1 Korintus 7

7
Tentang perkahwinan
1Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu kemukakan dalam suratmu. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, itu memang baik. 2Namun demikian, supaya tidak tergoda melakukan perbuatan yang cabul, lebih baiklah setiap lelaki itu beristeri dan setiap perempuan bersuami. 3Seorang suami harus menunaikan kewajipan kepada isterinya, begitu juga seorang isteri kepada suaminya. 4Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri; suaminya berkuasa atas tubuhnya. Demikianlah juga, seorang suami tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri; isterinya yang berkuasa atas tubuhnya. 5Jangan renggangkan hubungan sebagai suami isteri, kecuali sementara waktu dengan persetujuan bersama untuk bertumpu kepada ibadat doa. Tetapi setelah itu teruskan hubungan sebagai suami isteri, supaya Iblis tidak berjaya menggodamu kerana kamu tidak dapat menahan nafsu.
6Aku menyampaikan ini bukanlah sebagai perintah tetapi sebagai nasihat. 7Memanglah aku lebih suka sekiranya kamu semua sepertiku. Tetapi Allah memberikan kurnia yang khusus; yang seorang kurnia ini, yang lain kurnia itu.
8Kepada yang belum berkahwin dan kepada wanita yang telah menjadi balu. Inilah nasihatku: Memang baik kamu terus hidup sendirian seperti aku. 9Tetapi sekiranya kamu tidak dapat menahan nafsu, berkahwinlah. Ini lebih baik daripada membiarkan hawa nafsu bergelora.
10 # Mat 5:32; 19:9; Mrk 10:11,12; Luk 16:18. Kepada yang sudah berkahwin, inilah perintahku, yang sebenarnya bukan perintah aku tetapi perintah Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya. 11Tetapi jika seorang isteri telah meninggalkan suaminya, dia mesti terus hidup bersendirian, atau dia boleh balik kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya.
12Kepada yang lain aku memberikan nasihat ini, iaitu nasihatku sendiri, bukan perintah Tuhan: Jika seorang lelaki beriman mempunyai isteri yang tidak beriman dan isteri itu bersetuju terus hidup bersamanya, maka lelaki itu tidak boleh menceraikan isterinya. 13Jika seorang wanita beriman mempunyai suami yang tidak beriman dan suami itu bersetuju untuk terus hidup bersamanya, maka wanita itu tidak boleh menceraikan suaminya. 14Seorang suami yang tidak beriman menjadi suci kerana isterinya. Demikian juga, seorang isteri yang tidak beriman menjadi suci kerana suami. Jika tidak, anak-anakmu akan menjadi anak-anak yang tercela. Tetapi dengan demikian mereka ialah anak-anak yang suci. 15Namun demikian, jika seseorang yang tidak beriman hendak meninggalkan isteri atau suaminya yang beriman, biarkanlah dia berbuat demikian. Jika ini terjadi, saudara atau saudari itu tidak terikat lagi. Allah mahu kamu semua hidup aman damai. 16Wahai isteri yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suamimu? Demikian juga, wahai suami yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isterimu?
Hidup dalam keadaan seperti waktu dipanggil Allah
17Setiap orang harus hidup dalam keadaan yang ditetapkan Tuhan untuknya ketika Allah memanggilnya. Demikianlah ajaran yang telah kusampaikan kepada semua jemaah. 18#1Mak 1:15.Contohnya, jika seseorang itu sudah pun bersunat sewaktu Allah memanggilnya, janganlah pula dia cuba menghilangkan tanda sunat itu. Demikian juga, sekiranya seseorang itu tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, janganlah dia meminta disunatkan. 19Bersunat atau tidak bersunat bukan perkara yang terpenting. Yang terpenting ialah taat akan perintah Allah. 20Setiap orang harus terus hidup dalam keadaannya ketika dia telah dipanggil Allah. 21Jika kamu hamba ketika dipanggil Allah, janganlah bersusah hati kerana itu; tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang merdeka, ambillah peluang itu. 22Hamba yang beriman kepada Tuhan menjadi orang merdeka di mata Tuhan. Begitu juga orang merdeka yang beriman kepada Kristus menjadi hamba kepada Kristus. 23Kamu telah dibeli dengan harga yang dibayar sepenuhnya; maka janganlah kamu menjadi hamba manusia. 24Saudara-saudaraku, masing-masing hiduplah bersama Allah dalam keadaan yang sama seperti ketika dipanggil Allah.
25Tuhan tidak memberiku perintah tentang orang yang belum kahwin; tetapi aku menasihatimu, kerana dengan belas kasihan Tuhan aku boleh dipercayai.
26Oleh sebab kini kita diancam pelbagai pancaroba, aku yakin bahawa setiap lelaki baiklah meneruskan hidup dalam keadaannya sekarang. 27Sekiranya kamu sudah beristeri, janganlah cuba menceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, usahlah berkahwin. 28Namun demikian, kalau kamu berkahwin, kamu tidaklah berdosa. Demikian juga, jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin banyak menghadapi masalah; aku mahu kamu bebas daripada masalah itu.
29Saudara-saudaraku, maksudku demikian: Masa kita sudah semakin suntuk. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri, hiduplah seolah-olah tidak beristeri; 30orang yang menangis, hiduplah seolah-olah tidak bersedih; orang yang tertawa, hiduplah seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang, sifatkanlah seolah-olah barang yang dibeli itu tidak dimilikinya; 31Orang yang menggunakan barang-barang yang ada di dunia seolah-olah tidak menggunakannya kerana dunia dalam keadaan sekarang sedang lenyap.
32Aku mahu kamu bebas daripada kerunsingan. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan minat kepada hal-hal Tuhan untuk mendapat keredaan Tuhan. 33Sebaliknya, seorang yang mempunyai isteri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menggembirakan isterinya. 34Dengan demikian perasaannya berbelah bagi. Seorang wanita atau gadis yang tidak bersuami menumpukan minatnya kepada hal-hal Tuhan kerana ingin mengabdikan seluruh jiwa raganya kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang telah bersuami akan memusatkan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menyukakan hati suaminya.
35Aku menasihati kamu demikian untuk menolongmu. Aku tidak mahu melarangmu membuat itu dan ini. Aku ingin kamu melakukan apa yang wajar dan mengabdikan diri sepenuh hati kepada Tuhan.
36Sekiranya seorang lelaki berasa dia tidak adil terhadap tunangnya, dan jika gadis itu semakin meningkat usianya, dan dia berasa dia patut berkahwin dengan gadis itu, maka dia harus bertindak menurut hasratnya. Dia tidaklah berdosa jika berkahwin. 37Tetapi jika seorang lelaki dengan kerelaannya sendiri mengambil keputusan dalam hatinya untuk tidak berkahwin dengan gadis tunangnya itu, dan dia dapat mengawal nafsunya, serta tahu apa yang akan dilakukannya, maka lebih baiklah dia tidak berkahwin. 38Tegasnya, berkahwin itu baik, tetapi tidak berkahwin lebih baik lagi. 39Seorang wanita yang telah berkahwin terikat kepada suaminya hanya sepanjang hayat suaminya itu. Setelah suaminya meninggal dunia, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan sesiapa sahaja lelaki pilihannya asalkan dia seorang beriman dalam Tuhan. 40Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika tidak berkahwin lagi. Ini fikiranku sendiri, tetapi aku yakin aku mendapat panduan daripada Roh Allah.

Terpilih Sekarang Ini:

1 Korintus 7: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk