Beginilah firman TUHAN,
“Atas sebab tiga, malahan empat pelanggaran Moab,
Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya.
Kerana dia membakar tulang-tulang raja Edom hingga menjadi kapur,
Aku akan melepaskan api ke Moab,
yang akan merentungkan segala puri Keriot.
Moab akan mati dalam kegemparan,
diiringi pekikan dan bunyi sangkakala.
Aku akan melenyapkan sang pemimpin daripada antaranya
dan mencabut nyawa semua pembesarnya bersama dengannya,”
demikianlah firman TUHAN.
Beginilah firman TUHAN,
“Atas sebab tiga, malahan empat pelanggaran Yehuda,
Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya.
Kerana mereka telah menolak hukum TUHAN
dan tidak memegang teguh segala ketetapan-Nya.
Mereka disesatkan oleh dusta mereka
yang dahulu diikuti oleh nenek moyang mereka —
maka Aku akan melepaskan api ke Yehuda,
yang akan merentungkan segala puri Yerusalem.”
Beginilah firman TUHAN,
“Atas sebab tiga, malahan empat pelanggaran Israel,
Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya.
Demi perak, mereka menjual orang yang salih
dan orang melarat demi sepasang kasut.
Mereka menginjak-injak kepala fakir miskin ke dalam debu tanah
dan menyesatkan jalan orang lemah.
Anak dan ayah meniduri perempuan muda yang sama,
sehingga mencemari nama-Ku yang maha suci.
Di atas pakaian gadaian orang,
mereka membaringkan diri di sisi setiap mazbah.
Dan di dalam Rumah Allah mereka,
mereka minum air anggur orang yang terkena denda.
Padahal dari hadapan mereka,
Akulah yang memusnahkan bani Amori,
yang tinggi seperti tinggi pokok araz
dan yang kuat seperti pokok oak.
Aku telah memusnahkan buahnya dari atas dan akarnya dari bawah.
Aku jugalah yang menuntun kamu keluar dari Tanah Mesir
dan memimpin kamu selama empat puluh tahun di gurun,
supaya kamu dapat menduduki bumi bani Amori.
Telah Kubangkitkan para nabi daripada sebahagian daripada anakmu
dan para penazar daripada sebahagian daripada para pemudamu.
Bukankah betul begitu, wahai orang Israel?”
demikianlah firman TUHAN.
“Tetapi kepada para penazar kamu beri minum air anggur,
dan para nabi kamu perintahkan, ‘Jangan bernubuat!’
Sesungguhnya, Aku akan menindih kamu di tempatmu
seperti pedati yang ditindih oleh saratnya berkas gandum.
Orang yang pantas pun tidak akan dapat lari,
orang yang kuat pun tidak akan dapat mengerahkan tenaganya,
dan sang pahlawan pun tidak akan dapat menyelamatkan diri.
Orang yang memegang busur panah pun tidak akan tahan berdiri,
orang yang pantas gerak kakinya pun tidak mampu menyelamatkan diri,
dan orang yang menunggang kuda juga tidak mampu menyelamatkan diri.
Orang yang berani dan berhati waja antara para kesateria pun akan melarikan diri dalam keadaan bertelanjang pada hari itu,”
demikianlah firman TUHAN.