2 Tawarikh 33

33
Raja Manasye
1Manasye berumur dua belas tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama lima puluh lima tahun di Yerusalem. 2#Yer 15:4.Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, mengikuti kekejian bangsa-bangsa yang telah dihalau TUHAN dari hadapan orang Israel. 3Dia membina kembali bukit-bukit pemujaan yang telah dirobohkan oleh Hizkia, ayahnya, lalu didirikannya mazbah-mazbah bagi para dewa Baal dan dibuatnya patung-patung Asyera. Dia sujud menyembah segala benda langit dan beribadat kepadanya. 4#2Taw 6:6.Dia juga membina pelbagai mazbah di dalam Bait TUHAN, padahal TUHAN telah berfirman, “Di Yerusalem nama-Ku akan kekal untuk selama-lamanya.” 5Di dua pelataran Bait TUHAN, dia membina mazbah-mazbah bagi segala benda langit. 6Dia mempersembahkan anak-anaknya pula sebagai korban yang dibakar di Lembah Ben-Hinom dan mengamalkan kegiatan ramal, nujum, dan menelah, serta menghubungi pemanggil arwah dan ahli sihir. Banyak kejahatan dilakukannya di mata TUHAN, sehingga dia membangkitkan murka-Nya. 7#1Raj 9:3-5; 2Taw 7:12-18.Dia menempatkan patung ukiran, iaitu berhala yang dibuatnya, di dalam Rumah Allah, padahal Allah telah berfirman kepada Daud dan kepada Salomo, anaknya, “Di dalam Bait ini dan di Yerusalem, yang telah Kupilih daripada kalangan semua suku Israel, Aku akan menegakkan nama-Ku untuk selama-lamanya. 8Aku tidak akan membiarkan kaki orang Israel beranjak lagi dari tanah yang telah Kutetapkan bagi nenek moyangmu, asal sahaja mereka melakukan dengan setia segala sesuatu yang telah Kuperintahkan kepada mereka melalui Musa, iaitu segala hukum, ketetapan, dan peraturan.” 9Manasye menyesatkan orang Yehuda dan penduduk Yerusalem sehingga mereka berbuat jahat, lebih daripada bangsa-bangsa yang telah dipunahkan TUHAN dari hadapan orang Israel.
10TUHAN berfirman kepada Manasye dan kepada rakyatnya, tetapi mereka tidak mahu mendengar. 11Oleh sebab itu TUHAN mendatangkan kepada mereka panglima-panglima tentera raja Asyur, yang menangkap Manasye dengan pelbagai cangkuk dan membelenggunya dengan rantai gangsa, dan membawanya ke Babel. 12Dalam kesesakannya dia memohon belas kasihan TUHAN, Allahnya. Dia sangat merendahkan diri di hadapan Allah nenek moyangnya 13dan berdoa kepada-Nya. Lalu Allah mengabulkan doanya dan mendengar permohonannya. Allah membawanya kembali ke Yerusalem, kepada kerajaannya. Maka tahulah Manasye bahawa TUHAN sememangnya Allah.
14Setelah itu, dia membangunkan tembok luar Kota Daud di sebelah barat Gihon, di lembah, sampai jalan masuk Pintu Gerbang Ikan, mengelilingi Ofel. Tembok itu dibuatnya tinggi sekali, lalu ditempatkannya para panglima pasukan di semua kota berkubu di Yehuda. 15Dia menyingkirkan tuhan-tuhan bangsa asing, berhala dari dalam Bait TUHAN, dan semua mazbah yang dibinanya di atas gunung tempat Bait TUHAN serta di Yerusalem, lalu membuang semua itu ke luar kota. 16Dia mendirikan kembali mazbah bagi TUHAN dan dipersembahkannya di atasnya korban kedamaian serta korban syukur. Kemudian dia memerintahkan orang Yehuda untuk beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. 17Meskipun begitu, rakyat masih mempersembahkan korban di bukit-bukit pemujaan, tetapi hanya kepada TUHAN, Allah mereka.
18Riwayat Manasye yang selebihnya, doanya kepada Allahnya, dan kata-kata para pelihat yang disampaikan kepadanya dengan nama TUHAN, Allah Israel, sesungguhnya semua itu terdapat dalam riwayat raja-raja Israel. 19Doanya dan pengabulan doanya, segala dosa dan kemungkarannya, serta tempat-tempat di mana dia membina bukit-bukit pemujaan, mendirikan patung-patung Asyera dan patung-patung ukiran sebelum dia merendahkan diri, sesungguhnya semua itu tertulis dalam riwayat para pelihat. 20Lalu Manasye dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dia dimakamkan di dalam istananya. Maka Amon, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.
Raja Amon
21Amon berumur dua puluh dua tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama dua tahun. 22Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, seperti yang dilakukan oleh Manasye, ayahnya. Amon mempersembahkan korban kepada segala patung ukiran yang dibuat Manasye, ayahnya, dan beribadat kepadanya. 23Dia tidak merendahkan diri di hadapan TUHAN seperti yang dilakukan oleh Manasye, ayahnya. Sebaliknya, Amon ini semakin bertambah kesalahannya.
24Kemudian para pegawainya bersekongkol melawannya dan membunuhnya di istananya. 25Akan tetapi, rakyat negeri itu membunuh semua orang yang bersekongkol melawan Raja Amon. Lalu rakyat negeri itu menobatkan Yosia, anaknya, menjadi raja menggantikannya.

Terpilih Sekarang Ini:

2 Tawarikh 33: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk