AMOS 2:1-16

AMOS 2:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman, “Penduduk Moab sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka menghina raja Edom yang sudah mangkat dengan membakar tulangnya sehingga menjadi abu. Oleh itu, Aku akan mengirim api ke negeri Moab dan membakar kubu-kubu Keriot. Penduduk Moab akan mati di tengah-tengah keriuhan perang, sementara trompet dibunyikan dan pekik pertempuran diteriakkan oleh askar. Aku akan membunuh penguasa Moab dan semua pegawai kerajaan di sana.” TUHAN berfirman, “Penduduk Yehuda sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka melanggar perintah-Ku dan tidak mempedulikan ajaran-Ku. Mereka disesatkan oleh tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang mereka. Oleh itu, Aku akan mengirim api ke negeri Yehuda dan membakar kubu-kubu Yerusalem.” TUHAN berfirman, “Umat Israel sudah berkali-kali berdosa, kerana itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka menjual orang jujur sebagai abdi; orang jujur yang tidak dapat membayar hutang mereka. Demikian juga yang dilakukan mereka terhadap orang miskin yang tidak dapat membayar hutang, walaupun hutang itu hanya seharga sepasang selipar. Mereka menginjak-injak orang lemah yang tidak berdaya dan menyingkirkan orang miskin. Bapa dan anak lelakinya meniduri abdi perempuan yang sama, sehingga mencemarkan nama-Ku yang suci. Di setiap tempat ibadat, orang tidur dengan pakaian yang diambil daripada orang miskin sebagai jaminan hutang. Di Rumah Allah mereka, mereka minum wain yang diambil daripada orang yang berhutang kepada mereka. Walaupun begitu, hai umat-Ku, bagi kamulah Aku membinasakan orang Amori yang setinggi pokok sedar dan sekuat pokok oak. Aku sudah membawa kamu keluar dari Mesir dan memimpin kamu melalui padang gurun selama 40 tahun. Aku sudah memberikan negeri orang Amori kepada kamu supaya menjadi negeri kamu sendiri. Aku sudah memilih beberapa orang daripada anak lelaki kamu untuk menjadi nabi, dan beberapa orang muda kamu untuk menjadi orang Nazir. Bukankah demikian, hai umat Israel? Aku, TUHAN, sudah berfirman. Tetapi kamu menyuruh orang Nazir minum wain, sehingga mereka mengingkari janji. Kamu juga melarang nabi-nabi menyampaikan perkhabaran-Ku. Sekarang Aku akan menekan kamu sampai ke tanah, seperti kereta lembu yang sarat dengan muatan gandum. Pelari yang pantas pun tidak akan dapat melarikan diri; orang kuat akan hilang kekuatan, dan pahlawan tidak dapat menyelamatkan diri. Pemanah tidak akan dapat bertahan, pelari pantas tidak akan dapat melarikan diri, dan penunggang kuda tidak akan dapat menyelamatkan diri. Pada hari itu askar yang paling berani pun akan meninggalkan senjata, lalu lari.” Demikianlah firman TUHAN.

AMOS 2:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Beginilah firman TUHAN, “Atas sebab tiga, malahan empat pelanggaran Moab, Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya. Kerana dia membakar tulang-tulang raja Edom hingga menjadi kapur, Aku akan melepaskan api ke Moab, yang akan merentungkan segala puri Keriot. Moab akan mati dalam kegemparan, diiringi pekikan dan bunyi sangkakala. Aku akan melenyapkan sang pemimpin daripada antaranya dan mencabut nyawa semua pembesarnya bersama dengannya,” demikianlah firman TUHAN. Beginilah firman TUHAN, “Atas sebab tiga, malahan empat pelanggaran Yehuda, Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya. Kerana mereka telah menolak hukum TUHAN dan tidak memegang teguh segala ketetapan-Nya. Mereka disesatkan oleh dusta mereka yang dahulu diikuti oleh nenek moyang mereka — maka Aku akan melepaskan api ke Yehuda, yang akan merentungkan segala puri Yerusalem.” Beginilah firman TUHAN, “Atas sebab tiga, malahan empat pelanggaran Israel, Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya. Demi perak, mereka menjual orang yang salih dan orang melarat demi sepasang kasut. Mereka menginjak-injak kepala fakir miskin ke dalam debu tanah dan menyesatkan jalan orang lemah. Anak dan ayah meniduri perempuan muda yang sama, sehingga mencemari nama-Ku yang maha suci. Di atas pakaian gadaian orang, mereka membaringkan diri di sisi setiap mazbah. Dan di dalam Rumah Allah mereka, mereka minum air anggur orang yang terkena denda. Padahal dari hadapan mereka, Akulah yang memusnahkan bani Amori, yang tinggi seperti tinggi pokok araz dan yang kuat seperti pokok oak. Aku telah memusnahkan buahnya dari atas dan akarnya dari bawah. Aku jugalah yang menuntun kamu keluar dari Tanah Mesir dan memimpin kamu selama empat puluh tahun di gurun, supaya kamu dapat menduduki bumi bani Amori. Telah Kubangkitkan para nabi daripada sebahagian daripada anakmu dan para penazar daripada sebahagian daripada para pemudamu. Bukankah betul begitu, wahai orang Israel?” demikianlah firman TUHAN. “Tetapi kepada para penazar kamu beri minum air anggur, dan para nabi kamu perintahkan, ‘Jangan bernubuat!’ Sesungguhnya, Aku akan menindih kamu di tempatmu seperti pedati yang ditindih oleh saratnya berkas gandum. Orang yang pantas pun tidak akan dapat lari, orang yang kuat pun tidak akan dapat mengerahkan tenaganya, dan sang pahlawan pun tidak akan dapat menyelamatkan diri. Orang yang memegang busur panah pun tidak akan tahan berdiri, orang yang pantas gerak kakinya pun tidak mampu menyelamatkan diri, dan orang yang menunggang kuda juga tidak mampu menyelamatkan diri. Orang yang berani dan berhati waja antara para kesateria pun akan melarikan diri dalam keadaan bertelanjang pada hari itu,” demikianlah firman TUHAN.