BILANGAN 15
15
Peraturan tentang Korban
1TUHAN memberi Musa 2peraturan-peraturan berikut yang harus dipatuhi oleh umat Israel di tanah yang akan diberikan TUHAN kepada mereka. 3Sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau korban untuk memenuhi nazar, atau korban sukarela, atau korban pada perayaan-perayaan biasa, kamu boleh mempersembahkan binatang berikut kepada TUHAN: seekor lembu jantan, seekor domba jantan, seekor domba atau seekor kambing. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. 4-5Sesiapa yang mempersembahkan domba atau kambing sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, harus mempersembahkan juga satu kilogram tepung terbaik bercampur satu liter minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur, bersama dengan satu liter wain, untuk disertakan dengan setiap binatang yang dipersembahkan. 6Apabila seekor domba jantan dipersembahkan sebagai korban, maka harus dipersembahkan juga dua kilogram tepung terbaik bercampur satu liter setengah minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur, 7bersama dengan satu liter setengah wain. Bau asap korban itu menyenangkan hati TUHAN. 8Apabila seekor lembu jantan dipersembahkan kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau sebagai korban untuk memenuhi nazar, atau sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN, 9harus dipersembahkan juga tiga kilogram tepung bercampur dua liter minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur, 10bersama dengan dua liter wain. Bau asap dari korban-korban itu menyenangkan hati TUHAN.
11Itulah yang harus dipersembahkan bersama dengan setiap lembu jantan, domba jantan, domba, atau kambing. 12Jika yang dipersembahkan itu lebih daripada seekor, maka persembahan tepung terbaik, minyak zaitun, dan wain itu pun harus ditambah menurut kadar yang ditentukan. 13Hal ini mesti dilakukan oleh setiap orang Israel apabila dia mempersembahkan persembahan makanan, yang baunya menyenangkan hati TUHAN. 14Seorang asing yang tinggal bersama-sama kamu, baik untuk sementara atau untuk menetap, orang itu mesti mematuhi peraturan yang sama apabila dia mempersembahkan persembahan makanan, yang baunya menyenangkan hati TUHAN. 15Untuk sepanjang masa, peraturan yang sama berlaku bagi kamu dan bagi orang asing yang tinggal di kalangan kamu. Kamu dan mereka sama sahaja di sisi TUHAN; 16 hukum dan peraturan yang sama berlaku bagi kamu dan mereka.
17TUHAN memberi Musa 18peraturan-peraturan berikut untuk dipatuhi oleh umat Israel di tanah yang akan diberikan TUHAN kepada mereka. 19Apabila kamu makan makanan yang dihasilkan tanah itu, kamu mesti mengasingkan sebahagian makanan itu sebagai pemberian khas kepada TUHAN. 20Daripada gandum yang mula-mula dituai, bakarlah roti daripada adunan pertama gandum itu; sebuku roti harus dipersembahkan sebagai pemberian khas kepada TUHAN. Cara mempersembahkannya sama dengan cara mempersembahkan pemberian khas daripada gandum yang mula-mula kamu irik. 21Untuk sepanjang masa, roti daripada adunan pertama itu harus diberikan sebagai pemberian khas kepada TUHAN.
22Jika seseorang dengan tidak sengaja gagal mematuhi salah satu peraturan yang sudah diberikan TUHAN kepada Musa, 23atau jika pada masa akan datang umat ini gagal melakukan semua yang diperintahkan TUHAN melalui Musa, 24dan jika kesalahan itu dibuat kerana umat tidak mengetahui peraturan, maka mereka harus mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, yang bau asapnya menyenangkan hati-Nya. Bersama dengan korban itu mereka juga harus mempersembahkan korban untuk mengucap syukur dan korban wain seperti yang ditetapkan. Selain itu, mereka harus mempersembahkan seekor domba jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. 25Imam akan melakukan upacara penyucian bagi umat. Dengan demikian mereka akan diampuni kerana kesalahan itu dibuat dengan tidak sengaja, dan korban untuk mengampunkan dosa sebagai persembahan makanan telah dipersembahkan kepada TUHAN. 26Segenap umat Israel dan orang asing yang tinggal di kalangan mereka akan diampuni, kerana mereka semua terlibat dalam kesalahan yang tidak disengaja itu.
27Apabila seorang sahaja yang berdosa dengan tidak sengaja, dia harus mempersembahkan seekor kambing betina yang berumur satu tahun sebagai korban untuk mengampunkan dosa. 28 Imam harus melakukan upacara penyucian di mazbah supaya orang itu disucikan daripada dosanya dan dia akan diampuni. 29Peraturan yang sama berlaku bagi semua orang yang berdosa dengan tidak sengaja, baik orang Israel mahupun orang asing yang tinggal di kalangan mereka.
30Tetapi sesiapa sahaja, baik orang Israel atau orang asing yang dengan sengaja berbuat dosa, orang itu menghina TUHAN. Orang itu mesti dihukum mati, 31kerana dia membantah firman TUHAN dan dengan sengaja melanggar salah satu perintah-Nya. Orang itu mati kerana kesalahannya sendiri.
Orang yang Melanggar Peraturan Hari Sabat
32Pada suatu hari, ketika umat Israel masih di padang gurun, seorang lelaki kedapatan mengumpulkan kayu api pada hari Sabat. 33Orang itu dibawa menghadap Musa, Harun, dan segenap umat, 34lalu orang itu ditahan kerana belum jelas apa yang hendak dilakukan kepadanya. 35Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Orang itu mesti dihukum mati. Dia harus dibawa ke luar perkhemahan dan di sana segenap umat harus merejam dia sampai mati.” 36Oleh itu segenap umat membawa dia ke luar perkhemahan, lalu merejam dia sampai mati, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.
Peraturan tentang Rumbai
37TUHAN memerintahkan Musa 38 supaya memberitahu umat Israel, “Buatlah rumbai-rumbai pada hujung pakaian kamu, dan ikatkan tali biru pada setiap rumbai. Kamu harus melakukan hal ini sepanjang masa. 39Rumbai-rumbai itu akan menjadi peringatan, supaya tiap-tiap kali kamu melihatnya, kamu ingat akan segala perintah-Ku dan mentaatinya. Oleh itu kamu tidak akan meninggalkan Aku untuk menurut kehendak dan keinginan kamu sendiri. 40Rumbai-rumbai itu akan mengingatkan kamu untuk mentaati segala perintah-Ku, sehingga kamu akan menjadi milik-Ku sepenuhnya. 41Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku membawa kamu keluar dari Mesir supaya Aku menjadi Allah kamu. Akulah TUHAN.”
Currently Selected:
BILANGAN 15: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.