MAZMUR 104
104
Pujian bagi Pencipta
1Pujilah TUHAN, hai jiwaku!
Ya TUHAN, Allahku, betapa agungnya Engkau!
Engkau diliputi keagungan dan kemuliaan,
2dan diselubungi cahaya.
Engkau membentangkan langit seperti khemah,
3dan membina rumah-Mu di tempat yang lebih tinggi daripada langit.
Engkau menunggang awan
dan mengenderai angin.
4 Engkau menggunakan angin sebagai pesuruh-Mu,
dan pancaran kilat sebagai hamba-Mu.
5Engkau mendirikan bumi kukuh pada asasnya,
supaya tidak sekali-kali bergoyang.
6Engkau menyelubungi bumi dengan lautan,
dan air menutupi pergunungan;
7tetapi air pun turun apabila Engkau menegurnya;
air mengalir dengan deras apabila mendengar gemuruh suara-Mu.
8Air mengalir melalui gunung ke lembah,
ke tempat yang telah Engkau sediakan.
9Engkau menentukan sempadan yang tidak boleh dilalui,
supaya air tidak membanjiri bumi lagi.
10Engkau menjadikan mata air memancar di lembah-lembah,
dan air sungai mengalir di sela-sela bukit,
11untuk memberi binatang liar minuman,
dan untuk melepaskan dahaga keldai hutan.
12Di pokok-pokok yang berhampiran,
burung berkicau dan membuat sarang.
13Dari langit Engkau menurunkan hujan ke atas pergunungan,
bumi penuh dengan berkat-Mu.
14Engkau menumbuhkan rumput untuk lembu,
dan tanaman untuk kegunaan orang,
supaya manusia dapat bercucuk tanam,
15dan menghasilkan wain untuk menghiburkan hati,
minyak zaitun untuk menyerikan muka,
dan makanan untuk memberikan tenaga.
16Pokok sedar di Lebanon mendapat banyak hujan,
pokok-pokok yang ditanam oleh TUHAN.
17Di sana burung-burung bersarang,
burung bangau bersarang di puncaknya.
18Kambing hutan tinggal di gunung yang tinggi,
dan landak bersembunyi di tebing.
19Engkau menciptakan bulan untuk menanda musim;
matahari pun tahu waktunya untuk terbenam.
20Engkau menjadikan malam, dan dalam kegelapan
semua binatang hutan berkeliaran.
21Anak singa mengaum ketika berburu,
mencari makanan yang diberikan Allah.
22Apabila matahari terbit, binatang pulang
dan berbaring di tempat persembunyian.
23Kemudian manusia keluar bekerja,
dan terus bekerja sehingga petang.
24Ya TUHAN, sungguh banyak ciptaan-Mu!
Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya!
Bumi penuh dengan makhluk ciptaan-Mu.
25Lihatlah laut luas terbentang,
dengan makhluk besar kecil, tidak terbilang.
26 Di situ kapal-kapal belayar,
dan Lewiatan, raksasa laut ciptaan-Mu, bermain-main.
27Semuanya bergantung kepada-Mu,
untuk mendapat makanan pada waktunya.
28Engkau memberikan makanan, dan makhluk ciptaan-Mu mengumpulkannya;
Engkau memberikan semuanya makanan sehingga kenyang.
29Apabila Engkau berpaling, makhluk ciptaan-Mu takut;
apabila Engkau mengambil balik nafas-Mu, semuanya binasa,
dan kembali ke tanah, menjadi debu semula.
30Tetapi apabila Engkau memberikan nafas, semuanya hidup;
Engkau memberikan kehidupan baru kepada bumi.
31Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya!
Semoga TUHAN bergembira dengan semua ciptaan-Nya!
32Dia memandang bumi, bumi pun bergentar;
Dia menyentuh gunung, gunung pun berasap.
33Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang umurku;
aku akan menyanyikan pujian bagi Allahku seumur hidupku.
34Semoga nyanyianku menyenangkan hati-Nya,
kerana Dialah yang membuat hatiku gembira.
35Biarlah orang berdosa dihapuskan dari muka bumi,
biarlah orang jahat habis binasa.
Pujilah TUHAN, hai jiwaku!
Pujilah TUHAN!
Currently Selected:
MAZMUR 104: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.