YouVersion Logo
Search Icon

BILANGAN 7

7
Persembahan Para Pemimpin
1Pada hari Musa selesai memasangkan Khemah TUHAN, dia mentahbiskan Khemah itu bagi TUHAN, bersama-sama semua peralatannya dengan menyapu semua itu dengan minyak upacara. Begitu juga yang dibuatnya pada mazbah serta peralatannya. 2Kemudian para pemimpin puak yang menjadi pemimpin dalam suku-suku Israel, iaitu orang yang bertanggungjawab atas pembancian itu, 3membawa persembahan mereka kepada TUHAN: enam buah kereta lembu dan dua belas ekor lembu, sebuah kereta lembu disumbangkan oleh dua orang pemimpin, dan seekor lembu disumbangkan oleh setiap pemimpin. Setelah mereka mempersembahkan semua itu, 4TUHAN berfirman kepada Musa, 5“Terimalah semua persembahan itu untuk digunakan dalam pekerjaan di Khemah-Ku. Berikanlah semuanya kepada orang Lewi, menurut tugas yang dilakukan mereka.” 6Oleh itu Musa memberikan semua kereta lembu dan lembu itu kepada orang Lewi. 7Dia memberikan dua buah kereta lembu dan empat ekor lembu kepada puak Gerson, 8dan empat buah kereta lembu dan lapan ekor lembu kepada puak Merari. Semua pekerjaan mereka harus dilakukan di bawah pengawasan Itamar anak Harun. 9Tetapi Musa tidak memberikan kereta lembu atau lembu kepada puak Kehat, kerana benda-benda suci di bawah jagaan mereka itu harus dipikul oleh mereka.
10Para pemimpin juga membawa pemberian untuk merayakan upacara pentahbisan mazbah. Apabila mereka sudah siap untuk mempersembahkan pemberian di atas mazbah, 11TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahulah mereka bahawa tiap-tiap hari, selama dua belas hari, seorang pemimpin harus mempersembahkan pemberiannya untuk upacara pentahbisan mazbah.”
12-83Mereka mempersembahkan pemberian mereka menurut urutan berikut:
Hari Suku Pemimpin
Pertama Yehuda Nahason anak Aminadab
Kedua Isakhar Netaneel anak Zuar
Ketiga Zebulon Eliab anak Helon
Keempat Ruben Elizur anak Syedeur
Kelima Simeon Selumiel anak Zurisyadai
Keenam Gad Elyasaf anak Rehuel
Ketujuh Efraim Elisama anak Amihud
Kelapan Manasye Gamaliel anak Pedazur
Kesembilan Benyamin Abidan anak Gideoni
Kesepuluh Dan Ahiezer anak Amisyadai
Kesebelas Asyer Pagiel anak Okhran
Kedua belas Naftali Ahira anak Enan
Pemberian yang dibawa oleh tiap-tiap orang itu sama: sebuah mangkuk perak seberat 1.5 kilogram, dan sebuah besen perak seberat 800 gram, menurut timbangan yang digunakan di Khemah TUHAN. Kedua-dua buah bekas itu penuh dengan tepung yang dicampuri minyak sebagai korban untuk mengucap syukur; sebuah pinggan emas seberat 110 gram, yang penuh dengan kemenyan; seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan seekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN; seekor kambing sebagai korban untuk mengampunkan dosa; dua ekor lembu jantan, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan dan lima ekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN.
84-88Jumlah pemberian yang dibawa oleh dua belas orang pemimpin untuk upacara pentahbisan mazbah itu adalah seperti berikut:
– 12 buah mangkuk perak dan
12 buah besen perak, semuanya seberat 27.6 kilogram,
– 12 buah pinggan emas, semuanya seberat 1.32 kilogram dan diisi penuh dengan kemenyan,
– 12 ekor lembu jantan,
12 ekor domba jantan,
12 ekor anak domba berumur satu tahun, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban yang ditetapkan, iaitu korban untuk mengucap syukur,
- 12 ekor kambing sebagai korban untuk mengampunkan dosa,
- 24 ekor lembu jantan,
60 ekor domba jantan,
60 ekor kambing, dan
60 ekor anak domba yang berumur satu tahun sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN.
89Apabila Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN untuk bercakap dengan TUHAN, dia mendengar TUHAN berfirman kepadanya dari atas penutup Tabut Perjanjian, di antara dua patung kerub.

Currently Selected:

BILANGAN 7: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy