AMSAL 1
1
Nilai Amsal
1 Amsal-amsal Raja Salomo raja Israel, iaitu putera Raja Daud.
2Amsal yang berikut akan menolong kamu mengenal hikmat dan nasihat yang baik, serta memahami ungkapan yang dalam maknanya. 3Amsal ini mengajar kamu hidup dengan bijaksana, jujur, adil, dan tidak berat sebelah. 4Amsal ini dapat mengajar orang yang tidak berpengalaman supaya berfikiran tajam, dan mengajar orang muda menjadi pandai dan bijaksana. 5Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar. 6Dengan demikian mereka dapat memahami makna yang tersirat dalam amsal, kata-kata, dan soalan yang dikemukakan oleh orang bijaksana.
Nasihat kepada Orang Muda
7 Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Orang bodoh tidak tahu menghargai hikmat dan tidak mahu belajar.
8Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu. 9Ajaran mereka akan menambah budi pekertimu seperti hiasan kepala dan kalung mempercantik rupamu.
10Anakku, jika kamu digoda oleh orang berdosa, jangan ikut pujukan mereka. 11Seandainya mereka berkata, “Marilah kita mencari orang dan membunuh mereka. Marilah kita menyerang orang yang tidak bersalah sekadar untuk bersuka-suka! 12Sekarang mereka hidup dan sihat, tetapi mereka akan mati apabila kita sudah mengerjakan mereka. 13Kita akan mendapat dan mengambil segala jenis kekayaan mereka, lalu memenuhi rumah kita dengan barang rampasan! 14Marilah ikut kami, kita akan berkongsi hasil curian kita!”
15Anakku, jangan ikut orang yang demikian. Jauhkan dirimu daripada mereka. 16Mereka tidak sabar lagi untuk melakukan kejahatan. Mereka ingin cepat-cepat membunuh orang. 17Tiada gunanya memasang jerat di depan mata burung yang hendak ditangkap, 18tetapi orang jahat seperti itu memasang perangkap bagi diri mereka - perangkap yang akan membinasakan mereka. 19Orang yang mencari nafkah dengan keganasan akan membayarnya dengan nyawanya sendiri.
Suara Hikmat
20Dengarlah! Hikmat sedang berseru di jalan raya dan di pasar, 21 memanggil orang dengan suara yang lantang di pintu gerbang dan di mana-mana sahaja orang berkumpul:
22“Hai orang bodoh! Berapa lama lagi kamu hendak menjadi bodoh? Berapa lama lagi kamu akan mengolok-olokkan pengetahuan? Bilakah kamu mahu belajar? 23Dengarlah apabila aku menegur ajar kamu. Aku akan menasihatkan kamu, dan membahagikan pengetahuanku kepada kamu. 24Aku memanggil dan menjemput kamu datang tetapi kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mempedulikan aku. 25Kamu mengabaikan semua nasihatku dan tidak mahu menerima tegur ajarku. 26Oleh itu, apabila kamu susah kelak, aku akan mentertawakan kamu. Aku akan mengejek kamu apabila kamu ditimpa kengerian. 27Kengerian itu akan datang seperti angin ribut yang membawa bencana, dan kamu akan kesakitan dan menderita. 28Pada waktu itu kamu akan memanggil aku, tetapi aku tidak akan menjawab. Kamu akan mencari aku di merata-rata tempat, tetapi tidak akan menjumpai aku. 29Kamu membenci pengetahuan dan tidak mahu taat kepada TUHAN. 30Kamu tidak pernah mahu menerima nasihatku atau mempedulikan tegur ajarku. 31Oleh itu, kamu akan menerima nasib yang setimpal dengan kelakuan kamu, dan kamu akan merasai akibat perbuatan kamu. 32Orang yang kurang pengalaman, mati kerana menolak hikmat. Orang bodoh binasa kerana mengabaikan hikmat. 33Tetapi sesiapa yang mendengarkan aku akan selamat. Dia hidup dengan aman dan tidak perlu takut.”
Currently Selected:
AMSAL 1: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.