Amos 1

1
1 # 2Raj 15:1-7; 2Taw 26:1-23. 2Raj 14:23-29. Berikutlah kata-kata Amos, salah seorang gembala dari Tekoa, mengenai apa yang dilihatnya sehubungan dengan Israel pada zaman Uzia raja Yehuda dan pada zaman Yerobeam anak Yoas raja Israel, dua tahun sebelum kejadian gempa bumi.
Hukuman TUHAN atas bangsa-bangsa lain
2 # Yl 3:16. Amos berkata,
“Datanglah TUHAN dengan mengaum dari Sion,
dan dari Yerusalem kedengaran tempikan suara-Nya.
Pudar dan berkabunglah padang-padang ragut
dan layulah puncak Gunung Karmel.”
Aram
3 # Yes 17:1-3; Yer 49:23-27; Za 9:1. Beginilah firman TUHAN,
“Atas sebab tiga, bahkan empat pelanggaran Damsyik,
Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya.
Kerana mereka telah membanting Gilead serta merelaikannya bagaikan diirik dengan pengirik bermata besi,
4maka Aku akan melepaskan api ke dalam istana Hazael,
dan api itu akan merentungkan segala kubu Benhadad.
5Akan Kupatahkan palang pintu Damsyik
dan akan Kulenyapkan penduduk dari Lembah Awen,
juga dia yang memegang cokmar kerajaan dari Bet-Eden.
Umat Aram akan dibuang ke Kir,” firman TUHAN.
Filistin
6 # Yes 14:29-31; Yer 47:1-7; Yeh 25:15-17; Yl 3:4-8; Zef 2:4-7; Za 9:5-7. Beginilah firman TUHAN,
“Atas sebab tiga, bahkan empat pelanggaran Gaza,
Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya.
Kerana mereka telah mengangkut kesemua orang buangan itu untuk diserahkan kepada Edom,
7maka Aku akan melepaskan api ke tembok Gaza,
yang akan merentungkan segala purinya.
8Akan Kulenyapkan penduduk dari Asdod,
juga dia yang memegang cokmar kerajaan dari Askelon.
Aku akan bertindak melawan Ekron,
sehingga binasalah kesemua saki-baki orang Filistin,”
demikianlah firman Tuhan Allah.
Tirus
9 # Yes 23:1-18; Yeh 26:1—28:19; Yl 3:4-8; Za 9:1-4; Mat 11:21,22; Luk 10:13,14. Beginilah firman TUHAN,
“Atas sebab tiga, bahkan empat pelanggaran Tirus,
Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya.
Kerana mereka telah menyerahkan kesemua orang buangan itu kepada Edom
dan tidak mengingat akan perjanjian persaudaraan,
10maka Aku akan melepaskan api ke tembok Tirus,
yang akan merentungkan puri-purinya.”
Edom
11 # Yes 34:5-17; 63:1-6; Yer 49:7-22; Yeh 25:12-14; 35:1-15; Ob 1:1-14; Mal 1:2-5. Beginilah firman TUHAN,
“Atas sebab tiga, bahkan empat pelanggaran Edom,
Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya.
Kerana dia telah mengejar saudaranya dengan pedang
dan meluputkan rasa belas kasihan —
amarahnya terus merobekkan untuk selama-lamanya
dan pengamukan geramnya disimpannya untuk selama-lamanya —
12maka Aku akan melepaskan api ke Teman,
yang akan merentungkan segala puri Bozra.”
Amon
13 # Yer 49:1-6; Yeh 21:28-32; 25:1-7; Zef 2:8-11. Beginilah firman TUHAN,
“Atas sebab tiga, bahkan empat pelanggaran bani Amon,
Aku tidak akan menarik balik hukuman baginya.
Kerana mereka telah merobekkan perut para perempuan yang mengandung di Gilead
demi meluaskan daerah mereka,
14maka Aku akan menyalakan api di tembok Raba,
yang akan merentungkan segala purinya
diiringi pekikan pada hari peperangan,
diiringi badai pada hari berlaku angin puting beliung.
15Raja mereka akan pergi sebagai orang buangan
bersama-sama para pembesarnya,”
demikianlah firman TUHAN.

Terpilih Sekarang Ini:

Amos 1: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk