Yehezkiel 13
13
Hukuman bagi nabi palsu
1Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, 2“Wahai anak manusia, bernubuatlah menentang nabi-nabi Israel yang sedang bernubuat itu. Katakan kepada mereka yang bernubuat menurut kehendak hati sendiri, ‘Dengarlah firman TUHAN!’
3Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Malangnya nabi-nabi bodoh yang menuruti bisikan hatinya sendiri; sesungguhnya mereka tidak mendapat penglihatan apa-apa pun. 4Nabi-nabimu seperti serigala di tengah-tengah reruntuhan, wahai Israel! 5Kamu tidak naik menjaga tembok-tembok yang berlubang, dan tidak membangunkan tembok bagi keturunan kaum Israel supaya dapat bertahan dalam peperangan pada hari TUHAN. 6Mereka melihat penglihatan yang menipu dan tenungan dusta. Mereka berkata, “Demikianlah firman TUHAN,” padahal TUHAN tidak mengutus mereka. Mereka pun menanti firman itu terlaksana. 7Bukankah kamu menyampaikan penglihatan tipuan serta tenungan dusta ketika kamu berkata, “Demikianlah firman TUHAN,” padahal Aku tidak berfirman?’
8Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Kerana kamu mengatakan hal-hal yang hampa dan menyampaikan penglihatan dusta, maka sesungguhnya Aku akan menjadi lawanmu, demikianlah firman Tuhan ALLAH. 9Tangan-Ku akan melawan nabi-nabi yang menyampaikan penglihatan tipuan dan tenungan dusta. Mereka tidak akan masuk kumpulan umat-Ku, tidak akan tercatat dalam daftar keturunan kaum Israel, dan tidak akan masuk ke Tanah Israel. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan ALLAH.
10 # Yer 6:14; 8:11. Kerana, ya, kerana mereka menyesatkan umat-Ku dengan berkata, “Damai,” padahal tidak ada damai. Ketika orang membangunkan tembok, lihatlah, nabi-nabi ini melaburnya dengan air kapur; 11sebab itu katakanlah kepada orang yang melaburnya dengan air kapur bahawa tembok itu akan roboh. Hujan akan melanda, hujan batu akan turun, dan angin badai akan memecah. 12Setelah tembok itu roboh tidakkah orang akan berkata kepadamu, “Di manakah kapur yang kamu laburkan itu?” ’
13Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Aku akan membuat angin badai memecah dalam murka-Ku. Hujan akan melanda dalam amarah-Ku, begitu pula hujan batu berkecamuk mendatangkan kebinasaan. 14Aku akan meruntuhkan tembok yang kamu labur dengan air kapur itu dan meratakannya ke tanah sehingga dasarnya kelihatan. Kota itu akan roboh dan kamu akan dilenyapkan di dalamnya. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.
15Demikianlah Aku akan melampiaskan murka-Ku atas tembok itu dan atas mereka yang melaburnya dengan air kapur. Aku akan berfirman kepadamu, “Tembok itu sudah tidak ada dan orang yang melaburnya sudah tidak ada,” 16iaitu para nabi Israel yang bernubuat bagi Yerusalem dan yang menyampaikan penglihatan damai baginya padahal tidak ada damai, demikianlah firman Tuhan ALLAH.’ ”
Hukuman bagi penenung perempuan
17“Engkau, wahai anak manusia, hadapkanlah mukamu kepada perempuan bangsamu yang bernubuat menurut kehendak hati sendiri. Bernubuatlah menentang mereka 18dan katakan: ‘Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Malangnya perempuan yang menjahit tali azimat pada setiap pergelangan tangan dan yang membuat tudung pelbagai ukuran untuk setiap kepala supaya mereka dapat memburu nyawa orang. Apakah kamu hendak memburu nyawa umat-Ku sambil membiarkan hidup nyawamu sendiri? 19Engkau telah menista Aku dalam kalangan umat-Ku demi beberapa genggam barli dan beberapa potong roti, dengan membunuh orang yang tidak patut mati serta membiarkan hidup orang yang tidak patut hidup melalui dustamu kepada umat-Ku yang mahu mendengar dusta.”
20Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, “Sesungguhnya, Aku menentang tali azimatmu yang kamu pakai untuk memburu orang seperti burung, dan Aku akan mengoyakkannya dari tanganmu. Aku akan melepaskan orang itu, iaitu orang yang kamu buru seperti burung. 21Aku akan mengoyakkan tudungmu dan melepaskan umat-Ku daripada tanganmu sehingga mereka tidak lagi menjadi buruanmu, maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.
22Kerana kamu melemahkan hati orang benar dengan dusta padahal Aku tidak mendukakan dia, dan kamu menguatkan semangat orang fasiq sehingga dia tidak berbalik daripada jalan hidupnya yang jahat untuk menyelamatkan dirinya, 23maka kamu tidak akan lagi menyampaikan penglihatan tipuan atau tenungan. Aku akan melepaskan umat-Ku daripada tanganmu, dan kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” ’ ”
Terpilih Sekarang Ini:
Yehezkiel 13: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited