2 Samuel 2
2
Daud menjadi raja Yehuda
1Setelah itu, Daud meminta petunjuk daripada TUHAN, katanya, “Adakah aku harus pergi ke mana-mana satu kota Yehuda?”
Firman TUHAN kepadanya, “Pergilah.”
Lalu tanya Daud, “Ke manakah harus aku pergi?”
Firman-Nya, “Ke Hebron.” 2#1Sam 25:42,43.Maka pergilah Daud ke sana dengan kedua-dua orang isterinya, iaitu Ahinoam, orang Yizreel, dan Abigail, balu Nabal, orang Karmel. 3Daud juga membawa orang yang menyertainya, masing-masing dengan keluarganya. Lalu mereka tinggal di kota-kota Hebron. 4#1Sam 31:11-13.Kemudian datanglah orang Yehuda, dan mereka melantik Daud di sana sebagai raja atas keturunan kaum Yehuda.
Apabila Daud diberitahu demikian, “Orang Yabesh-Gilead yang memakamkan Saul,” 5Daud pun mengutus beberapa orang kepada orang Yabesh-Gilead dengan pesan, “Semoga TUHAN memberkati kamu kerana kamu telah menunjukkan kasihmu yang sedemikian kepada Saul, tuanmu, iaitu dengan memakamkannya. 6Sekarang, semoga TUHAN menunjukkan kasih abadi dan kesetiaan-Nya kepada kamu. Aku pun hendak membalas kebaikanmu, kerana kamu telah melakukan hal yang demikian itu. 7Maka sekarang, kuatkanlah dirimu dan jadilah orang yang gagah perkasa kerana Saul, tuanmu, telah gugur, dan keturunan kaum Yehuda telah melantik aku sebagai raja atas mereka.”
Pertempuran di Gibeon
8Sementara itu Abner anak Ner, panglima tentera Saul, telah mengambil Isyboset anak Saul dan membawanya ke Mahanaim, 9lalu menobatkan Isyboset untuk menjadi raja atas Gilead, atas orang Asyuri, atas Yizreel, atas Efraim, atas Benyamin, dan atas seluruh Israel. 10Isyboset anak Saul berumur empat puluh tahun pada waktu dia merajai Israel, dan dia bertakhta selama dua tahun.
Namun begitu, keturunan kaum Yehuda tetap mengikuti Daud. 11Selama tujuh tahun enam bulan Daud merajai keturunan kaum Yehuda di Hebron.
12Kemudian Abner anak Ner dan anak-anak buah Isyboset anak Saul mara dari Mahanaim ke Gibeon. 13Yoab anak Zeruya serta para anak buah Daud juga mara, lalu mereka bertemu berdekatan dengan Telaga Gibeon. Satu pihak tinggal di sisi telaga sebelah sini, manakala satu pihak di sisi telaga sebelah sana. 14Kata Abner kepada Yoab, “Suruhlah anak-anak muda tampil dan bertanding di hadapan kita.”
Jawab Yoab, “Ya, suruhlah mereka tampil ke hadapan.”
15Kemudian bersiaplah mereka dan maju menurut jumlahnya, iaitu dua belas orang daripada suku Benyamin dan daripada Isyboset anak Saul, serta dua belas orang daripada anak buah Daud. 16Lalu masing-masing menangkap kepala lawannya dan menikamkan pedangnya ke rusuk lawannya, sehingga mereka roboh bersama-sama. Oleh sebab itu tempat itu disebut Helkat-Hazurim, letaknya di Gibeon.
17Maka berlakulah peperangan yang amat sengit pada hari itu. Abner dan orang Israel tertewas oleh anak buah Daud. 18Pada waktu itu ketiga-tiga orang anak Zeruya iaitu Yoab, Abisai, dan Asael ada di sana. Asael, yang larinya cepat bagaikan seekor kijang liar, 19mengejar Abner. Dia tidak menyimpang ke kanan ataupun ke kiri ketika dia mengejar Abner. 20Lalu Abner menoleh ke belakang dan bertanya, “Engkaukah orang itu, Asael?”
Jawabnya, “Ya.”
21Kata Abner kepadanya, “Menyimpanglah ke kanan atau ke kiri. Tangkaplah salah seorang anak muda itu, lalu ambillah perlengkapannya bagimu.” Tetapi Asael tidak mahu menyimpang dan terus mengejarnya. 22Maka Abner berkata sekali lagi kepada Asael, “Menyimpanglah, jangan mengekori aku. Haruskah aku menghentam engkau jatuh ke tanah? Bagaimanakah aku dapat memandang muka Yoab, abangmu?” 23Tetapi dia tidak juga mahu menyimpang. Oleh sebab itu Abner menikamkan hujung tombaknya ke perut Asael, sehingga tombak itu tembus ke belakangnya. Lalu robohlah dia di sana dan tewas di tempat itu juga. Maka semua orang yang sampai di tempat Asael roboh dan tewas itu berhenti di sana.
24Akan tetapi, Yoab dan Abisai mengejar Abner. Ketika matahari terbenam, sampailah mereka di Bukit Ama, yang berhadapan dengan Giah, di jalan menuju Gurun Gibeon. 25Kemudian berkumpullah bani Benyamin di belakang Abner menjadi satu pasukan, lalu mereka berdiri di puncak sebuah bukit. 26Abner berseru kepada Yoab, katanya, “Haruskah pedang tidak henti-henti makan? Tidakkah engkau tahu bahawa hal itu akan berakhir dengan kepahitan? Berapa lama lagi engkau enggan menyuruh pasukan itu berhenti mengejar saudara-saudara mereka?”
27Jawab Yoab, “Demi Allah yang hidup, jika engkau tidak angkat bicara, tentu pasukan itu akan terus mengejar saudara-saudaranya hingga pagi.” 28Maka Yoab meniup sangkakala dan seluruh pasukan pun berhenti. Mereka tidak lagi mengejar orang Israel dan tidak lagi berperang.
29Kemudian Abner dan orangnya berjalan sepanjang malam melalui Araba lalu menyeberangi Sungai Yordan lantas berjalan sepanjang siang sehingga tiba di Mahanaim.
30Yoab pun berhenti mengejar Abner. Ketika dia mengumpulkan serta menghitung seluruh pasukan, ternyata anak buah Daud berkurang sembilan belas orang di samping Asael. 31Tetapi anak buah Daud mengalahkan orang Benyamin, iaitu orang Abner, hingga tewas tiga ratus enam puluh orang. 32Lalu mereka mengangkat jenazah Asael dan mengebumikannya di kubur ayahnya di Betlehem. Yoab dan orangnya berjalan semalam-malaman lalu sampai di Hebron ketika fajar menyingsing.
Terpilih Sekarang Ini:
2 Samuel 2: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited