YouVersion Logo
Search Icon

MARKUS 15

15
Yesus di hadapan Pilatus
(Mat 27.1-2,11-14; Luk 23.1-5; Yoh 18.28-38)
1Pada pagi-pagi sekali, para ketua imam, pemimpin masyarakat Yahudi, guru Taurat, dan anggota-anggota lain daripada Majlis Agama bermesyuarat untuk membuat beberapa rancangan. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus. 2Pilatus bertanya kepada Yesus, “Betulkah kamu raja orang Yahudi?”
Yesus menjawab, “Begitulah yang tuan katakan.”
3Ketua-ketua imam melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus. 4Lalu Pilatus bertanya lagi kepada Yesus, “Tidak mahukah kamu menjawab? Lihatlah betapa banyaknya tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu!”
5Sekali lagi Yesus tidak mahu menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus merasa hairan.
Yesus Dijatuhi Hukuman Mati
(Mat 27.15-26; Luk 23.13-25; Yoh 18.39—19.16)
6Pada tiap-tiap Perayaan Paska, Pilatus biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. 7Pada masa itu, seorang bernama Barabas ada di dalam penjara bersama dengan semua pemberontak lain yang telah melakukan pembunuhan pada masa kerusuhan. 8Ketika orang ramai berkumpul dan seperti biasa mula meminta Pilatus membebaskan seorang tahanan, 9Pilatus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku membebaskan raja orang Yahudi ini?” 10Pilatus tahu betul bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati.
11Tetapi para ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas. 12Pilatus berkata lagi kepada orang ramai itu, “Jika demikian, apakah yang kamu ingin aku lakukan terhadap orang yang kamu sebut raja orang Yahudi?”
13Mereka berteriak, “Salibkan dia!”
14Pilatus bertanya, “Tetapi kejahatan apa yang sudah dilakukannya?”
Mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!”
15Pilatus hendak menyenangkan hati orang ramai, maka dia membebaskan Barabas untuk mereka. Kemudian dia menyuruh orang mencambuk Yesus dan menyerahkan Dia kepada askar supaya disalib.
Askar-askar Mempermainkan Yesus
(Mat 27.27-31; Yoh 19.2-3)
16Askar-Askar membawa Yesus ke balai istana gabenor dan mengumpulkan semua askar yang lain. 17Mereka memakaikan jubah ungu pada Yesus, serta membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri lalu meletakkannya pada kepala Yesus. 18Setelah itu mereka memberikan hormat kepada-Nya, “Daulat raja orang Yahudi!” 19Mereka memukul kepala-Nya dengan kayu, meludahi-Nya serta sujud di hadapan-Nya. 20Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah ungu itu lalu mengenakan pakaian-Nya semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib.
Yesus Disalibkan
(Mat 27.32-44; Luk 23.26-43; Yoh 19.17-27)
21 Di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon. Dia baru datang dari kampung dan sedang memasuki bandar. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. (Simon berasal dari Kirene; dia bapa Aleksander dan Rufus.) 22Mereka membawa Yesus ke tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak.” 23Di situ mereka cuba memberikan wain yang bercampur mur kepada Yesus, tetapi Dia tidak mahu meminumnya. 24 Kemudian mereka menyalibkan Dia, lalu membahagi-bahagikan pakaian-Nya di kalangan mereka dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing. 25Mereka menyalibkan Dia pada pukul sembilan pagi. 26Pada salib itu dipasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Raja Orang Yahudi.” 27Mereka juga menyalibkan dua orang penjahat bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. [ 28 Dengan demikian apa yang tertulis di dalam Alkitab dipenuhi, “Dia dianggap sebagai penjahat.”]
29 Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, “Cis! Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! 30Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah dirimu!”
31Para ketua imam dan guru Taurat juga memperolokkan Yesus. Mereka bercakap sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! 32Jika dia raja Israel, Penyelamat yang diutus oleh Allah, biarlah dia turun dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepadanya!”
Kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia.
Kematian Yesus
(Mat 27.45-56; Luk 23.44-49; Yoh 19.28-30)
33Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. 34 Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?”
35Beberapa orang di situ mendengar seruan itu lalu berkata, “Dengarlah, Dia memanggil Elia!” 36 Seorang daripada mereka lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu lalu dihulurkannya ke mulut Yesus sambil berkata, “Tunggu! Mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menurunkan dia dari salib.”
37Lalu Yesus berteriak dan menghembuskan nafas yang terakhir.
38 Tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. 39Ketua askar yang berdiri di hadapan salib itu, melihat bagaimana Yesus meninggal. Oleh itu dia berkata, “Memang benar orang ini Anak Allah!”
40Di situ juga ada beberapa orang wanita yang menyaksikan semuanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maria Magdalena, serta Maria, ibu Yakobus yang muda dan Yoses. 41 Merekalah wanita yang mengikut dan menolong Yesus pada waktu Dia di Galilea. Di situ juga ada banyak wanita lain yang telah datang ke Yerusalem bersama-sama Yesus.
Penguburan Yesus
(Mat 27.57-61; Luk 23.50-56; Yoh 19.38-42)
42-43Hari sudah senja ketika Yusuf dari Arimatea tiba. Dia seorang ahli Majlis Agama yang dihormati orang. Dia menunggu-nunggu masanya Allah memerintah. Hari itu hari Persiapan (iaitu hari sebelum hari Sabat). Oleh itu dengan berani Yusuf menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. 44Pilatus hairan mendengar bahawa Yesus sudah meninggal. Lalu dia memanggil ketua askar dan bertanya sama ada Yesus sudah lama meninggal. 45Setelah mendengar laporan ketua askar itu, Pilatus membenarkan Yusuf mengambil jenazah Yesus. 46Lalu Yusuf membeli kain linen. Setelah dia menurunkan jenazah Yesus, dia membalut jenazah itu dengan kain linen, lalu meletakkan jenazah itu di dalam sebuah kubur baru yang dipahat di bukit batu. Selepas itu dia menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu. 47Maria Magdalena dan Maria, ibu Yoses memperhatikan tempat jenazah Yesus diletakkan.

Currently Selected:

MARKUS 15: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy