Yehezkiel 4
4
Lambang pengepungan kota Yerusalem
1“Engkau, wahai anak manusia, ambillah sebuah batu bata, letakkanlah di depanmu, dan lukiskanlah Kota Yerusalem pada batu itu. 2Kemudian buatlah kubu pengepung, binalah tembok pengepung, dan timbunlah tanggul pengepung kota. Lalu tempatkanlah perkhemahan tentera dan taruhlah alat-alat penggempuran di sekeliling kota itu. 3Selanjutnya ambillah sebuah panggangan besi dan dirikanlah itu sebagai dinding besi antara engkau dengan kota itu. Hadapkanlah mukamu ke kota itu, buatlah kota itu terkepung, dan kepunglah dia. Itu tanda bagi keturunan kaum Israel.
4Berbaringlah pada sisi kiri badanmu dan tanggungkanlah hukuman keturunan kaum Israel kepada sisi badanmu itu. Tanggunglah hukuman itu sebanyak jumlah hari engkau berbaring pada sisi badanmu. 5Aku telah menentukan bagimu jumlah hari, iaitu tiga ratus sembilan puluh hari, mewakili jumlah tahun hukuman. Selama itulah engkau harus menanggung hukuman keturunan kaum Israel. 6Setelah engkau selesai berbuat demikian, berbaringlah untuk kali kedua pada sisi kanan badanmu dan tanggunglah hukuman keturunan kaum Yehuda. Aku menentukan bagimu empat puluh hari, iaitu satu hari untuk satu tahun.
7Hadapkanlah mukamu pada pengepungan Yerusalem dengan lengan baju tersingsing dan bernubuatlah menentang kota itu. 8Ketahuilah, Aku akan mengikat engkau dengan tali sehingga engkau tidak dapat berbalik dari sisi badan yang satu ke sisi badan yang lain sampai engkau menggenapi waktu pengepungan kamu itu.
9Ambillah pula gandum, barli, kacang hijau, kacang merah, parpu, dan sekoi. Taruhlah semua itu dalam sebuah wadah dan buatlah roti daripada bahan-bahan itu. Makanlah roti itu selama engkau berbaring pada sisi badanmu, iaitu tiga ratus sembilan puluh hari. 10Makanan yang kaumakan itu harus ditimbang, iaitu dua puluh syikal sehari. Makanlah itu pada waktu-waktu tertentu. 11Air minum pun harus diukur, iaitu seperenam hin.#4:11 Satu hin: Sukatan kira-kira 3.7 liter. Minumlah itu pada waktu-waktu tertentu. 12Makanlah roti itu seperti roti bundar daripada barli, setelah dibakar di hadapan mata mereka di atas najis manusia.”
13TUHAN berfirman, “Begitulah orang Israel akan memakan roti mereka secara najis dalam kalangan bangsa tempat mereka Kubuang.”
14Lalu kataku, “Aduh, Tuhan ALLAH, sesungguhnya aku belum pernah menajiskan diri. Bangkai ataupun haiwan yang dicabik-cabikkan binatang buas belum pernah kumakan sejak masa mudaku sampai sekarang ini. Belum pernah masuk ke mulutku sesuatu daging yang haram.”
15Firman-Nya kepadaku, “Perhatikan, Aku mengizinkan engkau menggunakan najis lembu sebagai ganti najis manusia. Bakarlah rotimu di atasnya.”
16Kemudian Dia berfirman pula kepadaku, “Wahai anak manusia, ketahuilah, Aku akan memutuskan bekalan makanan di Yerusalem. Mereka akan makan roti dengan ditimbang dan dengan rasa resah. Mereka akan minum air dengan diukur dan dengan tertegun. 17Kerana kekurangan makanan dan air, mereka akan saling memandang sambil tercengang-cengang dan hancur lumat dalam hukuman mereka.
Terpilih Sekarang Ini:
Yehezkiel 4: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited