Kisah Para Rasul 24:10-23

Kisah Para Rasul 24:10-23 AVB

Setelah menerima isyarat daripada gabenor yang menyuruhnya bercakap, Paulus menjawab dakwaan itu demikian: “Aku tahu kamu telah lama menjadi hakim di negeri ini. Oleh itu, aku dengan senang hati mengadukan hal kepadamu. Hanya dua belas hari yang lalu aku telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat. Aku tidak didapati berbincang dengan sesiapa atau menghimpunkan orang ramai itu untuk menimbulkan huru-hara, baik di Bait Suci, saumaah, atau di mana-mana di kota itu. Para pendakwa juga tidak dapat membuktikan kepadamu segala tuduhan mereka terhadapku. Aku mengaku di hadapanmu bahawa aku menyembah Allah nenek moyang kami, menurut Jalan Tuhan yang dianggap salah oleh mereka. Aku juga percaya dan berpegang kepada hukum Taurat, dan segala yang tersurat dalam kitab nabi-nabi. Seperti mereka juga, aku berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian kelak, sama ada orang benar ataupun orang jahat. Oleh itu, aku sentiasa berusaha supaya hati nuraniku bersih daripada kesalahan kepada Allah dan kepada manusia. Selepas beberapa tahun di tempat-tempat lain, aku ke Yerusalem membawa derma untuk bangsaku, dan mempersembahkan korban. Mereka mendapati aku di dalam Bait Suci setelah aku menyucikan diri; aku tidak membawa kumpulan yang besar dan tidak mencetuskan huru-hara. Ketika itu ada beberapa orang Yahudi dari Asia. Merekalah yang patut menghadap kamu di sini untuk mendakwa, kalaulah ada sesuatu yang patut didakwa tentang aku. Ataupun biarlah orang di sini menyatakan apa kesalahan yang didapati pada diriku ketika aku berdiri di hadapan majlis mereka itu. Pada waktu itu aku hanya melafazkan kata-kata yang sama, iaitu, ‘Tentang kebangkitan daripada kematianlah aku didakwa di hadapanmu pada hari ini.’ ” Feliks menangguhkan perbicaraan walaupun dia memahami selok-belok agama berkenaan. Dia berkata, “Apabila Lisias, ketua pasukan tentera itu, datang nanti, aku akan menyelesaikan perkara ini.” Dia mengarahkan ketua tentera menahan Paulus tetapi secara longgar, dan membenarkan sahabat-sahabatnya membawa apa-apa untuknya.