Lukas 15
15
Domba yang hilang
1 # Luk 5:29,30. Pada suatu hari semua pemungut cukai dan orang yang berdosa datang mendengar Yesus. 2Orang Farisi dan ahli-ahli Taurat bersungut-sungut, “Orang ini menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.” 3Yesus pun mengatakan ibarat ini kepada mereka.
4“Jika seorang antara kamu mempunyai seratus ekor domba lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga ditemukannya. 5Setelah dia menemukannya, dia memikul domba itu di atas bahunya. 6Setibanya di rumah, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya lalu berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan domba aku yang hilang itu.’ 7Aku berkata kepadamu bahawa begitu jugalah kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat lebih daripada kegembiraan ke atas sembilan puluh sembilan orang yang benar yang tidak perlu bertaubat.”
Wang yang hilang
8“Atau seandainya seorang perempuan yang mempunyai sepuluh keping wang perak kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita lalu menyapu rumah dan mencari dengan cermat sehingga dia menemukannya kembali. 9Setelah itu, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya dan berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan sekeping wang yang hilang itu.’ 10Aku berkata kepadamu bahawa malaikat-malaikat Allah bergembira kerana seorang yang berdosa bertaubat.”
Anak lelaki yang hilang
11Yesus berkata seterusnya: “Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki. 12Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’ Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu. 13Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. 14Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan. 15Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya. 16Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya. 17Akhirnya, dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji bapaku dapat makan sehingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan! 18Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. 19Aku tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah aku ini sebagai salah seorang gaji ayah.’ 20Dia pun kembali kepada bapanya.
Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya. 21Anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.’ 22Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, ‘Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin pada jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya. 23Pilihlah dan sembelihlah anak lembu yang tambun, dan marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria; 24kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.’ Lalu mereka mula bersuka ria.
25Pada masa itu anak sulung bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari. 26Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku ini?’ 27Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.’ 28Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia. 29Anak sulung itu berkata, ‘Tengoklah, bertahun-tahun aku bekerja untuk ayah. Aku tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada aku supaya aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku. 30Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya!’ 31Bapa itu berkata kepadanya, ‘Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu. 32Kita patut bersuka ria kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemukan kembali.’ ”
Currently Selected:
Lukas 15: AVB
Tõsta esile
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited