YouVersion Logo
Search Icon

AMSAL 8

8
Seruan Hikmat
1Dengarlah! Hikmat berseru-seru;
kebijaksanaan memperdengarkan suara.
2Hikmat berdiri di puncak bukit, di tepi jalan,
dan juga di simpang jalan.
3 Di pintu masuk ke kota,
di pintu gerbang, hikmat berseru,
4“Hai umat manusia, aku merayu kepada kamu;
setiap insan di bumi, perhatikanlah seruanku.
5Kamu yang kurang matang, matangkan fikiranmu;
kamu yang bebal, belajarlah supaya berakal.
6Dengarlah kata-kataku,
kerana semuanya tepat dan berguna.
7Apa yang aku katakan, betul semuanya,
kerana aku membenci dusta.
8Segala yang aku katakan benar;
tiada satu pun yang menyesatkan atau salah.
9Bagi orang yang berpengertian, semuanya jelas;
bagi orang yang berpengetahuan, semuanya terang.
10Hargailah ajaranku lebih daripada perak;
pentingkanlah pengetahuan lebih daripada emas tulen.
11Akulah Hikmat. Aku lebih berharga daripada permata,
dan aku tidak dapat dibandingkan dengan apa pun yang kamu idamkan.
12Akulah Hikmat; aku mempunyai pengertian,
pengetahuan, dan kebijaksanaan.
13Menghormati TUHAN bererti membenci kejahatan;
aku membenci kesombongan dan keangkuhan,
tingkah laku jahat dan dusta.
14Aku memberikan nasihat yang baik,
dan pertimbangan yang bijak.
Aku berpengetahuan dan aku kuat.
15Aku membantu raja-raja menjalankan pemerintahan,
dan aku menolong para penguasa menegakkan keadilan.
16Setiap penguasa yang adil memerintah dengan pertolonganku,
demikian juga negarawan dan bangsawan.
17Aku mengasihi orang yang mengasihi aku,
sesiapa yang sungguh-sungguh mencari aku akan menemukan aku.
18Aku dapat memberi kamu kekayaan dan kehormatan,
kemakmuran, dan kejayaan.
19Apa yang kamu terima daripadaku lebih baik daripada emas tulen,
lebih baik daripada perak murni.
20Aku mengambil jalan kejujuran;
aku mengikut jalan keadilan.
21Aku memberikan kekayaan kepada orang yang mengasihi aku,
dan aku memenuhi rumah mereka dengan harta.
22 TUHAN mencipta aku pada permulaan karya-Nya,
akulah hasil karya-Nya yang pertama, pada zaman dahulu.
23Akulah yang mula-mula sekali diciptakan,
sebelum dunia ini dijadikan.
24Aku lahir sebelum ada lautan,
sebelum ada mata air.
25Aku lahir sebelum gunung-gunung ditegakkan,
sebelum bukit-bukit didirikan,
26sebelum TUHAN mencipta bumi dan padang-padangnya,
bahkan sebelum ada gumpal tanah yang pertama.
27Aku menyaksikan Dia membentangkan langit,
ketika Dia menentukan batas langit,
28ketika Dia menempatkan awan di langit,
ketika Dia membuka mata air di lautan,
29ketika Dia memerintahkan air laut
naik sampai ke batas yang ditentukan-Nya.
Aku sudah pun ada
ketika dasar bumi diletakkan-Nya.
30Aku di sisi-Nya seperti seorang jurubina,
setiap hari akulah sumber kebahagiaan-Nya,
aku sentiasa gembira di hadirat-Nya.
31Aku gembira dengan bumi-Nya,
puas hati dengan umat manusia.
32Sekarang, dengarlah nasihatku, hai anak-anak.
Ikutlah petunjukku supaya kamu bahagia.
33Terimalah ajaranku dan jadilah bijaksana;
jangan abaikannya.
34Berbahagialah orang yang mendengarkan aku,
orang yang duduk di pintu rumahku setiap hari,
dan yang menunggu di gerbang kediamanku.
35Orang yang menemukan aku memperoleh hidup,
dia diperkenankan TUHAN.
36Orang yang tidak menemukan aku, mencelakakan dirinya sendiri,
dan sesiapa yang membenci aku, mencintai maut.”

Currently Selected:

AMSAL 8: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in