YouVersion Logo
Search Icon

KIDUNG AGUNG 5

5
Lelaki
1Aku datang ke tamanku,
hai kekasih dan pengantinku,
aku mengumpulkan mur dan rempahku;
aku makan madu dan sarang lebah maduku,
aku minum susu dan wainku.
Wanita-Wanita
Makanlah, hai sahabat-sahabat,
dan minumlah sehingga kamu mabuk asmara.
Nyanyian Keempat
Wanita
2Aku tidur, tetapi hatiku berjaga.
Dengarlah,
kekasihku mengetuk pintu.
Lelaki
Benarkanlah aku masuk,
hai sayangku,
merpatiku, buah hatiku.
Kepalaku basah kerana embun,
dan rambutku penuh titisan embun malam.
Wanita
3Pakaian telah kutanggalkan;
mengapakah aku harus memakainya lagi?
Kaki pun telah kucuci;
mengapakah aku harus mengotorkannya lagi?
4Berdebar-debar hatiku,
kerana kekasihku memegang tombol pintu.
5Maka bangunlah aku
hendak membuka pintu bagi kekasihku.
Mur menitis dari tangan dan jariku
membasahi tombol pintu.
6Aku membuka pintu untuk kekasihku,
tetapi dia sudah pergi.
Aku sangat merindukan suaranya.
Aku mencari dia tetapi tidak menemuinya;
aku memanggil dia,
tetapi dia tidak menyahut.
7Peronda-peronda kota menemui aku;
mereka memukul dan melukai aku;
pengawal di tembok kota merampas selendangku.
8Berjanjilah,
hai puteri-puteri Yerusalem,
jika kamu menjumpai kekasihku,
beritahulah dia bahawa aku sakit asmara.
Wanita-Wanita
9Hai gadis yang paling jelita,
adakah kekasihmu lebih baik daripada kekasih lain?
Apakah kelebihan kekasihmu
sehingga kami harus berjanji kepadamu?
Wanita
10Kekasihku kacak dan gagah;
unggul antara sepuluh ribu orang.
11Kepalanya seperti emas,
emas murni,
rambutnya berombak-ombak, hitam seperti burung gagak.
12Matanya seperti burung merpati di mata air,
merpati bermandi susu,
di tebing anak sungai.
13Pipinya bagaikan kebun rempah yang wangi.
Bibirnya bagaikan bunga bakung yang menitiskan mur cecair.
14Tangannya elok,
dan dia memakai cincin emas dengan permata.
Badannya seperti gading bertatah batu nilam.
15Kakinya seperti tiang marmar putih,
yang beralaskan emas.
Perawakannya gagah seperti gunung-gunung di Lebanon,
dan anggun seperti pokok sedar.
16Amat manis tutur katanya,
segala yang ada padanya menawan hatiku.
Demikianlah kekasihku dan sahabatku,
hai puteri-puteri Yerusalem.

Currently Selected:

KIDUNG AGUNG 5: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in