YouVersion Logo
Search Icon

ROMA 8:1-17

ROMA 8:1-17 BM

Sekarang tidak ada lagi hukuman bagi mereka yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Hal itu demikian kerana hukum Roh Allah yang menyebabkan kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, sudah membebaskan aku daripada hukum dosa dan kematian. Perkara yang gagal dilakukan oleh Taurat kerana tabiat manusia lemah, sudah dilakukan oleh Allah. Allah mengalahkan kuasa dosa yang ada dalam tabiat manusia dengan mengutus Anak-Nya sendiri, yang datang dalam keadaan manusia yang cenderung berbuat dosa, untuk menghapuskan dosa. Allah berbuat demikian supaya kehendak-Nya yang dinyatakan di dalam Taurat dapat kita lakukan dengan sepenuhnya dalam hidup kita yang menurut kehendak Roh Allah, dan bukan menurut kehendak tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak tabiat manusia, fikiran mereka dikuasai oleh tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak Roh Allah, fikiran mereka dikuasai oleh Roh Allah. Jika fikiran kamu dikuasai oleh tabiat manusia, hal itu mengakibatkan kematian. Tetapi jika fikiran kamu dikuasai oleh Roh Allah, Allah akan mengurniai kamu hidup dan kedamaian. Seseorang yang fikirannya dikuasai oleh tabiat manusia, menjadi musuh Allah. Orang itu tidak mentaati hukum Allah, dan sebenarnya dia tidak dapat mentaati hukum Allah. Orang yang hidup menurut tabiat manusia, tidak dapat menyenangkan hati Allah. Tetapi kamu tidak lagi hidup menurut tabiat manusia. Kamu hidup menurut kehendak Roh Allah - jika Roh Allah menguasai hidup kamu. Sesiapa tidak mempunyai Roh Kristus, orang itu bukan milik Kristus. Tetapi jika Kristus hidup dalam diri kamu, Roh Allah mengurniakan hidup kepada kamu, walaupun badan kamu akan mati kerana dosa. Hal itu demikian kerana kamu sudah berbaik semula dengan Allah. Jika Roh Allah yang membangkitkan Kristus daripada kematian, hidup dalam diri kamu, Dia yang membangkitkan Kristus daripada kematian itu, juga akan menghidupkan badan kamu yang fana. Dia melakukannya dengan Roh-Nya yang hidup dalam diri kamu. Oleh itu saudara-saudaraku, inilah kewajipan kita: Kita tidak boleh hidup menurut kehendak tabiat manusia. Jika kamu hidup menurut tabiat manusia, kamu akan mati; tetapi jika dengan kuasa Roh Allah kamu mematikan semua perbuatan kamu yang berdosa, kamu akan hidup. Orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah. Roh yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu tidak memperhamba kamu, sehingga kamu hidup dalam ketakutan. Sebaliknya Roh Allah menjadikan kamu anak-anak Allah, dan dengan kuasa Roh Allah kita memanggil Allah “Bapa, ya Bapaku!” Roh Allah bersama dengan roh kita menyatakan bahawa kita anak-anak Allah. Kerana kita anak-anak Allah, kita akan menerima berkat-berkat yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya. Bersama dengan Kristus, kita juga akan menerima segala yang sudah disediakan oleh Allah untuk Dia, kerana jika kita menderita bersama-sama Kristus, kita juga akan mendapat kemuliaan-Nya.