Yehezkiel 19

19
Ratapan tentang raja-raja Israel
1“Lantunkanlah suatu ratapan mengenai para pemimpin Israel.
2Katakanlah,
‘Betapa hebatnya ibumu! Dia bagaikan seekor singa betina antara singa.
Dia mendekam di tengah-tengah singa muda
dan membesarkan anak-anaknya.
3Dia membesarkan seekor daripada anak-anaknya menjadi singa muda,
lalu anaknya ini belajar mencabik-cabik mangsa dan memakan orang.
4Bangsa-bangsa pun mendengar tentangnya,
dan ia tertangkap di dalam lubang jebakan mereka lalu dibawa dalam keadaan terbelenggu oleh cangkuk
ke Tanah Mesir.
5Setelah singa betina itu melihat bahawa penantiannya
dan harapannya lenyap,
diambilnya seekor anaknya pula
dan dibesarkannya menjadi singa muda.
6Anaknya ini berjalan-jalan di antara singa-singa,
dan menjadi singa muda.
Dia belajar mencabik-cabik mangsa dan memakan orang.
7Diamatinya tempat-tempat mereka yang terbengkalai
dan ia merosakkan kota mereka.
Negeri itu berserta dengan segala isinya menjadi sunyi
kerana bunyi ngaumannya.
8Maka bangsa dari wilayah-wilayah sekitar bersiap menghadapinya.
Mereka membentangkan jaring baginya,
dan ia pun tertangkap di dalam lubang jebakan mereka.
9Ia dimasukkan di dalam kandang dalam keadaan terbelenggu oleh cangkuk.
Ia dibawa kepada raja Babel dan dimasukkan dalam tahanan
supaya suaranya tidak terdengar lagi
di atas gunung-gunung Israel.
10Ibumu seperti pokok anggur di dalam kebun anggur,
tertanam di tepi air.
Dia berbuah dan bercabang
kerana air yang berlimpahan.
11Padanya ada beberapa cabang yang kuat,
yang menjadi cokmar kerajaan penguasa.
Dia menjulang tinggi
di antara cabang yang lebat
lalu terlihat kerana tingginya
dan kerana banyak rantingnya.
12Tetapi pokok anggur itu tercabut dalam murka
lalu dicampakkan ke bumi.
Angin timur melayukannya,
buahnya berluruhan.
Cabang-cabangnya yang kuat menjadi layu, api melahapnya.
13Sekarang pokok anggur itu tertanam di gurun,
di gurun yang tidak berair.
14Api terpancar daripada cabangnya
melahap ranting dan buahnya,
sehingga tidak ada lagi padanya cabang yang kuat
untuk menjadi cokmar kerajaan bagi penguasa.’ ”
Ini ialah suatu ratapan, dan akan terus digunakan sebagai ratapan.

Terpilih Sekarang Ini:

Yehezkiel 19: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk