan bilik-bilik itu, ada jalan yang lebarnya sepuluh hasta dan panjangnya seratus hasta. Pintu-pintunya ada di sebelah utara. 5Bilik-bilik di tingkat atas berukuran lebih kecil kerana serambinya memakan lebih banyak tempat berbanding dengan serambi di tingkat bawah dan di tingkat tengah bangunan itu. 6Kerana bilik-bilik itu tersusun dalam tiga tingkat tanpa mempunyai tiang-tiang seperti yang ada di pelataran, maka bilik-bilik di tingkat atas lebih sempit ukuran lantainya berbanding dengan bilik-bilik di tingkat bawah dan di tingkat tengah. 7Ada tembok luar yang sejajar dan berhadapan dengan bilik-bilik itu, arahnya menghadap ke pelataran luar; panjangnya lima puluh hasta. 8Barisan bilik berdekatan dengan pelataran luar lima puluh hasta panjangnya, sedangkan barisan bilik berdekatan dengan ruang besar seratus hasta panjangnya. 9Di bawah bilik-bilik ada pintu masuk di sebelah timur, tempat orang masuk dari pelataran luar.
10Pada bentang tembok pelataran sebelah selatan, iaitu di hadapan lapangan tertutup dan di hadapan bangunan itu, terdapat pula bilik-bilik 11dengan jalan di depannya. Bilik-bilik ini serupa dengan bilik-bilik yang ada di sebelah utara. Panjang dan lebarnya sama, semua pintunya pun seukuran. Sebagaimana pintu-pintu yang ada pada bangunan di sebelah utara, 12demikian pulalah pintu bilik-bilik yang ada pada bangunan di sebelah selatan. Ada juga sebuah pintu di hujung jalan tadi pada tembok sebelah timur, tempat orang masuk.
13Kemudian dia berkata kepadaku, “Bilik-bilik di sebelah utara dan bilik-bilik di sebelah selatan yang menghadap lapangan tertutup itu ialah bilik-bilik suci tempat imam yang mendekat kepada TUHAN untuk memakan segala persembahan teramat suci. Di sana mereka akan menaruh segala persembahan yang teramat suci, persembahan bahan makanan, korban penghapus dosa, dan korban penebus kesalahan, kerana tempat itu sememangnya suci. 14Setelah imam memasuki tempat suci, mereka tidak boleh keluar dari tempat itu ke pelataran luar sebelum mereka menanggalkan di situ pakaian yang dipakai mereka waktu menyelenggarakan ibadat, kerana segala pakaian mereka itu sememangnya suci. Mereka harus terlebih dahulu memakai pakaian yang lain, yakni pakaian biasa, baru boleh menghampiri tempat yang dibenarkan untuk orang ramai.”
Ukuran lingkungan Bait Suci
15Setelah dia selesai mengukur seluruh kawasan bahagian dalam Bait Suci, dibawanya aku keluar, ke arah pintu gerbang yang menghadap timur. Lalu dia mengukur sekeliling kawasan Bait Suci itu. 16Dia mengukur sisi timur dengan tongkat: lima ratus hasta menurut tongkat pengukur. Lalu dia berbelok 17ke sisi utara dan mengukur panjangnya: lima ratus hasta menurut tongkat pengukur. Setelah itu, dia menuju 18sisi selatan dan mengukur panjangnya: lima ratus hasta menurut tongkat pengukur. 19Akhirnya dia berbelok ke sisi barat dan mengukur panjangnya: lima ratus hasta menurut tongkat pengukur. 20Demikianlah dia mengukur keempat-empat sisi. Jadi, kawasan itu dikelilingi tembok sepanjang lima ratus hasta dan selebar lima ratus hasta, untuk memisahkan antara yang suci dengan yang biasa.

Terpilih Sekarang Ini:

Yehezkiel 42: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk