2 Raja-Raja 15

15
Azarya bertakhta di Yehuda
1Pada tahun kedua puluh tujuh zaman pemerintahan Yerobeam, raja Israel, Azarya anak Amazia, raja Yehuda, menaiki takhta. 2Umurnya enam belas tahun ketika dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama lima puluh dua tahun. Nama ibunya ialah Yekholya, dari Yerusalem. 3Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN, seperti semua yang dilakukan Amazia, ayahnya. 4Hanya, bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan itu. 5TUHAN mengazabkan raja sehingga dia sakit kusta sampai hari kematiannya dan tinggal di rumah yang berasingan. Maka Yotam, anaknya, mengetuai istana dan memerintah rakyat negeri itu.
6Riwayat Azarya selebihnya dan semua yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda? 7#Yes 6:1.Lalu Azarya dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Daud. Maka Yotam, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.
Zakharia bertakhta di Israel
8Pada tahun ketiga puluh lapan zaman pemerintahan Azarya, raja Yehuda, Zakharia anak Yerobeam menaiki takhta atas Israel di Samaria. Dia bertakhta selama enam bulan, 9dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, seperti yang telah dilakukan oleh nenek moyangnya. Dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat yang menyebabkan orang Israel turut berdosa. 10Salum anak Yabesh bersekongkol melawannya lantas membunuhnya di depan orang ramai, lalu menaiki takhta menggantikannya.
11Riwayat Zakharia selebihnya, sesungguhnya semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel. 12#2Raj 10:30.Memang begitulah firman yang disampaikan TUHAN kepada Yehu: “Anak-anakmu akan duduk di atas takhta Israel sampai keturunan yang keempat.” Demikianlah yang terjadi.
Salum bertakhta di Israel
13Salum anak Yabesh menaiki takhta pada tahun ketiga puluh sembilan zaman pemerintahan Uzia, raja Yehuda. Dia bertakhta selama sebulan di Samaria.
14Kemudian Menahem anak Gadi maju dari Tirza hingga ke Samaria. Dia menyerang Salum anak Yabesh di Samaria, membunuhnya, lalu menaiki takhta menggantikannya. 15Riwayat Salum selebihnya dan persekongkolan yang diadakannya, sesungguhnya semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel. 16Pada waktu itu, bermula dari Tirza, Menahem menyerang Tifsah dan semua penduduknya juga daerahnya, kerana mereka tidak membukakan pintu kota baginya. Dia menyerang kota itu dan membelah perut semua perempuan yang mengandung.
Menahem bertakhta di Israel
17Pada tahun ketiga puluh sembilan zaman pemerintahan Azarya, raja Yehuda, Menahem anak Gadi menaiki takhta atas Israel. Dia bertakhta selama sepuluh tahun di Samaria, 18dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. Sepanjang umurnya dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel turut berdosa. 19Kemudian Pul, raja Asyur, datang menyerang negeri itu. Menahem memberikan kepadanya seribu talenta perak, supaya Pul membantu dia mengukuhkan kerajaan itu di tangannya. 20Wang yang dikeluarkan itu dibebankan Menahem atas orang Israel, iaitu atas semua orang yang kaya-raya. Setiap orang harus memberikan lima puluh syikal perak untuk selanjutnya diberikan kepada raja Asyur. Lalu pulanglah raja Asyur dan tidak lagi tinggal di negeri itu.
21Riwayat Menahem yang selebihnya dan semua yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel? 22Lalu Menahem dibaringkan bersama nenek moyangnya. Maka anaknya, Pekahya, menaiki takhta menggantikannya.
Pekahya bertakhta di Israel
23Pada tahun kelima puluh zaman pemerintahan Azarya, raja Yehuda, Pekahya anak Menahem menaiki takhta atas Israel di Samaria. Dia bertakhta selama dua tahun, 24dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. Dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel turut berdosa. 25Pekah anak Remalya, perwiranya, bersekongkol untuk melawannya dan membunuhnya berserta Argob dan Arye di Samaria, di puri istana raja. Bersamanya ada lima puluh orang daripada bani Gilead. Demikianlah dia membunuh Pekahya lalu menaiki takhta menggantikannya.
26Riwayat Pekahya selebihnya dan semua yang dilakukannya, sesungguhnya semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel.
Pekah bertakhta di Israel
27Pada tahun kelima puluh dua zaman pemerintahan Azarya, raja Yehuda, Pekah anak Remalya menaiki takhta atas Israel di Samaria. Dia bertakhta selama dua puluh tahun, 28dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. Dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel turut berdosa.
29Pada zaman Pekah, raja Israel, datanglah Tiglat-Pileser, raja Asyur. Dia merebut Iyon, Abel-Bet-Maakha, Yanoah, Kedesh, Hazor, Gilead, dan Galilea, seluruh Tanah Naftali, lalu membuang penduduknya ke Asyur.
30Hosea anak Ela mengadakan persekongkolan melawan Pekah anak Remalya. Dia menyerang dan membunuhnya, lalu menaiki takhta menggantikannya pada tahun kedua puluh pemerintahan Yotam anak Uzia. 31Riwayat Pekah selebihnya dan semua yang dilakukannya, sesungguhnya semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel.
Yotam bertakhta di Yehuda
32Pada tahun kedua zaman pemerintahan Pekah anak Remalya, raja Israel, Yotam anak Uzia, raja Yehuda, menaiki takhta. 33Umurnya dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama enam belas tahun. Nama ibunya ialah Yerusa anak Zadok. 34Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN, seperti semua yang dilakukan Uzia, ayahnya. 35Namun itu, bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan itu. Dia membina Pintu Gerbang Atas di Bait TUHAN.
36Riwayat Yotam selebihnya, apa yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda? 37Pada zaman itu TUHAN mulai mengirim Rezin, raja Aram, dan Pekah anak Remalya menyerang Yehuda. 38Lalu Yotam dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Daud, leluhurnya. Maka Ahas, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

Terpilih Sekarang Ini:

2 Raja-Raja 15: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk