RUT 2
2
Rut Bekerja di Ladang Boas
1Naomi mempunyai sanak saudara daripada mendiang suaminya, Elimelekh. Seorang daripadanya bernama Boas, dan dia kaya serta dihormati. 2 Pada suatu hari, Rut berkata kepada Naomi, “Benarkanlah saya pergi ke ladang untuk mengumpulkan barli yang terjatuh dari tangan para penuai. Tentu saya akan menemui orang yang akan membiarkan saya berbuat begitu.”
Naomi menjawab, “Pergilah, anakku.”
3Kemudian Rut pergi ke ladang. Dia mengikut para penuai di sana, sambil memungut barli yang terjatuh. Kebetulan dia berada di ladang kepunyaan Boas, seorang daripada sanak saudara Elimelekh.
4Tidak berapa lama kemudian, Boas sendiri datang dari Betlehem. Dia memberikan salam kepada para pekerjanya. “Semoga TUHAN menyertai kamu!” katanya.
“Semoga TUHAN memberkati tuan!” jawab mereka.
5Kemudian Boas bertanya kepada ketua pekerjanya, “Siapakah keluarga wanita itu?”
6Ketua pekerja itu menjelaskan, “Dia wanita asing yang baru datang dari Moab bersama dengan Naomi. 7Dia minta izin untuk mengikut para pekerja kita memungut barli yang tercicir. Sejak pagi lagi dia bekerja, dan baru saja dia berhenti untuk berehat sebentar di pondok.”
8Kemudian Boas berkata kepada Rut, “Dengarlah nasihat saya. Janganlah pergi memungut barli di ladang lain, kecuali ladang ini. Bekerjalah dengan para pekerja wanita di sini. 9Lihatlah ke mana mereka bekerja, dan ikutlah mereka. Dengan tegas saya melarang para pekerja lelaki daripada mengganggu kamu. Apabila kamu haus, minumlah air dari tempayan-tempayan yang telah diisikan oleh mereka.”
10Rut bersujud dan berkata kepada Boas, “Mengapakah tuan mengambil berat terhadap saya dan begitu baik terhadap saya? Saya hanya seorang bangsa asing!”
11Boas menjawab, “Saya telah mendengar segala sesuatu yang kamu lakukan bagi ibu mentuamu sejak suamimu meninggal. Saya tahu bahawa kamu telah meninggalkan ibu bapa dan negeri kamu untuk tinggal bersama dengan bangsa yang tidak kamu kenal. 12Semoga TUHAN membalas segala kebaikanmu. Semoga kamu menerima apa yang patut diberikan kepadamu oleh TUHAN, Allah Israel, kerana kamu telah datang untuk berlindung kepada-Nya!”
13Rut berkata, “Tuan sungguh baik hati. Tuan telah menyenangkan hati saya. Tuan telah bercakap lembut kepada saya, walaupun saya tidak setaraf dengan pekerja tuan.”
14Pada waktu makan tengah hari, Boas berkata kepada Rut, “Marilah makan. Celupkanlah rotimu di dalam kuahnya.” Rut duduk bersama-sama para pekerja yang lain lalu Boas menghidangkan barli panggang kepadanya. Rut makan sehingga kenyang. Setelah makan, dia menyimpan lebihan makanannya. 15-16Apabila dia pergi lagi untuk memungut barli, Boas berkata kepada para pekerjanya, “Biarlah dia memungut barli bahkan antara yang sudah diberkas. Jangan larang dia. Cabutlah beberapa batang barli dari berkas-berkas itu dan tinggalkanlah di sana supaya dapat dipungutnya.”
17Rut memungut barli di ladang itu sehingga senja. Setelah dia mengirik barli itu, dia mendapati bahawa barli yang dikumpulkannya hampir sepuluh kilogram. 18Dia membawa barli itu ke kota, lalu menunjukkan kepada ibu mentuanya berapa banyak barli yang telah dikumpulkannya. Dia juga memberi ibu mentuanya lebihan makanan yang disimpannya pada waktu makan. 19Naomi bertanya kepadanya, “Di mana engkau mendapat semua ini? Di ladang siapa engkau bekerja? Semoga Allah memberkati orang yang berbuat baik kepadamu!”
Rut menceritakan kepada Naomi bahawa dia telah bekerja di ladang seorang yang bernama Boas.
20 “Semoga TUHAN memberkati Boas!” kata Naomi kepada Rut. “TUHAN sentiasa menepati janji-Nya, baik kepada orang yang masih hidup mahupun kepada orang yang sudah meninggal.” Katanya lagi, “Orang itu saudara dekat kita. Dialah yang patut bertanggungjawab terhadap kita.”
21Rut berkata, “Lagi pula, dia membenarkan saya memungut barli bersama-sama para pekerjanya sehingga mereka habis menuai seluruh ladang itu.”
22Naomi berkata kepada Rut, “Memang, nak. Lebih baik engkau bekerja dengan para pekerja wanita di ladang Boas. Jika engkau bekerja di ladang orang lain, mungkin engkau akan diganggu oleh orang di sana.” 23Maka Rut tetap mengikuti para pekerja wanita di ladang Boas. Rut memungut barli dan gandum di sana sehingga semuanya habis dituai. Selama itu Rut tinggal bersama dengan ibu mentuanya.
Currently Selected:
RUT 2: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.