YouVersion Logo
Search Icon

ROMA 10

10
1Saudara-saudaraku! Dengan sepenuh hati aku berharap supaya bangsaku diselamatkan! Dengan tekun aku berdoa kepada Allah bagi mereka. 2Aku boleh memberikan kesaksian bahawa mereka sungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah. Tetapi pengabdian mereka tidak berdasarkan pengetahuan daripada Allah. 3Mereka tidak mengetahui cara Allah membolehkan manusia berbaik semula dengan Dia. Sebaliknya mereka berusaha untuk mengikut cara mereka sendiri. Oleh itu mereka tidak mahu menerima cara Allah membolehkan manusia berbaik semula dengan Dia. 4Kristus sudah menyebabkan Taurat tidak lagi berkuatkuasa. Oleh itu orang yang percaya kepada Kristus dapat berbaik semula dengan Allah.
Penyelamatan bagi Semua Orang
5 Inilah yang ditulis oleh Musa tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, “Orang yang mentaati Taurat akan hidup.” 6Tetapi tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui kepercayaan kepada-Nya, Alkitab mengatakan demikian, “Janganlah bertanya dalam hati, ‘Siapakah yang akan naik ke syurga?’ (maknanya membawa Kristus turun), 7atau ‘Siapakah yang akan turun ke alam maut?’ (maknanya membawa Kristus naik daripada kematian).” 8 Beginilah maksudnya, “Perkhabaran daripada Allah sangat dekat pada kamu, pada bibir kamu, dan di dalam hati kamu.” Itulah perkhabaran yang kami isytiharkan; perkhabaran bahawa orang harus percaya kepada Allah. 9Jika kamu mengaku di hadapan orang bahawa “Yesus itu Tuhan,” dan kamu sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan. 10Kerana kita sungguh-sungguh percaya, kita diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Kerana kita mengakui Yesus di hadapan orang, kita diselamatkan. 11 Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang percaya kepada Dia tidak akan dikecewakan.” 12Hal itu berlaku bagi semua orang, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Allah yang satu itu Tuhan semua orang. Dia melimpahkan berkat-Nya kepada semua orang yang meminta pertolongan-Nya. 13 Di dalam Alkitab juga tertulis, “Setiap orang yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.”
14Tetapi bagaimanakah mereka dapat berseru kepada Tuhan jika mereka belum percaya kepada-Nya? Bagaimanakah mereka dapat percaya kepada-Nya jika mereka belum mendengar perkhabaran tentang Dia? Bagaimanakah mereka dapat mendengar perkhabaran itu, jika tidak ada yang mengisytiharkannya? 15 Bagaimanakah perkhabaran itu dapat diisytiharkan jika tidak ada orang yang diutus untuk mengisytiharkannya? Di dalam Alkitab tertulis begini, “Alangkah baiknya ketibaan orang yang membawa Berita Baik daripada Allah!” 16 Tetapi tidak semua orang menyambut Berita Baik itu. Nabi Yesaya berkata, “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami?” 17Oleh itu orang dapat percaya kerana mendengar perkhabaran itu, dan orang dapat mendengar perkhabaran itu kerana ada orang yang memberitakan Kristus.
18 Tetapi aku bertanya: Betulkah mereka belum mendengar perkhabaran itu? Tentu mereka sudah mendengarnya, kerana di dalam Alkitab tertulis,
“Suara mereka terdengar di seluruh dunia;
dan kata-kata mereka sampai ke hujung bumi.”
19 Aku bertanya pula: Tidakkah orang Israel memahaminya? Musa ialah orang pertama yang menjawab soalan itu. Dia berkata, “Allah berfirman,
‘Aku akan menjadikan kamu iri hati terhadap mereka yang bukan bangsa;
Aku akan menjadikan kamu marah terhadap bangsa yang bodoh.’ ”
20 Yesaya lebih berani lagi ketika dia berkata, “Allah berfirman,
‘Aku dijumpai oleh mereka yang tidak mencari Aku,
Aku menampakkan diri kepada mereka yang tidak bertanya tentang Aku.’ ”
21 Tetapi tentang orang Israel Yesaya berkata, “Allah berfirman, ‘Sepanjang hari Aku menghulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang tidak taat kepada-Ku dan yang melawan Aku.’ ”

Currently Selected:

ROMA 10: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in