2 Tawarikh 36
36
Raja Yoahas
1Rakyat negeri itu kemudian menjemput Yoahas anak Yosia dan menobatkan dia menjadi raja di Yerusalem menggantikan ayahnya. 2Yoahas berumur dua puluh tiga tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama tiga bulan di Yerusalem. 3Raja Mesir menggulingkannya di Yerusalem, dan mendenda negeri itu sebanyak seratus talenta perak dan satu talenta emas. 4#Yer 22:11,12.Lalu raja Mesir menobatkan Elyakim, saudara Yoahas, menjadi raja atas Yehuda dan Yerusalem, dan mengganti namanya menjadi Yoyakim. Akan tetapi Yoahas, saudaranya, diambil Nekho dan dibawa ke Mesir.
Raja Yoyakim
5 # Yer 22:18,19; 26:1-6; 35:1-19. Yoyakim berumur dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama sebelas tahun di Yerusalem. Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, Allahnya. 6#Yer 25:1-38; 36:1-32; 45:1-5; Dan 1:1,2.Kemudian Nebukadnezar, raja Babel, maju menyerangnya dan membelenggunya dengan rantai gangsa untuk dibawa ke Babel. 7Nebukadnezar juga membawa sebahagian daripada alat kelengkapan Bait TUHAN ke Babel dan menaruhnya di kuil dewanya di Babel. 8Riwayat Yoyakim yang selebihnya, segala kekejian yang dilakukannya dan kesalahan yang terdapat padanya, sesungguhnya semua itu tertulis dalam kitab raja-raja Israel dan Yehuda. Maka Yoyakhin, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.
Raja Yoyakhin
9Yoyakhin berumur lapan belas tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama tiga bulan sepuluh hari di Yerusalem. Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. 10#Yer 22:24-30; 24:1-10; 29:1,2; Yeh 17:12. Yer 37:1; Yeh 17:13.Pada pergantian tahun, Raja Nebukadnezar menyuruh agar Yoyakhin dibawa ke Babel berserta dengan segala alat kelengkapan yang indah-indah dari Bait TUHAN. Lalu dia menobatkan Zedekia, saudara ayah Yoyakhin, menjadi raja atas Yehuda dan Yerusalem.
Raja Zedekia
11 # Yer 27:1-22; 28:1-17. Zedekia berumur dua puluh satu tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama sebelas tahun di Yerusalem. 12Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, Allahnya, dan tidak merendahkan diri di hadapan Nabi Yeremia yang menyampaikan firman TUHAN.
13 # Yeh 17:15. Lalu dia memberontak melawan Raja Nebukadnezar yang telah menyuruh dia bersumpah setia demi Allah. Dia menegarkan tengkuknya, mengeraskan hatinya, dan tidak mahu berbalik kepada TUHAN, Allah Israel. 14Juga semua pemimpin daripada kalangan imam dan rakyat berbuat banyak kemungkaran dengan mengikuti segala kekejian bangsa-bangsa lain. Mereka menajiskan Bait TUHAN yang telah disucikan-Nya di Yerusalem.
Runtuhnya kerajaan Yehuda
15TUHAN, Allah nenek moyang mereka, terus-menerus mengirim pesan kepada mereka dengan perantaraan utusan-utusan-Nya, kerana Dia sayang kepada umat-Nya dan kepada tempat kediaman-Nya. 16Akan tetapi, mereka mengolok-olokkan utusan-utusan Allah itu, meremehkan firman-Nya, dan mengejek nabi-nabi-Nya sehingga murka TUHAN bangkit terhadap umat-Nya dan tidak mungkin lagi ada pemulihan.
17 # Yer 21:1-10; 34:1-5. Dia membawa raja Kasdim kepada mereka, lalu raja itu membunuh orang muda mereka dengan pedang di Bait Suci mereka, dan tidak ada belas kasihan terhadap semua pemuda, gadis, orang yang tua atau renta. Allah menyerahkan mereka semua ke dalam tangannya. 18Segala alat kelengkapan Rumah Allah, baik besar mahupun kecil, perbendaharaan rumah TUHAN, serta perbendaharaan raja dan para pembesarnya, semuanya dibawanya ke Babel. 19#1Raj 9:8.Mereka membakar Rumah Allah dan merobohkan tembok Yerusalem. Semua purinya dibakar habis dan segala alat kelengkapannya yang berharga dimusnahkan. 20Kemudian raja itu membuang orang yang terselamat daripada pedang ke Babel. Mereka menghamba kepadanya dan kepada anak-anaknya sampai kerajaan Parsi berkuasa. 21#Yer 25:11; 29:10.Dengan demikian genaplah firman TUHAN yang disampaikan oleh Yeremia, sampai negeri itu menikmati tahun-tahun Sabatnya. Selama masa ketandusannya, negeri itu menjalani Sabat, sampai genap tujuh puluh tahun.
Orang buangan diizinkan pulang
22Pada tahun pertama zaman pemerintahan Kores, raja Parsi, TUHAN menggerakkan hati Kores, raja Parsi itu, untuk memenuhi firman TUHAN yang disampaikan oleh Yeremia. Lantas raja itu menuliskan perisytiharan dan menyiarkannya di seluruh kerajaannya. Demikianlah bunyinya:
23 # Yes 44:28. “Beginilah titah Kores, raja Parsi, ‘TUHAN, Allah semesta langit, mengurniakan segala kerajaan di bumi kepadaku dan Dia menugaskan aku untuk membina sebuah bait bagi-Nya di Yerusalem, di Tanah Yehuda. Sesiapa pun umat-Nya antara kamu, semoga TUHAN, Allahnya menyertainya, dan biarlah dia kembali.’ ”
Terpilih Sekarang Ini:
2 Tawarikh 36: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited