YouVersion Logo
Search Icon

MATIUS 7

7
Hal Menghakimi Orang
(Luk 6.37-38,41-42)
1“Jangan hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. 2 Allah akan menghakimi kamu sebagaimana kamu menghakimi orang lain. Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu. 3Mengapakah kamu perhatikan selumbar di dalam mata saudaramu, sedangkan kayu balak di dalam matamu tidak kamu perhatikan? 4Bagaimana kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan ada kayu balak di dalam matamu sendiri? 5Hai munafik! Keluarkan dahulu kayu balak dari matamu, barulah kamu dapat melihat dengan jelas, lalu keluarkan selumbar dari mata saudaramu.
6Jangan berikan apa-apa yang suci kepada anjing; anjing hanya akan berbalik lalu menerkam kamu. Jangan berikan mutiara kepada babi; babi hanya akan memijak-mijak mutiara.”
Minta, Cari, dan Ketuk
(Luk 11.9-13)
7“Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu. 8Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya; dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya. 9Bapa yang manakah akan memberikan batu kepada anaknya, apabila anaknya meminta roti? 10Bapa yang manakah akan memberikan ular, apabila anaknya meminta ikan? 11Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu. Lebih-lebih lagi Bapa kamu yang di syurga; Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada Dia!
12 Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Inilah inti Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi.”
Pintu yang Sempit
(Luk 13.24)
13“Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu dan jalan yang menuju ke neraka itu lebar dan lapang! Banyak orang yang mengambil jalan itu. 14Tetapi pintu dan jalan yang menghala ke hidup sejati itu sempit dan susah. Hanya sedikit orang yang mendapati jalan itu.”
Pokok dan Buahnya
(Luk 6.43-44)
15“Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas. 16Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Belukar berduri tidak menghasilkan buah anggur, dan semak berduri tidak menghasilkan buah ara. 17Tetapi pokok yang subur menghasilkan buah yang baik, dan pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang buruk. 18Pokok yang subur tidak dapat menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang tidak subur tidak dapat menghasilkan buah yang baik. 19 Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik, ditebang lalu dibakar. 20 Demikianlah kamu akan mengenal nabi palsu melalui perbuatan mereka.”
Perbuatan, bukan Kata-Kata
(Luk 13.25-27)
21“Tidak semua orang yang memanggil Aku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan,’ akan menikmati Pemerintahan Allah, tetapi hanya orang yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. 22Pada Hari Kiamat banyak orang akan berkata kepada-Ku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan, bukankah dengan nama Tuhan kami memberitakan perkhabaran Allah? Bukankah dengan nama Tuhan kami mengusir roh jahat, serta melakukan banyak mukjizat?’ 23 Tetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai kamu yang tidak mentaati Allah!’ ”
Pembina Rumah yang Pandai dan yang Bodoh
(Luk 6.47-49)
24“Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini dan menurutnya, dia seperti seorang bijak yang membina rumah di atas batu. 25Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana berasaskan batu.
26Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini tetapi tidak menurutnya, dia seperti seorang bodoh yang membina rumah di atas pasir. 27Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, lalu rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!”
Wibawa Yesus
28Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara tersebut, orang ramai sangat hairan dengan cara Dia mengajar. 29 Dia mengajar dengan wibawa, bukan seperti guru Taurat mereka.

Currently Selected:

MATIUS 7: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in